Friday, October 22, 2010

Tanggungjawab Adalah Kepercayaan Daripada Allah

Tanggungjawab Adalah Kepercayaan Daripada Allah
penulis : miminapis


Hidup ini adalah satu tanggungjawab.

Sebelum terbang ke New Zealand, akhir tahun 2008 yang lalu, ayah memanggil saya. Ketika itu waktu petang, emak baru sudah menyiapkan minum petang untuk kami sekeluarga. Ayah ketika itu berada di meja makan sambil memegang senaskhah surat khabar berbahasa Inggeris. Ayah menyuruh saya baca artikel yang ada di dalamnya.

”Apa pengajaran yang ada dalam artikel tu?” Ayah bertanya untuk mengetahui apa kefahaman yang saya dapat daripada pembacaan. Saya terdiam sebentar.

”Kena tolong orang lain.” Jawab saya ringkas
, memberikan kesimpulan.

Artikel tersebut adalah mengenai seorang petani. Dia mempunyai satu kebun sayur. Kebun sayurnya sangat subur. Disebabkan kebunnya yang subur, ramai yang berminat untuk mengusahakan kebun bersebelahan dengan kebunnya. Akhirnya, kebun-kebun yang diusahakan bersebelahan dengan kebun si petani turut mempunyai hasil yang baik.

Satu hari, ada yang bertanya kepada si petani, kenapa si petani mengizinkan orang-orang lain membuka kebun bersebelahan dengan kebunnya, kerana akhirnya si petani terpaksa bersaing. Kenapa tidak dibuat penghadang diantara kebunnya dengan kebun bersebelahan?

Si petani menjawab ringkas,”Kerana saya ingin ’berkongsi’ dengan orang sekeliling debunga-debunga baik yang saya ada. Supaya orang-orang lain turut merasai nikmat yang saya rasa. Kalau saya letakkan penghadang, angin yang bertiup tak dapat nak membawa debunga-debunga saya ke kebun bersebelahan.”

Ayah memberi kesimpulan. Kata ayah,”Dalam hidup ni, kita tak boleh nak berjaya sorang-sorang. Kita ada kawan-kawan, kena sama-sama belajar, kena sama-sama bantu membantu. Orang yang bagus, dia akan berkongsi kebaikan dan ilmu yang dia ada dengan orang sekeliling, bukannya simpan sorang-sorang. Nanti dekat sana (NZ) nanti, kena belajar sama-sama dengan kawan-kawan. Jangan selfish.”

Pengajaran yang saya terima adalah jangan pentingkan diri sendiri (selfish) dan mainkan tanggungjawab. Mana mungkin seseorang itu akan bersifat pentingkan diri sendiri, jika dia tahu dan sedar tanggungjawabnya kepada orang sekeliling.

Artikel yang ayah beri itu cukup membuatkan saya terfikir hingga sekarang.

Jika kita adalah orang yang berjaya dalam pelajaran, tanggungjawab kita adalah membantu orang yang lemah. Jika kita orang yang berkemampuan, tanggungjawab kita adalah membantu orang yang kurang berkemampuan. Jika kita berkelapangan masa ketika itu, tanggungjawab kita adalah membantu orang-orang yang kesempitan masa, tanpa menidakkan tanggungjawab itu sebagai sesuatu yang perlu dipikul olehnya.

Tanggungjawab itu apa? Ada yang memandang tanggungjawab sebagai yang membebankan. Jika beban yang difikirkan, beban lah jadinya. Ada yang memandang tanggungjawab itu sebagai amanah Ilahi. Tanggungjawab pastinya akan menjadikan kita seorang yang ’sibuk’. ’Sibuk’ menjalankan tanggungjawab!

Ada suatu ketika, saya mengeluh, kerja-kerja yang banyak dan menimbun. Cuba juga memuhasabah diri. Apa yang telah dilakukan semasa adanya waktu lapang?



Saya bermonolog di dalam diri, ”Kenapa asyik nak mengeluh? Siapa yang bagi tanggungjawab ni? Bukan ke Allah SWT yang bagi? Sebab, setiap yang berlaku kepada manusia, semuanya dah tertulis dalam Lauh Mahfuz. Maksudnya apa? Maksudnya, Allah SWT percaya kan kau! Kalau Allah SWT percaya pada kau, kenapa mesti kau menidakkan kepercayaan tu? Tanggungjawab itu Allah yang berikan, kerana kunci ’kekuatan’ itu ada pada-Nya. Jadi, memintalah! Memintalah untuk diberi kekuatan, bukannya berhenti separuh jalan setelah tanggungjawab diberikan.

Ada perkara di dalam hidup yang membuatkan saya benar-benar yakin bahawa sesuatu tanggungjawab, jawatan dan amanah yang diberikan kepada manusia, sebenarnya adalah amanah dan tanggungjawab daripada Allah SWT.

Manusia hanya sekadar medium yang Allah jadikan sebagai pengantara kepada kita mendapat tanggungjawab itu.
Dia mahu melihat sejauh mana kita memegang tanggungjawab itu, tanpa sedikit pun memanipulasikannya.

Peristiwa berlaku ketika di kolej persediaan. Saya pelajar yang lambat mendaftar di dalam batch, kerana mulanya saya menolak tawaran yang diberikan. Tetapi, Allah SWT takdirkan juga saya untuk menerimanya. Sebagai yang lambat mendaftar, sudah tentu saya tidak ramai kenalan, melainkan rakan sekelas. Saya kurang bercampur dengan orang, kerana masih lagi dalam keadaan emosi yang tidak stabil, antara rela dan tidak untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Satu hari, pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) peringkat kolej bermula. Saya tidak pernah terfikir untuk menyertainya.

Satu malam, ketua floor datang ke bilik saya, merayu. ”Mimi, masuklah, dah takde orang dah nak masuk ni.” Kasihan melihat sahabat ini yang sudah memasuki semua bilik untuk memujuk sahabat-sahabat, saya pun setuju setelah beberapa penerangan saya terima. Malam itu juga saya menelefon ayah untuk memberitahu dan meminta izin. Ayah memberikan lampu hijau, dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

Ketika itu saya hanya berdoa, ”Ya Allah, jika Engkau merasakan ada keperluan untuk aku memegang jawatan MPP ini, maka dekatkanlah ia denganku. Jika Engkau merasakan itu yang terbaik untukku, izinkanlah aku memikulnya dengan baik. Tetapi, jika Engkau merasakan ianya tidak baik untuk diriku, keluargaku, pelajaranku dan kehidupanku, maka Engkau jauhkanlah, Ya Allah.”

Apa yang membuatkan saya terfikir-fikir adalah, macam mana orang seperti saya, yang tidak dikenali ramai orang semasa di kolej boleh memenangi pilihan raya itu? Saya tidak bercampur dengan ramai orang. Usahkan pelajar-pelajar A-Level, pelajar-pelajar International Baccalaureate (IB) yang 89 orang itu pun tak semuanya saya kenal ketika itu.

Semua yang berlaku di dalam kehidupan saya membuatkan saya terfikir dan sangat yakin bahawa sesuatu yang diberikan itu adalah bersesuaian dengan kemampuan manusia. Mereka tidak dizalimi oleh Allah SWT sedikit pun, malah kadang-kadang mereka yang menzalimi, terutama apabila bergelar sebagai seorang pemimpin.

Saat perkenalan dengan ayat cinta-Nya di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 30, membuatkan saya bertambah yakin bahawa penghidupan manusia di atas muka bumi bukanlah suatu yang sia-sia, dan sebenarnya ia diulit dengan sebuah tanggungjawab. Tanggungjawab yang perlu di ketahui dengan kesedaran yang timbul dari hati. Jika tidak, manusia tidak akan perasan bahawa hidup ini adalah suatu tanggungjawab!

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?" Dia berfirman,"Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Berdoalah,

Ya Tuhan kami janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami; dan rahmatilah kami, Engkaulah penolong kami, tolonglah kami atas orang-orang kafir.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

*Blog penulis boleh dilayari di miminapis.wordpress.com


No comments:

Post a Comment