Thursday, October 28, 2010

DAPAT 'RESULT'?, KECEWA SANGAT!

DAPAT 'RESULT'?, KECEWA SANGAT!

Penulis: Daie Global


“ Ni je kau dapat?, bukan ke kau buat awal lagi?”, tanya seorang sahabat saya bila melihat keputusan untuk ‘assignment’ terbaru.

“Tengok aku ni, buat lambat pun ‘result’ gempak”, sambungnya dengan bangga.

Aku hanya tersenyum tapi hati kecil ini bersuara. “ Usuh pedulikan kata-katanya dan jangan ‘give up’”

Inilah kita. Inilah hakikat sebuah kehidupan. Kita memandang pada hasil bukan pada usaha. Sedangkan dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”.

Sudah terang lagi nyata akan sesungguhnya betapa pentingnya usaha itu.

Sungguhpun begitu, dalam surah Al Baqarah, pada ayat ke-216, Allah SWT berfirman, “Tetapi boleh jadi kamu

tidak menyenangi sesuatu , padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu”. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawasanya tidak semua impian yang kita rasa menggembirakan kita adalah baik untuk kita.

Lumrah manusia sukakan bahagia, kejayaan, kecantikan tetapi kita tidak tahu aturan Sang Pencipta yang Maha Mengetahui. Oleh yang demikian, kita disuruh untuk bersabar terhadap apa jua perkara yang berlaku kepada diri kita.

“Maka bersabarlah engkau (Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah engkau seperti (Yunus) orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa dengan hati sedih.” (Al Qalam: ayat 48)

Ayuh kita renungkan sejenak, bila mana kita mendapat seusatu yang tidak kita suka

i, atau seperti yang terjadi pada saya, apakan pengajaran yang Allah hendak anugerahkan kepada kita semua? Adakah ianya sesuatu yang sia-sia? Ataupun, adakah ianya tanda kasih sayang-Nya kepada kita? Terpulanglah kepada kita untuk mendefinisikan erti ‘sebuah ujian’.

Ujian itu sebagai hadiah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, ataupun ujian itu sebagai tanda Dia ‘bencikan’ kita.

Namun, ingatlah akan ayat-ayat cinta Allah dalam surah Fussilat;

“Manusia tidak jemu memohon kebaikan dan jika ditimpa malapetaka, mereka berputus asa dan hilang harapannya” (41:49)

“Dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong); tetapi apabila ditimpa malapetaka maka dia banyak berdoa” (41:51)

Lihatlah dengan mata hati, betapa sebenarnya kita manusia yang tidak bersyukur. Kita manusia yang lupa asal usul. Bila kita gembira, kita lupakan Dia, tapi bila kita sedih baru kita mencari Dia. Setiap amalan kita, kita mengharapkan ganjaran dunia yang boleh dilihat dengan mata kasar. Bagaimana dengan ganjaran akhirat yang akan kita bawa menuju sebuah penghidupan yang abadi?

Mendatabbur kalimah cinta-Nya dan merenung kembali kisah saya, juga kisah mana-mana mahasiswa, mahasisiwi, mahupun seluruh ummat manusia mengajak kita untuk melihat sesuatu dengan mata hati bukan akal semata.

Andai kita rasa rebah di pertengahan perjalanan dek lemah menghadapi ujian, marilah kita bangkit, kita bina azam baru kerana Dia, Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Renunglah ayat-ayat ini:

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman.” (Ali-Imran:139).

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang dikerjakannya.” (Al Baqarah:286)

Sedarlah wahai pemuda pemudi, wahai muslimin muslimat, setiap musibah yang menimpa mengajar kita erti kesabaran dan ketabahan. Sedarkah atau tidak wahai saudara saudari, kerana Dia rindukan suara hamba-hambaNYA, Dia ingin kita menjahit sejadah iman yang mula robek, Dia menyediakan peluang untuk kita bermunajat kepadaNYA dan Dia menyediakan ‘makanan rohani’ untuk diisi dalam ‘bekalan’ yang akan kita bahawa bila bertemu denganNYA. Sebab itu kita yang menjadi antara insan yang terpilih dalam jutaan ummat untuk menghadapi ujian ini.

No comments:

Post a Comment