Friday, October 29, 2010

Laporan Kuliah Fiqh Wanita 3


Laporan Kuliah Fiqh Wanita 3




Penceramah : Dr. Nur 'Aini binti Eddy Warman
Tajuk : Puasa
Tarikh : 16 Oktober 2010
Masa : 6am – 7.30am (waktu Malaysia)
Bil. Pendengar : 14 orang
Masalah teknikal : Tiada


Isi-isi kuliah:
1. Dalil pensyariatan:
- Al-Baqarah: 185
- Syaaban, tahun 2 Hijrah
2. Hikmah-hikmah berpuasa
- Antaranya:
• Merehatkan perut
• Menghapuskan dosa-dosa kecil
• Menunjukkan islam sebagai agama yang sederhana – tidak terlalu ringan dan tidak terlalu berat – Pelajar sekolah rendah juga mampu berpuasa
• Separuh daripada kesabaran
3. Golongan yang boleh meninggalkan puasa
- Antaranya:
• Sakit perut yang serius
• Sakit kepala yang serius
• Musafir – jika musafir itu layak mengqasarkan solat, maka dia juga layak meninggalkan puasa
• Tersangat lapar dan dahaga – menyebabkan diri menjadi lemah
4. Golongan yang wajib qada’
- Antaranya:
• Orang sakit yang ada harapan sembuh
• Orang yang sengaja meninggalkan niat puasa
• Orang yang bermusafir
5. Puasa : Waktu yang haram, sunat dan makruh
- Antaranya:
• Haram : Aidilfitri, Aidiladha, Hari Tasyrik, Hari Syak
• Sunat: Puasa 6 hari di bulan Syawal, Isnin dan Khamis, 28-30 di setiap bulan Islam
• Makruh : Terus-menerus sepanjang tahun
6. Permasalahan berkaitan puasa
- Jika mahu berpuasa sunat, seorang isteri perlu meminta izin kepada suaminya dahulu
- Berbekam dan bersiwak tidak membatalkan puasa
- Tidak batal puasa jika seseorang itu masih dalam junub walaupun sudah masuk waktu Subuh

Ini hanyalah sedikit kupasan daripada keseluruhan sesi kuliah. Jika mahu mendengar kupasan penuh penceramah yang nyatanya dilengkapi dengan dalil-dalil berdasarkan al-quran dan hadis, anda dialu-alukan untuk mendengar rakaman kuliah di bawah.





Thursday, October 28, 2010

DAPAT 'RESULT'?, KECEWA SANGAT!

DAPAT 'RESULT'?, KECEWA SANGAT!

Penulis: Daie Global


“ Ni je kau dapat?, bukan ke kau buat awal lagi?”, tanya seorang sahabat saya bila melihat keputusan untuk ‘assignment’ terbaru.

“Tengok aku ni, buat lambat pun ‘result’ gempak”, sambungnya dengan bangga.

Aku hanya tersenyum tapi hati kecil ini bersuara. “ Usuh pedulikan kata-katanya dan jangan ‘give up’”

Inilah kita. Inilah hakikat sebuah kehidupan. Kita memandang pada hasil bukan pada usaha. Sedangkan dalam surah Ar-Ra’d ayat 11 yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum, sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”.

Sudah terang lagi nyata akan sesungguhnya betapa pentingnya usaha itu.

Sungguhpun begitu, dalam surah Al Baqarah, pada ayat ke-216, Allah SWT berfirman, “Tetapi boleh jadi kamu

tidak menyenangi sesuatu , padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu”. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawasanya tidak semua impian yang kita rasa menggembirakan kita adalah baik untuk kita.

Lumrah manusia sukakan bahagia, kejayaan, kecantikan tetapi kita tidak tahu aturan Sang Pencipta yang Maha Mengetahui. Oleh yang demikian, kita disuruh untuk bersabar terhadap apa jua perkara yang berlaku kepada diri kita.

“Maka bersabarlah engkau (Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah engkau seperti (Yunus) orang yang berada dalam (perut) ikan ketika dia berdoa dengan hati sedih.” (Al Qalam: ayat 48)

Ayuh kita renungkan sejenak, bila mana kita mendapat seusatu yang tidak kita suka

i, atau seperti yang terjadi pada saya, apakan pengajaran yang Allah hendak anugerahkan kepada kita semua? Adakah ianya sesuatu yang sia-sia? Ataupun, adakah ianya tanda kasih sayang-Nya kepada kita? Terpulanglah kepada kita untuk mendefinisikan erti ‘sebuah ujian’.

Ujian itu sebagai hadiah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, ataupun ujian itu sebagai tanda Dia ‘bencikan’ kita.

Namun, ingatlah akan ayat-ayat cinta Allah dalam surah Fussilat;

“Manusia tidak jemu memohon kebaikan dan jika ditimpa malapetaka, mereka berputus asa dan hilang harapannya” (41:49)

“Dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong); tetapi apabila ditimpa malapetaka maka dia banyak berdoa” (41:51)

Lihatlah dengan mata hati, betapa sebenarnya kita manusia yang tidak bersyukur. Kita manusia yang lupa asal usul. Bila kita gembira, kita lupakan Dia, tapi bila kita sedih baru kita mencari Dia. Setiap amalan kita, kita mengharapkan ganjaran dunia yang boleh dilihat dengan mata kasar. Bagaimana dengan ganjaran akhirat yang akan kita bawa menuju sebuah penghidupan yang abadi?

Mendatabbur kalimah cinta-Nya dan merenung kembali kisah saya, juga kisah mana-mana mahasiswa, mahasisiwi, mahupun seluruh ummat manusia mengajak kita untuk melihat sesuatu dengan mata hati bukan akal semata.

Andai kita rasa rebah di pertengahan perjalanan dek lemah menghadapi ujian, marilah kita bangkit, kita bina azam baru kerana Dia, Maha Penyayang lagi Maha Pengasih. Renunglah ayat-ayat ini:

“Dan janganlah kamu (merasa) lemah, dan jangan (pula) bersedih hati, sebab kamu paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang beriman.” (Ali-Imran:139).

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang dikerjakannya.” (Al Baqarah:286)

Sedarlah wahai pemuda pemudi, wahai muslimin muslimat, setiap musibah yang menimpa mengajar kita erti kesabaran dan ketabahan. Sedarkah atau tidak wahai saudara saudari, kerana Dia rindukan suara hamba-hambaNYA, Dia ingin kita menjahit sejadah iman yang mula robek, Dia menyediakan peluang untuk kita bermunajat kepadaNYA dan Dia menyediakan ‘makanan rohani’ untuk diisi dalam ‘bekalan’ yang akan kita bahawa bila bertemu denganNYA. Sebab itu kita yang menjadi antara insan yang terpilih dalam jutaan ummat untuk menghadapi ujian ini.

Friday, October 22, 2010

Tanggungjawab Adalah Kepercayaan Daripada Allah

Tanggungjawab Adalah Kepercayaan Daripada Allah
penulis : miminapis


Hidup ini adalah satu tanggungjawab.

Sebelum terbang ke New Zealand, akhir tahun 2008 yang lalu, ayah memanggil saya. Ketika itu waktu petang, emak baru sudah menyiapkan minum petang untuk kami sekeluarga. Ayah ketika itu berada di meja makan sambil memegang senaskhah surat khabar berbahasa Inggeris. Ayah menyuruh saya baca artikel yang ada di dalamnya.

”Apa pengajaran yang ada dalam artikel tu?” Ayah bertanya untuk mengetahui apa kefahaman yang saya dapat daripada pembacaan. Saya terdiam sebentar.

”Kena tolong orang lain.” Jawab saya ringkas
, memberikan kesimpulan.

Artikel tersebut adalah mengenai seorang petani. Dia mempunyai satu kebun sayur. Kebun sayurnya sangat subur. Disebabkan kebunnya yang subur, ramai yang berminat untuk mengusahakan kebun bersebelahan dengan kebunnya. Akhirnya, kebun-kebun yang diusahakan bersebelahan dengan kebun si petani turut mempunyai hasil yang baik.

Satu hari, ada yang bertanya kepada si petani, kenapa si petani mengizinkan orang-orang lain membuka kebun bersebelahan dengan kebunnya, kerana akhirnya si petani terpaksa bersaing. Kenapa tidak dibuat penghadang diantara kebunnya dengan kebun bersebelahan?

Si petani menjawab ringkas,”Kerana saya ingin ’berkongsi’ dengan orang sekeliling debunga-debunga baik yang saya ada. Supaya orang-orang lain turut merasai nikmat yang saya rasa. Kalau saya letakkan penghadang, angin yang bertiup tak dapat nak membawa debunga-debunga saya ke kebun bersebelahan.”

Ayah memberi kesimpulan. Kata ayah,”Dalam hidup ni, kita tak boleh nak berjaya sorang-sorang. Kita ada kawan-kawan, kena sama-sama belajar, kena sama-sama bantu membantu. Orang yang bagus, dia akan berkongsi kebaikan dan ilmu yang dia ada dengan orang sekeliling, bukannya simpan sorang-sorang. Nanti dekat sana (NZ) nanti, kena belajar sama-sama dengan kawan-kawan. Jangan selfish.”

Pengajaran yang saya terima adalah jangan pentingkan diri sendiri (selfish) dan mainkan tanggungjawab. Mana mungkin seseorang itu akan bersifat pentingkan diri sendiri, jika dia tahu dan sedar tanggungjawabnya kepada orang sekeliling.

Artikel yang ayah beri itu cukup membuatkan saya terfikir hingga sekarang.

Jika kita adalah orang yang berjaya dalam pelajaran, tanggungjawab kita adalah membantu orang yang lemah. Jika kita orang yang berkemampuan, tanggungjawab kita adalah membantu orang yang kurang berkemampuan. Jika kita berkelapangan masa ketika itu, tanggungjawab kita adalah membantu orang-orang yang kesempitan masa, tanpa menidakkan tanggungjawab itu sebagai sesuatu yang perlu dipikul olehnya.

Tanggungjawab itu apa? Ada yang memandang tanggungjawab sebagai yang membebankan. Jika beban yang difikirkan, beban lah jadinya. Ada yang memandang tanggungjawab itu sebagai amanah Ilahi. Tanggungjawab pastinya akan menjadikan kita seorang yang ’sibuk’. ’Sibuk’ menjalankan tanggungjawab!

Ada suatu ketika, saya mengeluh, kerja-kerja yang banyak dan menimbun. Cuba juga memuhasabah diri. Apa yang telah dilakukan semasa adanya waktu lapang?



Saya bermonolog di dalam diri, ”Kenapa asyik nak mengeluh? Siapa yang bagi tanggungjawab ni? Bukan ke Allah SWT yang bagi? Sebab, setiap yang berlaku kepada manusia, semuanya dah tertulis dalam Lauh Mahfuz. Maksudnya apa? Maksudnya, Allah SWT percaya kan kau! Kalau Allah SWT percaya pada kau, kenapa mesti kau menidakkan kepercayaan tu? Tanggungjawab itu Allah yang berikan, kerana kunci ’kekuatan’ itu ada pada-Nya. Jadi, memintalah! Memintalah untuk diberi kekuatan, bukannya berhenti separuh jalan setelah tanggungjawab diberikan.

Ada perkara di dalam hidup yang membuatkan saya benar-benar yakin bahawa sesuatu tanggungjawab, jawatan dan amanah yang diberikan kepada manusia, sebenarnya adalah amanah dan tanggungjawab daripada Allah SWT.

Manusia hanya sekadar medium yang Allah jadikan sebagai pengantara kepada kita mendapat tanggungjawab itu.
Dia mahu melihat sejauh mana kita memegang tanggungjawab itu, tanpa sedikit pun memanipulasikannya.

Peristiwa berlaku ketika di kolej persediaan. Saya pelajar yang lambat mendaftar di dalam batch, kerana mulanya saya menolak tawaran yang diberikan. Tetapi, Allah SWT takdirkan juga saya untuk menerimanya. Sebagai yang lambat mendaftar, sudah tentu saya tidak ramai kenalan, melainkan rakan sekelas. Saya kurang bercampur dengan orang, kerana masih lagi dalam keadaan emosi yang tidak stabil, antara rela dan tidak untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Satu hari, pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) peringkat kolej bermula. Saya tidak pernah terfikir untuk menyertainya.

Satu malam, ketua floor datang ke bilik saya, merayu. ”Mimi, masuklah, dah takde orang dah nak masuk ni.” Kasihan melihat sahabat ini yang sudah memasuki semua bilik untuk memujuk sahabat-sahabat, saya pun setuju setelah beberapa penerangan saya terima. Malam itu juga saya menelefon ayah untuk memberitahu dan meminta izin. Ayah memberikan lampu hijau, dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

Ketika itu saya hanya berdoa, ”Ya Allah, jika Engkau merasakan ada keperluan untuk aku memegang jawatan MPP ini, maka dekatkanlah ia denganku. Jika Engkau merasakan itu yang terbaik untukku, izinkanlah aku memikulnya dengan baik. Tetapi, jika Engkau merasakan ianya tidak baik untuk diriku, keluargaku, pelajaranku dan kehidupanku, maka Engkau jauhkanlah, Ya Allah.”

Apa yang membuatkan saya terfikir-fikir adalah, macam mana orang seperti saya, yang tidak dikenali ramai orang semasa di kolej boleh memenangi pilihan raya itu? Saya tidak bercampur dengan ramai orang. Usahkan pelajar-pelajar A-Level, pelajar-pelajar International Baccalaureate (IB) yang 89 orang itu pun tak semuanya saya kenal ketika itu.

Semua yang berlaku di dalam kehidupan saya membuatkan saya terfikir dan sangat yakin bahawa sesuatu yang diberikan itu adalah bersesuaian dengan kemampuan manusia. Mereka tidak dizalimi oleh Allah SWT sedikit pun, malah kadang-kadang mereka yang menzalimi, terutama apabila bergelar sebagai seorang pemimpin.

Saat perkenalan dengan ayat cinta-Nya di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 30, membuatkan saya bertambah yakin bahawa penghidupan manusia di atas muka bumi bukanlah suatu yang sia-sia, dan sebenarnya ia diulit dengan sebuah tanggungjawab. Tanggungjawab yang perlu di ketahui dengan kesedaran yang timbul dari hati. Jika tidak, manusia tidak akan perasan bahawa hidup ini adalah suatu tanggungjawab!

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?" Dia berfirman,"Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Berdoalah,

Ya Tuhan kami janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami; dan rahmatilah kami, Engkaulah penolong kami, tolonglah kami atas orang-orang kafir.

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

*Blog penulis boleh dilayari di miminapis.wordpress.com


Wednesday, October 13, 2010

FLY HIGH 2010 : SIRI 3



---------------------------------------------------------------------------

Come people!

Spread the words to people around you.

A pre-departure program for students bounded to Australia/New Zealand!


What is going to be done in this program?

InsyaAllah, 2 questions above (and, many more) will be answered by thespeakers invited!

*Who are the speakers?


We will not announce it here, but we can just give you the clue.
One of them owned this -- saifulislam.com 'Erti Hidup Pada Memberi'


...More information about Fly High 2010 will be updated soon, insyaAllah! So, stick with us!.....

Fly High to reach the Sky High!


-----------------------------------------

Here are testimonials from our previous participants,













This program is brought to you by,


With collaboration,

as our media partner.


Visit our official website for updated information.....

Don't Just Jump, Fly High!




Tuesday, October 12, 2010

Malu Untuk 'Sweet'?


Malu Untuk 'Sweet'?
Penulis : kita kawan


Malu untuk ‘sweet’?

Saya merenung kalender di meja. Menghitung-hitung tempoh masa untuk pulang ke Malaysia. Beralih pula menyelak foto-foto lama. Melihat gambar-gambar orang besi dalam hidup yang bisa saja menitiskan cecair putih jernih. Sudah terlalu rindu barangkali. Biasalah. Adat anak rantau. Belajar di seberang laut. Sambil-sambil itu terfikir juga plan memasak menu baru yang telah dipraktis di Australia untuk keluarga tersayang.

Rindu. Sayang. Terima kasih. Antara lafaz penghargaan yang mudah tetapi susah juga saya kira untuk kita tuturkan. Saya sendiri kekadang melawan rasa malu untuk mengungkapkan kata-kata ‘sweet’ ini kepada insan yang saya cintai. Bila difikirkan, mengapa perlu malu untuk melafazkan kasih pada mereka? Meskipun tahu tidak perlu pun untuk malu, praktikalitinya masih kurang. Daya penolaknya masih terlalu lemah.

Adakah mungkin kerana sifat sopan santun dan berkias-kias orang Melayu menyebabkannya jadi begitu? Atau
mungkin didikan emak dan ayah yang juga jarang mengucapkan kata-kata cinta setelah anak semakin dewasa? Pengalaman dua tahun di Australia dan menonton filem barat memberi sedikit gambaran berbeza. Ibu bapa mereka mudah mengucapkan sayang pada anak-anak. Adakah kita sebagai anak mengharapkan yang sedemikian rupa? Mungkin mak ayah pula beranggapan “Tidak cukupkah lagi apa yang mak ayah korbankan selama ini sebagai tanda kasih?”

Ya. Hakikatnya penghargaan bukanlah semata-mata diucapkan dengan kata-kata, tetapi juga bahasa badan kita. Sesetengah mungkin malu untuk mengucapkan “Saya sayang emak” sambil mencium tangan dan pipi ibu. “Maafkan aku kawan” sambil memeluk erat sahabat. Namun realitinya, kita selalu terasa ingin menghargai saat sesuatu itu telah jauh dari kita. Kekesalan mungkin lebih berbekas jika ia hilang terus dari pandangan tanpa sempat untuk menunjukkan penghargaan.



Telah ditakdirkan, Allah menjemput ibu yang saya cintai ketika di Tingkatan 5. Tidak sempat untuk menemani insan mulia itu di saat akhir, hanya Tuhan yang tahu sesak di dada. Waktu itu, memang tidak banyak kata penghargaan yang sempat budak mentah seperti saya lafazkan. Apatah lagi perbuatan ‘sweet’. Isu yang sama. Malu. Kini baru saya sedar, rupa-rupanya sayang itu perlu juga saya lafazkan. Cinta itu perlu juga saya zahirkan.

“Ummiku sayang kaulah serikandi, berkorban selalu untuk kami, ummiku sayang kau ibu
mithali, semoga Allah kan berkati”-petikan lirik lagu Ummiku Sayang dari Soutus Sofwa.

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang”

Ayat pertama dalam surah al-Fatihah ini dibaca dalam setiap rakaat solat saban hari, juga sebelum memulakan sesuatu perkara lazimnya. Allah Maha Pengasih. Maha Penyayang. Bagaimana Allah menunjukkan
‘sweet’ dan kasih sayang kepada hamba-Nya?

Tidak perlu untuk berfikir terlalu jauh. Cukup sekadar perhatikan perjalanan kehidupan kita sehari-hari. Kita
bangun awal pagi dengan nikmat dapat bernafas percuma dalam udara Allah. Kita berjalan membersihkan diri dengan anggota yang masih baik berfungsi dengan izin Allah. Kita kemudian makan dengan rezeki Allah. Kita ke sekolah, bekerja dengan anugerah kecerdasan dari Allah. Kita dapat keputusan yang baik, naik pangkat dengan rahmat Allah.

Saat kita bersedih, ayat cinta daripada Allah memujuk; jangan takut, jangan bersedih sebab Aku sentiasa dekat, ada bersama. Saat kita terleka, Allah mengingatkan dengan teguran-Nya yang penuh hikmah. Kekadang kita tersilap langkah melakukan dosa. Namun Allah dengan penuh belas berfirman,
“Katakanlah, “Wahai hamba-hambaku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya(kecuali syirik). Sungguh, Dialah yang Maha pengampun, Maha Penyayang.” [39:53]

Subhanallah. Tidakkah begitu hebat kasih sayang yang Allah berikan? Bagaimana pula balasan kita terhadap kasih sayang Allah? Apa tanda penghargaan? Cukupkah sekadar mengaku beriman tetapi tidak melaksanakan perintah Allah? Cukupkah sekadar ucap cinta pada Rasulullah tanpa perlu mengikut pesanan baginda? Allah yang Maha Agung
menegur kita, khusus buat orang-orang yang beriman :
“Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingati Allah, dan kepada kebenaran yang telah diturunkan (kepada mereka), dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang sebelumnya telah diberikan kitab kepadanya, kemudian berlalulah satu masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang fasiq” [57:16]

Dalam ayat ini Allah mengingatkan, dengan segala rahmat dan petunjuk yang begitu jelas, bilakah lagi masa yang kita tunggu untuk memberikan penghargaan? Penghargaan ini pastinya tidak menguntungkan Allah walau sedikit pun. Allah menekankan lagi, jangan pula hari demi hari yang berlalu tanpa disedari hati kita menjadi keras. Ibadah
terasa semakin tawar. Ayat-ayat cinta Allah tidak sedikit pun menyentuh hati kita. Mata sudah lama kering dari menangisi dosa. Antara kesan sambil lewa kita terhadap nikmat Allah. Alangkah ruginya jika kita tergolong dalam orang yang fasiq.

Jadi hargailah nikmat Allah dan orang di sekeliling kita dan tunjukkan penghargaan selagi masih berkesempatan. Lafazkanlah sayang pada anak dan jadilah ibu bapa mithali. Ucapkanlah terima kasih dan sayang pada mak ayah dan jadilah anak yang soleh. Katakanlah sayang pada sahabat dan jadilah sahabat yang memahami. Sebutlah sayang pada adik dan jadilah abang atau kakak yang sedia melindungi. Selawatlah pada nabi dan sambunglah perjuangan baginda. Bersyukurlah pada Allah dan jadilah hamba bertaqwa. ‘Sweet’ itu melibatkan hati, lafaz dan tindakan. Baru benar-benar terasa kemanisannya.

“Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.” [89:27-30]

Apakah yang lebih ‘sweet’ dan penghargaan yang lebih baik dari jemputan ke syurga Allah?

FLY HIGH 2010 : SIRI 2

FLY HIGH 2010 : SIRI 2

------------------------------------------------------------------

"Oh, lagi 3 bulan nak fly. Allah! Tak sabar.." Barang-barang semua dah nak kena prepare ni.

Emak bertanya, "Tak nak beli barang-barang kat sana je ke? Ntah-ntah lagi murah. Tak payah nak bawak barang berat-berat."

Saya mula bertanya-tanya dalam diri,
1. Betul ke barang-barang di Australia/New Zealand lagi murah? Tak perlu ke bawak barang-barang langsung?

------------------------------------------------------------------------

Usai solat, saya berdoa, agar Allah SWT mempermudahkan segala urusan saya dan sahabat batch dalam menguruskan hal-hal sebelum kami fly.

Saya terdetik di dalam hati, "Macam mana lah kat Australia/New Zealand nanti ye? Ada ke masjid untuk singgah-singgah solat? Nanti kena bawa telekung lah kan, kalau nak ke mana-mana? Kalau takde masjid, macam mana nak ambil wuduk nanti? Susah jugak kalau tgh jalan-jalan, nak cari paip tepi-tepi jalan, kemudian nak berwuduk. Allah~ Macam mana ni?"

Itu persoalan saya yang ke-2,
2. Tentang urusan solat dan wuduk.

------------------------------------------------------------------------

Don't Just Jump, Fly High!



A pre-departure program for students bounded to Australia/New Zealand!

What is going to be done in this program?

InsyaAllah, 2 questions above (and, many more) will be answered by the speakers invited!

*Who are the speakers?

We will not announce it here, but we can just give you the clue.
One of them owned this -- saifulislam.com 'Erti Hidup Pada Memberi'

...More information about Fly High 2010 will be updated soon, insyaAllah! So, stick with us!.....

Fly High to reach the Sky High!


Saturday, October 9, 2010

Jangan Tinggal 'Tolong' dan 'Terima Kasih'!

Jangan Tinggal 'Tolong' dan 'Terima Kasih'!
penulis : miminapis

"Can you press for me level 7... Please," Pinta seorang kiwi, semasa kami berada di dalam lif di perpustakaan universiti.

"Sure!" Saya membalas, sambil jari menekan butang di lif.

"Cheers!" Dia membalas.

Dalam satu kejadian lain,

"Excuse me, can you take that for me. Please.." Pinta seorang makcik.

"Which one? This one?" Sambil memegang tin dan menunjukkan kepada makcik yang meminta.

"Yup. Thank you so much, my love!" Oh, hati berbunga, kerana dipanggil 'love'! Sweet lah makcik ni~

Saya bukanlah seorang yang terlalu 'alert', tetapi untuk masa-masa yang tertentu, telinga saya menangkap
setiap butir bicara yang dikeluarkan oleh orang sekeliling. Kemudian, saya berfikir dan menilai, lantas belajar tentang erti kehidupan.

Dalam situasi lain, dengan latar masyarakat yang berbeza.

"Mimi, ambil kan buku atas meja," Saya berhenti sekejap. Otak ligat berfikir, memproses ayat yang dikeluarkan oleh rakan sebentar tadi.

Saya diam. Badan bergerak menuju ke arah meja untuk mengambil buku.

"Mimi, buka pintu rumah," Nadanya biasa sahaja. Tiada nada marah, mahupun mengarah. Saya diam. Kad
rumah dikeluarkan, pintu dibuka.


Hati memberontak, mahu juga berkata tentang apa yang saya rasa pada kawan sekeliling. Masa senggang yang ada saya ambil untuk membuat perbincangan, dengan harapan sahabat boleh berfikir tentangnya.

"Ijan, perasan tak sesetengah orang ni suka 'memerintah'," Saya memulakan bicara.

"Macam mana?", Dia menyoal untuk mengetahui.

"Kita selalu perasan, kawan-kawan kita jarang nak guna perkataan 'tolong'. Terutama apabila mahukan orang lain membuat sesuatu untuknya. Semua pun nak beri arahan,"

"Kita selalu perasan jugak, kiwi-kiwi kat sini, kalau nak minta tolong daripada orang lain, mesti mereka akan gunakan perkataan, "Please". Kalau tak di awal ayat pun, di akhir ayat mereka pasti akan guna juga perkataan "Please" tu."

Ego kah diri, sebab tak mahu 'diarah'? Bukan. Cuma, merasakan bahawa perkataan yang keluar itu memainkan peranan yang penting dalam menggambarkan si pengeluar perkataan tersebut.

Bukankah tujuannya mahu meminta 'tolong'? Tidak terlalu berat atau susah rasanya untuk menggunakan perkataan 'tolong' tersebut.

Bukankah perkataan 'tolong' itu juga menunjukkan rasa rendah diri. Rendah diri kerana diri sendiri tidak mampu untuk melakukan sesuatu. Jadi, kita bertindak untuk meminta bantuan dan pertolongan daripada orang lain.
Manusia, tiada yang sempurna, malah manusia perlu untuk hidup dalam komuniti supaya setiap kelemahan yang ada di dalam diri individu mampu ditampung oleh individu yang lain.


"Eh, dah lah nak minta tolong orang. Kemudian nak mengarah pula." Detik dia di dalam hati apabila diminta untuk 'tolong' mengambilkan sesuatu. Sedangkan bukanlah dia sedang di'arah' pun, cuma struktur ayat yang keluar menyebabkan dia rasa seperti sedang diarah. Sedangkan, kalau difikir kan pun, tiadalah kawan itu mahu 'mengarah' pun.

Lagi teruk keadaannya apabila permintaan telah dipenuhi, 'terima kasih' tidak dilafazkan.
Terima kasih itu sebagai tanda penghargaan kepada yang telah membantu. Kadang-kadang yang membantu tidaklah mengharapkan sangat perkataan tersebut, tetapi, bukankah itu adab?

Orang berbudi, kita berbahasa..kan?

Tahun lepas banyak turning point kepada diri. Salah satunya adalah insiden yang berlaku semasa perjalanan ke universiti, dengan menaiki bas.

Rakan saya membayar tambang bas kepada pakcik pemandu. Dikatakannya, "University." Seperti biasa, mukanya sentiasa tersenyum, sambil tangan menghulur syiling bernilai NZD1.50. Pakcik tersebut berkata, "Sorry?" Sambil air
mukanya berubah. Rakan saya mengulang perkataan yang sama, "University." Pakcik tersebut, "Again?"

Ketika itu saya sudah mulai rasa pelik. Di dalam hati, "Eh, teruk sangat ke slang kitorang sampaikan sebut 'university' pun pakcik tu tak dapat nak identify?"

Rakan saya menyebut lagi, "University." Air mukanya tetap tidak berubah, tetap tersenyum. Kemudian, pakcik itu menyebut, "Rude!" Raut mukanya seperti marah, sambil mengambil duit yang dihulurkan oleh rakan tersebut.

Sepanjang dalam perjalanan ke universiti, kami berfikir, kenapa pakcik tersebut marah? Apa yang kami buat?

Lantas, Allah SWT datangkan pengajarannya. Rakan saya berkata, "Mesti sebab kita tak guna perkataan 'please'.
Kalau tak, takkan lah pakcik tu kata 'rude!' tiba-tiba."

Astaghfirullahal'azim. Saya terdiam, memandang ke luar tingkap, sambil berfikir. Berfikir dan bersyukur diatas tunjuk ajar yang telah diberikan oleh Allah SWT.

Hati terdetik, "Mereka ni ada nilai-nilai baik yang diamalkan dalam kehidupan seharian, bukanlah mereka Islam pun. Tetapi, mereka tahu dan amalkan nilai dan adab."

Allahu akbar~ Terima kasih kepada pakcik pemandu bas yang telah 'mengajar' kami nilai dan adab. Hati terasa lembut, tiada langsung rasa mahu marah kerana perkataan "Rude!" yang dikeluarkan.

Marah tiada, tapi terkejut. Langsung, bersyukur kepada Allah SWT yang mahu kami tahu dan belajar tentang erti hidup. Erti hidup yang sebenarnya perlu kepada adab dan nilai hormat kepada orang sekeliling yang telah memberi khidmat dan bantuan.



Jangan ditinggalkan perkataan 'Tolong' dan 'Terima Kasih' dalam hidup sehari-hari! Hakikatnya, kita lemah. Paling tidak pun, kepada Allah SWT perlu untuk kita meminta!

Manners are not born with us, they are acquired.
-------------------------------------------------------------------------------

*Blog penulis boleh dilayari di miminapis.wordpress.com.


Friday, October 8, 2010

FLY HIGH 2010 : SIRI 1

FLY HIGH 2010 : SIRI 1


Dahulu, semasa kecil, saya suka memandang ke langit. Ada awan yg memutih, langit yang membiru.

Satu hari, saya terlihat satu benda yang 'berjalan' di atas sana. Emak kata itu kapal terbang. Saya seronok melihatnya, sebab, setiap kali kapal terbang melintas dan melalui kepulan-kepulan awan, pasti akan ada satu garisan putih yang mengekori.

Dengan pemikiran saya sebagai seorang kanak-kanak ketika itu, saya kata, "Ooo, tu mesti asap kapal terbang! Bestnya!"

Satu hari ketika di dalam kelas, sekolah rendah, cikgu bercerita tentang masa hadapan.

Langsung, saya meletakkan impian, "Aku nak belajar luar negara! Boleh naik kapal terbang selalu."


Alhamdulillah, impian itu semakin menjadi kenyataan kini.

Wahhh! Tak sabar nak menjejakkan kaki di bumi orang.
Mahu belajar macam-macam di sana nanti.

Pencarian illmu, Pencarian diri, Pencarian destinasi!

Mari kawan-kawan kita bersama-sama FLY HIGH.... to reach the sky high!

How to reach the sky? Or, actually, how to go to the sky?

By plane?

Of course by a plane.

A plane which can drive us to the right place we want to go! Weeee~






Wait for the coming FLY HIGH VIDEO!



Monday, October 4, 2010

Kuliah Online : Hiburan Dalam Islam

KULIAH ONLINE : HIBURAN DALAM ISLAM


Teringat pada satu lirik lagu kumpulan nasyid negara, Raihan,
"Berhibur tiada salahnya,
Kerna hiburan itu indah,
Hanya pabila salah memilihnya,
Membuat kita jadi bersalah"

"Bagaimana sebenarnya hiburan yang dituntut oleh Islam?"

"Boleh ke dengar lagu? Ada orang kata boleh, tapi jangan ada muzik. Betul ke macam tu?"

"Hiburan.. Hiburan tu macam mana sebenarnya? Kalau kita main game pun hiburan jugak kan? Sebab kita menghiburkan hati kita. Main game boleh la?"

"Masa pergi majlis walimah seorang Akhi ni, dia ada buat karaoke. Betul ke benda tu? Bukannya apa pun, nak bagi jemputan rasa terhibur sikit. Ke, tak boleh sebenarnya?

Adakah hiburan sesuatu yang amat ditegah oleh Islam? Selama ini kita tertanya-tanya. Tambahan pula, kini lagu-lagu nasyid semakin mendapat tempat di hati para pendengar.

Pihak intelek_anz, menjemput semua untuk mendengarkan sedikit perkongsian tentang hiburan, di awal bulan Zulkaedah ini.



Jom beramai-ramai kita mendengarkan kuliah online. Sama-sama mencambahkan ilmu, di hujung minggu ini.

Penyampai : Mohd Faisal Abdul Khanan
Tahun Pertama Ijazah Doktor Falsafah Spatial Science
Curtin University of Technology
Western Australia
Hari dan Tarikh : Sabtu, 9 Oktober 2010
Masa : 5 petang (Perth/Malaysia)
10 malam (New Zealand)
Medium : Paltalk (sila add: intelek_anz)

----------------------------------------------------------------------

Rakaman kuliah boleh di dapati melalui link dibawah: