Monday, August 2, 2010

Lafaz Yang Tersimpan

Lafaz Yang Tersimpan
Penulis : penselsaya


Di dalam Surah Al-Isra’, ayat 23 dan 24, Allah SWT berfirman,


Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. (17 : 23)

Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.” (17 : 24)

Islam adalah cara hidup.
Usah ragu, usah berkira-kira dengan pernyataan itu. Lihatlah 2 ayat sebelumnya, Al-Quran menyebut bahawa perlu nya untuk anak-anak menghormati ibu bapanya. Islam adalah agama yang mengajar dan mendidik. Allahu Allah!

Terima kasih ya Allah, di atas kurniaan nikmat Islam ini. Ya muqallibal qulub thabit qulubana ‘ala deenika ya Allah.
Hargai keduanya supaya tidak menyesal di esok hari. Syurga di bawah tapak kaki ibu.
Sabda Rasulullah SAW, “Keredhaan Allah itu terletak kepada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah itu terletak pada kemurkaan ibu bapa.”

(
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.)
Hidup di perantauan (baca: berjauhan) bukanlah alasan untuk membataskan hubungan.

Hari-hari pun Hari Ibu dan Hari Bapa!

UNIC membawakan sebuah lagu bertajuk Lafaz Yang Tersimpan.



Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai di lisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaanSebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Rangkap ini,
“Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia”

Berusahalah untuk zahirkan melalui perbuatan kita betapa kasih dan sayangnya kita sebagai anak kepada ibu dan bapa kita. Buangkan perasaan malu tak bertempat, kerana hakikatnya mereka itu ibu dan bapa kita. Walau segarang singa, mahupun sekeras batu pun mereka, tetapi, apabila usia meniti senja, hati mereka akan tetap tersentuh dengan kebaikan yang dizahirkan oleh anak-anak kepada mereka. Paling tidak, jika sebelum ini tidak pernah kita memberi kad sempena “Hari Ibu” atau “Hari Bapa”, jadi, mulakan ia sekarang. Allahu Allah, Engkau Maha Memahami, bantu lah kami!

Rangkap ini perlu untuk dihadam sebaik mungkin.

“Apakah yang hilang andai di lisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata
Benar! Namun, hanya satu peringatan. Kata-kata akan menyentuh hati jika kata-kata itu lahirnya dari hati. Hati yang sebenar ikhlas menyatakan rasa cinta, kasih dan sayang kepada mereka. Cinta, kasih dan sayang yang mengharapkan redha Allah SWT, sekaligus agar sama-sama dapat berjumpa di syurga-Nya kelak. Bukan cinta, kasih dan sayang kerana harta dan kemewahan yang mereka ada. Kerana kelak, kehidupan akhirat menjadi tujuan, menjadi tempat perkumpulan yang di dambakan oleh sebuah keluarga. Allahu Allah!

Rangkap ini menjadi kesimpulan kepada lagu ini, terutama pada 2 baris terakhir.
“Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan
Ya! Jangan biar kehilangan menggantikan lafaz yang tersimpan!

EKSPRESI DIRI MU, KEPADA EMAK DAN AYAH MU KERANA MEREKA BERHAK.

“Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Jom berdoa untuk ibu dan bapa kita. Hari ini? Ya! Malah HARI-HARI!

No comments:

Post a Comment