Dzatun’ Nithaqain
Penulis : SN NY
Di antara watak-watak utama di dalam kisah penghijrahan Nabi Allah ke Madinah, salah seorangnya ialah serikandi islam - hanya berumur 27 tahun ketika itu.
Beliau merupakan puteri kepada sahabat Rasulullah yang mulia, Saidina Abu Bakar As-Siddiq, kakak kepada Aishah Ummul Mukminin (isteri Rasulullah SAW), suri hidup kepada Zubair Al-Awam, seorang pahlawan pejuang dan tokoh islam yang terawal, dan bonda kepada pejuang agama Abdullah bin Zubair. Beliaulah Asma Abu Bakar – Wanita yang Mempunyai Dua Tali Pinggang.
Kebijaksanaan dan Keberanian Dzatun Nithaqain
Didalam kisah Hijrah Nabi Allah ke Madinah, Asma telah ditugaskan menghantar makanan kepada ayahandanya dan Rasulullah SAW di gua Thur. Ternyata beliau tidak mempunyai apa-apa untuk mengikatkan makanan yang dibawa di unta, lantas dicarik kain yang menjadi tali pinggangnya kepada dua – salah satunya digunakan untuk mengikat makanan. Disinilah beliau diberi julukan “Dzatun Nithaqain”. Dalam situasi yang mendesak – Asma kreatif dalam memikirkan jalan keluar.
Hari-hari seterusnya sementelah peninggalan ayahandanya dipenuhi dengan kunjungan-kunjungan ‘mesra’ pemuka Quraish.
Antaranya ialah datuknya sendiri Abu Quhafah, seorang musyrikin yang sudah pun buta.
“Aku dengar bapamu pergi membawa kesemua hartanya ? Ah, bijak, bijak – adakah dia berniat melaparkan kalian?”
Lantas, asma mengumpulkan batu-batu kecil dan membalutnya didalam kain, dan diberi kepada datuknya untuk merasa.
“Bahkan, begitu banyak wang yang ayah telah tinggalkan!”
Asma melakukan sedemikian, sebagai cara untuk menenangkan datuknya disamping menolak sebarang bentuk bantuan daripada Abu Quhafah dan agar Abu Bakar tidak dipersendakan lagi. Inilah satu lagi peristiwa dimana kebijaksanaan Asma terserlah.
Kedermawanan Asma
Asma juga diceritakan sebagai seorang yang pemurah. Ini diceritakan sendiri oleh anakandanya Abdullah bin Zubair:
“Aku tidak melihat pun sesiapa yang lebih pemurah berbanding bondaku Asma dan ibu saudaraku Aishah meskipun kedermawanan mereka didalam cara yang berbeza. Aishah gemar mengumpulkan sedikit demi sedikit harta untuk diinfaqkan sedangkan ibuku Asma tidak sukamenunggu hari esok untuk meinginfaqkan sesuatu”
Pertemuan untuk Berpisah
Menyoroti usia-usia emasnya, umat islam dilanda kecemasan terutama sekali setelah kematian Yazid bin Muawiyah. Disitu, Abdullah bin Zubair telah diangkat menjadi khalifah seterusnya. Bahkan, segenap penduduk dari Mesir, Iraq, Khorasan dan Syria datang untuk membai’ahnya. Namun, Bani Umayyah yang dipimpin Hajjaj ibnu Yusuf telah menolak kepimpinan beliau dan mengisythiharkan perang.
Disaat puncak peperangan, dimana ramai penyokong beliau tidak tahan dengan tekanan yang diberikan dan telah menahan diri, dan pertahanan menjadi semakin lemah, Abdullah bin Zubair telah bertemu dengan bondanya, yang ketika itu sudah pun buta dan berumur 100 tahun.
Abdullah: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!Asma': Wa'alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh, Ya Abdullah! Mengapa engkau datang ke sini di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu besar yang dilontarkan Hajjaj kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota Mekah?Abdullah: Aku hendak bermusyawarah dengan ibu.Asma': Tentang masalah apa?Abdullah: Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan isteriku sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan kepadaku apa saja yang ku minta berupa kemewahan dunia asal saja aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?Asma': Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq dan mengajak kepada kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika engkau menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang anak lelakiku yang pengecut! dan bererti engkau sedang mencelakakan dirimu sendiri dan menjual murah harga kepahlawananmu selama ini, anakku!Abdullah: Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.Asma' : Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-budak Bani Umayyah dengan mempermainkan janji-janji mereka yang sangat sukar untuk dipercayai!Abdullah: Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!Asma': Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah kita mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit lagi ketika kulitnya dikupas orang!Abdullah: Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar apa yang telah ku dengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh dunia dan segala kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan segala yang diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani segala nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan dari kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!Asma': Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.Abdullah: Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan tidak memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di dalam sanubari Ibu.Asma': Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah saat terakhir untuk ibu memelukmu...Abdullah: Jangan bosan mendoakan aku Ibu!
Ketika Abdullah dipeluk ibunya, dia terasa sesuatu yang keras dan bertanyakan Abdullah apakah itu. Lalu, Abdullah berkata itu adalah baju perisai yang dipakainya.
Maka, Asma menyuruh Abdullah agar menanggalkan baju perisainya itu kerana seseorang yang ingin mati syahid tidak memerlukan sesuatu untuk melindungi dirinya. Ternyata, inilah pepisahan dua beranak ini kerana Abdullah telah berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir dan gugur sebagai pejuang islam.
Tidak lama setelah kematian Abdullah, Asma pula menyusul. Meskipun beliau wafat pada umur 100 tahun, gigi-gigi beliau masih dalam keadaan yang utuh, dan ketajaman mindanya tidak sdikitpun terjejas.
Asma’ adalah bukti dimana wanita turut berada bersama-sama didalam perancangan strategi untuk menjayakan islam. Alasan-alasan sperti kehamilan, ‘saya hanya seorang wanita’, tidak menjadi penghalang buat beliau untuk berkhidmat kepada Islam. Keberanian, kecekalan, dan kebijaksanaan beliau seharusnya kita contohi (terutama kaum muslimah).
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment