Saturday, August 14, 2010

Konflik Kemanusiaan Palestin : Mencari Salehuddin Abad Ke-21

Konflik Kemanusiaan Palestin: Mencari Salehuddin Abad ke-21

Penulis : Brader H

Saya berjaya menghabiskan biografi Saladin & the Fall of the Kingdom of Jerusalem catatan ahli sejarah Barat Stanley Lane-Poole selepas dua bulan menemani perjalanan dari stesen keretapi Huntingdale ke Melbourne Central. Perjalanan setengah jam ke universiti, bermakna 3-4 helai buku terbitan pertama tahun 1898 itu berjaya dihabiskan buat mengisi masa perjalanan sehala dan menyedarkan diri adanya material lain yang perlu diseimbang dengan hambatan materialistik kehidupan. Sebak rasa hati teringat kata-kata Saladin atau Salehuddin Al-Ayyubi kepada tentera baginda tatkala mempertahankan Jerusalem dari serangan bertali arus bala tentera King Richard,"The lives and children and the possessions of the muslims rest upon you. If you fail, which God for fend, they (the enemy) will role up the land like a scroll..." Dijawab oleh panglima-panglima baginda, " Thou hast been gracious to us, and made us great and powerful; thou hast given to us and made us rich; we have only our necks to offer, and they are between thy hands. By God, not a man of us will turn back from helping thee till we die! Benar bagai ditakuti Salehuddin, mereka sekarang menggulung tanah Palestin membunuh nyawa dan anak-anak tidak berdosa, menghancurkan harta benda. Amaran Salehuddin masih relevan, tetapi adakah jawapan kita (atau pemimpin kita) sama dengan jawapan panglima baginda?

Sebelum pembebasan Baitul Maqdis oleh Salehuddin, umat Islam dan Yahudi sering ditindas, dijadikan hamba dan dianggap warganegara kelas kedua oleh pemerintah Baitul Maqdis - Kristian majoriti berbahasa Perancis (Franks). Malah, penyembelihan dahsyat berpuluh-puluh ribu orang awam semasa tentera Franks menakluk Baitul Maqdis dari naungan Islam dilakukan ke atas rakyat tempatan majoritinya Islam serta Yahudi dan Kristian Orthodox yang turut sama mempertahankan kota Baitul Maqdis. Masyarakat majmuk Palestin ketika itu yang hidup dan berinteraksi antara satu sama lain memperlihatkan bagaimana semasa serangan ganas Franks, paderi-paderi menyembunyikan orang awam Islam dan Yahudi di dalam gereja mereka dan panglima-panglima Islam turut melindungi orang-orang awam Yahudi.


Mengikut Lane-Poole, Kota Baitul Maqdis dibebaskan oleh Salehuddin tanpa pertumpahan darah orang awam. Bahkan, tiada pertempuran pun berlaku di dalam Kota Baitul Maqdis itu sendiri; sama seperti pembebasan yang dilakukan pertama kali oleh Khalifah Saidina Umar Al-Khattab. Baitul Maqdis diserahkan kepada tentera Salehuddin setelah gabungan tentera Franks kalah di dalam peperangan penentuan Al-Hittin, 160km dari Baitul Maqdis.




Salehuddin berjaya menawan sejumlah besar panglima-panglima Franks (termasuklah si Balian dari Ibelin - watak dipegang Orlando Bloom di dalam Kingdom of Heaven) tetapi hampir semua dibebaskan kembali selepas cuma membayar tebusan. Belas dan kemuliaan akhlak Salehuddin tidak terjangkau minda penghuni Kota Baitul Maqdis yang selama 90 tahun lebih menzalimi rakyat Islam. Balian dijadikan utusan baginda menguruskan penyerahan kuasa berjalan dengan aman tanpa penganiayaan kepada orang awam. Baginda memerintahkan setiap ceruk jalan dikawal oleh panglima-panglima yang memastikan tiada penganiayaan, cerca nista dan balas dendam dilakukan ke atas penduduk Kristian atau agama lain. Lane-Poole merekodkan sekumpulan isteri dan anak-anak pahlawan Franks datang mengadu menangis di hadapan baginda kehilangan suami dan ayah. Salehuddin turut menangis kasihan dan memerintahkan pegawai baginda mencari pahlawan-pahlawan terbabit sekiranya hidup di dalam penjara-penjara hatta di Damsyik dan dibebaskan serta dikembalikan ke pangkuan keluarga mereka walaupun tangan mereka kotor dengan darah orang awam Islam!


Malangnya sejak 60 tahun yang lalu, kaum Yahudi yang dilindungi oleh khalifah Islam di Baitul Maqdis berabad lama menyembelih pula anak-anak Islam keturunan ayahanda mereka juga, Nabi Ibrahim alaihissalam demi memenuhi cita-cita Zionis. Cita-cita Greater Israel itu turut ditentang oleh pendeta/rabbi Judaism yang jujur kerana dibina di atas korban darah manusia yang tidak berdosa. Kaum yang sepanjang sejarah manusia, ditindas kejam disembelih Assyarian, Nebuchadnezzar Babylon, Firaun, Kristian Franks dan Hitler bertukar watak melakukan jenayah kemanusiaan terbesar abad 21. Betapa dunia hari ini umumnya memerlukan tokoh seagung Salehuddin, bukan sahaja untuk menghentikan kegilaan ini tetapi mengajar mereka erti kemanusiaan tatkala melangkah membebaskan Kota Baitul Maqdis buat kesekian kali.

Betapa dunia Islam hari ini juga mendambakan pemimpin sehebat Salehuddin. Rekod Lane-Poole menggambarkan dunia Islam pre-Salehuddin yang berpecah-pecah (disintegrated), bermusuh-musuhan serta curiga sesama sendiri. Sesetengahnya seperti Kerajaan Islam Fatimiyyah Mesir tenggelam dalam kekayaan membina istana-istana, taman-taman peribadi, bermewah-mewah dengan fesyen dan hiburan dan pembangunan yang memukau Timur dan Barat. Malah mereka membuat perjanjian bersekutu serta berkala membayar 200,000 dinar emas kepada Amalric, pemerintah Franks Baitul Maqdis dengan harapan tidak mengancam Mesir dan menjadi sekutu tentera melawan saudara seIslam mereka dari Damsyik dan Baghdad; sedangkan pada masa yang sama, saudara seIslam mereka di Baitul Maqdis berterusan dizalimi! Kerajaan Umayyah di Cordova berebut perairan Meditteranean dengan Fatimiyyah yang juga menguasai sebahagian Syria serta Semenanjung Tanah Arab, bumi Mekah dan Madinah.


Perang dingin juga berlaku dengan Kerajaan Abbasiyyah berpusat di Baghdad kerana pemimpin Fatimiyyah berfahaman Syiah walaupun majoriti rakyat Mesir ahli sunnah sebagaimana di Baghdad. Korupsi dan pengkhianatan di antara gabenor-gabenor dan pemimpin Islam juga berleluasa. Masa dihabiskan bercakaran merebut kuasa dan tanah, berselisih Syiah dan Sunnah, serta berlumba mengumpul kekayaan sesama sendiri tanpa ada keinginan menghentikan tragedi kemanusiaan di Baitul Maqdis ketika itu. Nah, dimanakah bezanya dengan Negara-negara Islam sekarang? Bukankah sejarah tercipta untuk berulang?




Mengikut Lane-Poole lagi, ‘road map’ rahsia kejayaan Salehuddin membebaskan Baitul Maqdis sebenarnya bermula dengan baginda ‘menakluk’ khalifah-khalifah, amir-amir yang lemah dan korup itu. Mewarisi satu angkatan tentera sisa-sisa Khalifah Islam Saljuk (Turki) pimpinan panglima Zangi, baginda menghabiskan masa 22 tahun mengambil alih, menyatukan atau mendidik pemimpin-pemimpin kerajaan Islam ketika itu mentadbir berlandaskan Islam – berhemah, berkebajikan berasaskan transparensi juga akauntabiliti. Satu contoh menurut Lane-Poole, baginda mengarahkan hakim-hakim agar tanpa keistimewaan membicarakan baginda di mahkamah jika ada rakyat yang mengadu teraniaya dengan polisi baginda. Seterusnya, jika baginda didapati bersalah, baginda akan menerima hukuman serta menanggung kos guaman si pengadu. Bahkan, jika didapati tidak bersalah, baginda akan melepaskan pengadu dan masih menanggung kos guaman mereka juga! Pembersihan kepimpinan korup oleh Salehuddin bermula dengan Mesir, diikuti Syria dan wilayah-wilayah Mesopotamia – negara-negara Islam sekeliling Baitul Maqdis. Cuma setahun selepas 22 tahun itu, baginda berjaya membebaskan Baitul Maqdis dari kezaliman dan penindasan.

Sejarah panjang Palestin ditentukan Allah umat Islam sebagai korbannya. Dizalimi Kristian Franks berkurun dahulu; dizalimi Yahudi Zionis sejak 60 tahun lalu. Unik Palestin ditakdirkan tanah suci bersama anak cucu Nabi Ibrahim alaihissalam (Islam, Kristian dan Judaism). Tiada siapa boleh mendabik hak mutlak tuan di situ apatah lagi merampas hak penghuni lain. Ia ujian Allah sejauh mana keturunan Nabi Ibrahim alaihissalam berkompromi menjaga tanahNya, menzahirkan penyembahan kepadaNya dengan penuh keamanan dan kedaulatan kemanusiaan (humanity) – hablumminallah wahablumminannas. Sejarah juga mencatatkan keamanan dan kedaulatan kemanusiaan pelbagai bangsa dan agama di situ wujud hanya bila ia dinaungi kepimpinan Islam yang tulen dan adil sebagaimana Saidina Umar Al-Khattab dan Salehuddin Al-Ayubbi. Sebarang ketidakadilan seperti yang dilakukan oleh seorang Khalifah Fatimiyyah yang membakar Gereja Holy Sepulchre di Baitul Maqdis dengan terang melanggar perintah keadilan Allah agar memelihara rumah ibadat tanpa mengira agama. Walaupun gereja suci umat Kristian itu dibina semula, ia telah dijadikan alasan untuk pembalasan dendam pembunuhan beramai-ramai (massacre) umat Islam bila Baitul Maqdis ditakluki Franks. Dunia (serta pemimpin) Islam hari ini seharusnya menghayati sejarah perjuangan Salehuddin, mencari jatidiri (soul-searching) sebelum bermimpi membela nasib saudara seagama mereka di Palestin.


Lane-Poole mencatat,

He (Saladin) had given away everything, and the money for his burial had to be borrowed, even to the straws for the bricks that made the grave. The ceremony was as simple as a pauper’s funeral. A striped cloth covered the undistinguished bier.”

Bandingkanlah itu dengan pemimpin-pemimpin kita sekarang… Wallahua’lam.

1 comment:

  1. Selama ini kita menuduh orang kafir jahat, anti-Islam tetapi kita lupa untuk berdakwah kepada orang non-Muslim. Hinggakan kita terlupa utk menilai diri kita apakah kita sudah mempunyai nilai-nilai Islam utk memerintah khilafah Islamiyyah nanti.

    ReplyDelete