Indah Bukan Pada Rupa
Penulis : firnas_nafiz
Bismillahirrahmanirrahim
Banyak sekali komen yang saya terima perihal dengan penampilan diri saya dahulu yang merujuk kepada rambut. Ya, isu rambut yang semakin panjang.
Baik dari komen-komen di blog, mahupun komen-komen peribadi yang saya terima di dalam e-mail dan SMS dari Malaysia setelah melihat penampilan ‘terbaru’ saya di Australia. Semuanya berkenaan rambut.
Terima kasih kepada mereka yang mengambil berat. Mengambil berat kerana ianya jauh dari kebiasaan perkara yang pernah saya lakukan.
Ketahuilah bahawa ini hanyalah sebuah eksperimentasi sementara kerana saya tidak berniat untuk memanjangkan rambut seperti Bob Marley atau Ramli Sarip, cukup sekadar selesa, sederhana, bersih, dan kemas.
Membuatkan saya terfikir tentang satu perkara yang sangat islamik, namun sejauh mana kita meletakkan keutamaan itu dalam kehidupan.
Isu menjaga keterampilan dan penampilan diri.
Saya bukanlah seorang pakar bahasa, namun dengan ilmu tatabahasa Bahasa Melayu yang saya pelajari di sekolah, penampilan dan keterampilan membawa maksud yang sedikit berbeza antara satu sama lain.
Penampilan lebih merujuk kepada perkara yang terzahir dan mudah di lihat di depan mata. Sejauh mana kita menguruskan kehidupan. Lebih mudah jika saya katakan penampilan itu adalah “appearance”. Sebagai contoh, jenis pakaian yang kita pakai, suasana tempat kita belajar, suasana rumah tempat kita tinggal, serta perkara yang sewaktu dengannya.
Keterampilan pula lebih merujuk kepada sifat keperibadian diri yang ditampilkan kepada masyarakat sekeliling. Personaliti yang baik seperti ringan tulang, jujur, bercakap benar, amanah, dan perkara yang sewaktu dengannya.
Pada pendapat saya, penampilan dan keterampilan perlu bergerak seiringan kerana kedua-duanya sama penting dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Saya kira, sudah ramai yang mengerti berkenaan kepentingan menjaga keterampilan diri. Kepentingan untuk bersikap dengan baik, mengikut lunas-lunas Islam kerana ianya adalah perkara yang dituntut dalam agama. Akhlak Nabi mencerminkan keterampilan peribadi yang mulia.
Bagaimana pula dengan penampilan? Adakah Islam tidak pernah menyentuh isu penampilan diri?
Cuba lihat kebanyakan gaya seorang CEO, segak dan bergaya dengan pakaian yang berjenama, kemas dan bersih. Penampilan diri yang baik memberikan ekspresi yang baik bagi mereka yang melihatnya pada pandangan pertama khususnya pekerja.
Islam itu tinggi dan mulia, tiada agama yang semulia dan setanding Islam. Martabat penganut agama Islam sangat tinggi disisi Allah, lebih tinggi kedudukannya daripada seorang CEO sekiranya dia benar-benar bertaqwa.
Hakikatnya, Islam sangat-sangat menuntut kepada penganutnya untuk menjaga penampilan diri kerana ianya memberi kebaikan dan keselesaan kepada individu mahupun orang disekitarnya.
Penampilan diri yang baik dari aspek pemakaian, tidak perlu kepada pakaian-pakaian yang berjenama, pakaian-pakaian yang berharga sehingga mencecah angka 3 digit, cukup sekadar pakaian yang murah asalkan ianya memenuhi kriteria-kriteria pakaian Islam.
Yang penting, bukan dengan niat ria’ atau menunjuk-nunjuk.
Pakaian yang menutup aurat buat lelaki dan perempuan, pakaian yang labuh dan longgar, tidak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan yang kononnya ‘menawan’, pakaian yang tidak terlalu nipis sehingga menampakkan kulit, sopan, dan bersih.
Bukannya memakai pakaian yang kotor, berdebu, berbau masam, kusam, pakaian yang sudah beberapa hari tidak basuh walaupun disekeliling terdapat banyak kemudahan membasuh ataupun pakaian yang koyak rabak kerana tidak pandai memasukkan benang ke dalam jarum.
Lebih teruk sekiranya memakai pakaian yang sememangnya ditegah dalam Islam.
Dari ‘Amr bin Syu’aib : ‘Rasulullah s.a.w bersabda:Islam bukanlah satu agama ritual semata, sebaliknya Islam adalah satu cara hidup.
“Sesungguhnya Allah itu mencintai kalau melihat bekas kenikmatan-Nya atas hamba-Nya itu, dengan jalan menunjukkan keindahan dan kesempurnaannya dalam berpakaian, makan, berumahtangga dan lain-lain.”
Diriwayatkan oleh Imam Tirdmizi dan ia mengatakan bahawa ini adalah hadith Hassan.
Cara hidup merangkumi semua aspek yang kita lakukan dalam kehidupan, baik dari segi berpolitik, ekonomi, sosial, aspek kesenian dan hiburan, kekeluargaan, muamalat, dan sebagainya.
Semuanya telah termaktub didalam agama Islam. Agama yang sangat tersusun dan sangat sempurna sifatnya. Bersesuaian dengan fitrah manusia.
Dalam erti kata lain, setiap saat yang kita lakukan perlulah mengikut apa yang telah disyaria’tkan.
Begitu juga dengan penampilan, turut diajarkan oleh Islam untutk menampilkan diri menjadi seorang individu muslim.
Bayangkan seorang dai’e yang baik sifatnya, lemah lembut tutur katanya, tetapi memakai pakaian yang tidak bersih dan berbau masam. Baik bau itu datangnya daripada bau pakaian, mahupun bau badan yang melekit kerana tidak mandi berbulan-bulan. Sekurang-kurangnya, pakailah deodorant untuk menghilangkan bau itu.
Seorang penceramah yang berbicara soal kemurnian serta kebersihan dalam Islam, tetapi membiarkan kukunya panjang, kotor, dan tidak menggosok gigi sebelum menyampaikan kuliah sehingga menyebabkan nafasnya berbau akibat daripada makan sambal petai dan jengkol. Maka apa ekspresi jemaah yang melihat dan menghidunya. Selesakah mereka melihat penampilannya, apatah lagi apabila cuba mendengar dan memahami apa yang diperkatakannya.
Seorang pelajar yang rajin menuntut ilmu, tetapi rumah tempat tinggalnya bersepah dan berselerak umpama tongkang pecah, pinggan di dapur tidak dibasuh, sampah sarap tidak dibuang, sisa-sisa makanan dibiarkan bertaburan, baju-baju kotor tidak dibasuh, yang bersih tidak mahu dilipat sebaliknya dibiarkan bertaburan, menjadi kawasan petempatan yang kondusif untuk semut, lipas, dan tikus. Menghasilkan aroma yang kurang senang, maka apa ekspresi tetamu yang bertandang ke rumahnya?
Bukankah Allah sendiri telah menggabungkan kerja dakwah dengan imej yang bersih?
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi”
(Al-Muddaththir : 1-5)
Mahu tidak mahu, persoalan yang timbul pasti merujuk kepada SIKAP dalam menjaga dan mengurus diri sendiri.
“Allah itu cantik dan suka kepada kecantikan” hadith riwayat Bukhari
Menjaganya agar ianya tidak terbabas dari landasan syariat, meningkatkan kualiti agar timbul rasa konsisten di dalam diri untuk terus beramal dengannya dan menaikkan martabat kita disisiNya.
Isu kebersihan ini mungkin berbunyi remeh dan kecil bagi sesetengah pihak, namun seandainya kita mengabaikannya, maka dikhuatiri akan hilanglah salah satu aspek islam yang dituntut dalam kehidupan sedangkan Allah memerintahkan untuk memasuki Islam itu secara menyeluruh dan bukannya berjuzu’-juzu’.
Api yang kecil akan menjadi marak sekiranya tidak dikawal penjagaannya.
Alangkah indahnya seandainya kedua-dua perkara ini kita dapat jaga. Membantu kearah pembentukan seorang individu muslim yang baik dari segi personalitinya, mahupun kemampuan menjaga kebersihan dirinya.
“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,” (An-Nahl, 16:43)
Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Baik kebersihan peribadi, mahupun kebersihan alam sekitar.
Ayuh kita berhijrah ke arah sesuatu yang lebih baik. Seandainya kita tidak tahu, maka bertanyalah kepada mereka yang tahu. Berapa banyak ustaz dan ustazah yang boleh dijadikan rujukan terutama dalam isu Fikh ini.
“Maka perjuangan Islam dan dakwah tidak boleh terhenti setakat leteren terhadap hal-hal yang bersifat konsep dan retorik. Penjagaan diri dan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah.” -Ustaz Hasrizal Abdul Jamil-
No comments:
Post a Comment