Saturday, August 28, 2010

Menyingkap Jendela Ramadhan

Menyingkap Jendela Ramadhan
Penulis : daie global


Menyingkap jendela Ramadhan,
Terlihat sinar rahmat dan keberkatan,

Terasa angin kemaafan dan keampunan,

Terbit cahaya taqwa dan keimanan,

Tersingkap ‘kecantikan pelangi sebalik hujan’.


Menyingkap jendela Ramadhan,
Medan ujian dan kesabaran,

Medan pertempuran melawan nafsu,

Medan *jidah mengalahkan maksiat dan kemungkaran,

Medan tawakkal dan keyakinan,
Medan ganjaran dan keuntungan,
Medan perdagangan yg menguntungkan,

Medan kemenangan buat ummat yg penuh keikhlasan.


Menyingkap jendela Ramadhan,
Terhampar permaidani menuju syurga,

Terbentang selautan rahmat dan mardhotillah,

Tersedia ruang menjahit sejadah iman,

Buat mereka yg mencari erti sebenar Ramadhan.


Menyingkap jendela Ramdhan,

Tarbiah buat seluruh manusia,

Mengajak kita menghayati kesusahan insan yg kekurangan,

Mengenalkan kita akan erti lapar dan dahaga,

Erti serba kekurangan,

Menyedarkan kita, kita sama di sisi Illahi,

Membawa kita berkasih sayang sesama insan
,
Mendekatkan diri pada Sang Pencipta.


Menyingkap jendela Ramadhan,

Memberi kekuatan bukan alasan kelemahan,

Sejarah membuktikan, kita mampu mencapai kemenangan,

Ghazwah Al Kubra,
Pembukaan Kota Mekah,

Tanda Universiti Ramadhan, melahirkan graduaan yg mantap taqwanya

Itulah rahsia Ramadhan yg tersingkap buat hambaNya yg mencari erti cinta yg hakiki
.


*jidah = jihad melawan nafsu

Saturday, August 14, 2010

Konflik Kemanusiaan Palestin : Mencari Salehuddin Abad Ke-21

Konflik Kemanusiaan Palestin: Mencari Salehuddin Abad ke-21

Penulis : Brader H

Saya berjaya menghabiskan biografi Saladin & the Fall of the Kingdom of Jerusalem catatan ahli sejarah Barat Stanley Lane-Poole selepas dua bulan menemani perjalanan dari stesen keretapi Huntingdale ke Melbourne Central. Perjalanan setengah jam ke universiti, bermakna 3-4 helai buku terbitan pertama tahun 1898 itu berjaya dihabiskan buat mengisi masa perjalanan sehala dan menyedarkan diri adanya material lain yang perlu diseimbang dengan hambatan materialistik kehidupan. Sebak rasa hati teringat kata-kata Saladin atau Salehuddin Al-Ayyubi kepada tentera baginda tatkala mempertahankan Jerusalem dari serangan bertali arus bala tentera King Richard,"The lives and children and the possessions of the muslims rest upon you. If you fail, which God for fend, they (the enemy) will role up the land like a scroll..." Dijawab oleh panglima-panglima baginda, " Thou hast been gracious to us, and made us great and powerful; thou hast given to us and made us rich; we have only our necks to offer, and they are between thy hands. By God, not a man of us will turn back from helping thee till we die! Benar bagai ditakuti Salehuddin, mereka sekarang menggulung tanah Palestin membunuh nyawa dan anak-anak tidak berdosa, menghancurkan harta benda. Amaran Salehuddin masih relevan, tetapi adakah jawapan kita (atau pemimpin kita) sama dengan jawapan panglima baginda?

Sebelum pembebasan Baitul Maqdis oleh Salehuddin, umat Islam dan Yahudi sering ditindas, dijadikan hamba dan dianggap warganegara kelas kedua oleh pemerintah Baitul Maqdis - Kristian majoriti berbahasa Perancis (Franks). Malah, penyembelihan dahsyat berpuluh-puluh ribu orang awam semasa tentera Franks menakluk Baitul Maqdis dari naungan Islam dilakukan ke atas rakyat tempatan majoritinya Islam serta Yahudi dan Kristian Orthodox yang turut sama mempertahankan kota Baitul Maqdis. Masyarakat majmuk Palestin ketika itu yang hidup dan berinteraksi antara satu sama lain memperlihatkan bagaimana semasa serangan ganas Franks, paderi-paderi menyembunyikan orang awam Islam dan Yahudi di dalam gereja mereka dan panglima-panglima Islam turut melindungi orang-orang awam Yahudi.


Mengikut Lane-Poole, Kota Baitul Maqdis dibebaskan oleh Salehuddin tanpa pertumpahan darah orang awam. Bahkan, tiada pertempuran pun berlaku di dalam Kota Baitul Maqdis itu sendiri; sama seperti pembebasan yang dilakukan pertama kali oleh Khalifah Saidina Umar Al-Khattab. Baitul Maqdis diserahkan kepada tentera Salehuddin setelah gabungan tentera Franks kalah di dalam peperangan penentuan Al-Hittin, 160km dari Baitul Maqdis.




Salehuddin berjaya menawan sejumlah besar panglima-panglima Franks (termasuklah si Balian dari Ibelin - watak dipegang Orlando Bloom di dalam Kingdom of Heaven) tetapi hampir semua dibebaskan kembali selepas cuma membayar tebusan. Belas dan kemuliaan akhlak Salehuddin tidak terjangkau minda penghuni Kota Baitul Maqdis yang selama 90 tahun lebih menzalimi rakyat Islam. Balian dijadikan utusan baginda menguruskan penyerahan kuasa berjalan dengan aman tanpa penganiayaan kepada orang awam. Baginda memerintahkan setiap ceruk jalan dikawal oleh panglima-panglima yang memastikan tiada penganiayaan, cerca nista dan balas dendam dilakukan ke atas penduduk Kristian atau agama lain. Lane-Poole merekodkan sekumpulan isteri dan anak-anak pahlawan Franks datang mengadu menangis di hadapan baginda kehilangan suami dan ayah. Salehuddin turut menangis kasihan dan memerintahkan pegawai baginda mencari pahlawan-pahlawan terbabit sekiranya hidup di dalam penjara-penjara hatta di Damsyik dan dibebaskan serta dikembalikan ke pangkuan keluarga mereka walaupun tangan mereka kotor dengan darah orang awam Islam!


Malangnya sejak 60 tahun yang lalu, kaum Yahudi yang dilindungi oleh khalifah Islam di Baitul Maqdis berabad lama menyembelih pula anak-anak Islam keturunan ayahanda mereka juga, Nabi Ibrahim alaihissalam demi memenuhi cita-cita Zionis. Cita-cita Greater Israel itu turut ditentang oleh pendeta/rabbi Judaism yang jujur kerana dibina di atas korban darah manusia yang tidak berdosa. Kaum yang sepanjang sejarah manusia, ditindas kejam disembelih Assyarian, Nebuchadnezzar Babylon, Firaun, Kristian Franks dan Hitler bertukar watak melakukan jenayah kemanusiaan terbesar abad 21. Betapa dunia hari ini umumnya memerlukan tokoh seagung Salehuddin, bukan sahaja untuk menghentikan kegilaan ini tetapi mengajar mereka erti kemanusiaan tatkala melangkah membebaskan Kota Baitul Maqdis buat kesekian kali.

Betapa dunia Islam hari ini juga mendambakan pemimpin sehebat Salehuddin. Rekod Lane-Poole menggambarkan dunia Islam pre-Salehuddin yang berpecah-pecah (disintegrated), bermusuh-musuhan serta curiga sesama sendiri. Sesetengahnya seperti Kerajaan Islam Fatimiyyah Mesir tenggelam dalam kekayaan membina istana-istana, taman-taman peribadi, bermewah-mewah dengan fesyen dan hiburan dan pembangunan yang memukau Timur dan Barat. Malah mereka membuat perjanjian bersekutu serta berkala membayar 200,000 dinar emas kepada Amalric, pemerintah Franks Baitul Maqdis dengan harapan tidak mengancam Mesir dan menjadi sekutu tentera melawan saudara seIslam mereka dari Damsyik dan Baghdad; sedangkan pada masa yang sama, saudara seIslam mereka di Baitul Maqdis berterusan dizalimi! Kerajaan Umayyah di Cordova berebut perairan Meditteranean dengan Fatimiyyah yang juga menguasai sebahagian Syria serta Semenanjung Tanah Arab, bumi Mekah dan Madinah.


Perang dingin juga berlaku dengan Kerajaan Abbasiyyah berpusat di Baghdad kerana pemimpin Fatimiyyah berfahaman Syiah walaupun majoriti rakyat Mesir ahli sunnah sebagaimana di Baghdad. Korupsi dan pengkhianatan di antara gabenor-gabenor dan pemimpin Islam juga berleluasa. Masa dihabiskan bercakaran merebut kuasa dan tanah, berselisih Syiah dan Sunnah, serta berlumba mengumpul kekayaan sesama sendiri tanpa ada keinginan menghentikan tragedi kemanusiaan di Baitul Maqdis ketika itu. Nah, dimanakah bezanya dengan Negara-negara Islam sekarang? Bukankah sejarah tercipta untuk berulang?




Mengikut Lane-Poole lagi, ‘road map’ rahsia kejayaan Salehuddin membebaskan Baitul Maqdis sebenarnya bermula dengan baginda ‘menakluk’ khalifah-khalifah, amir-amir yang lemah dan korup itu. Mewarisi satu angkatan tentera sisa-sisa Khalifah Islam Saljuk (Turki) pimpinan panglima Zangi, baginda menghabiskan masa 22 tahun mengambil alih, menyatukan atau mendidik pemimpin-pemimpin kerajaan Islam ketika itu mentadbir berlandaskan Islam – berhemah, berkebajikan berasaskan transparensi juga akauntabiliti. Satu contoh menurut Lane-Poole, baginda mengarahkan hakim-hakim agar tanpa keistimewaan membicarakan baginda di mahkamah jika ada rakyat yang mengadu teraniaya dengan polisi baginda. Seterusnya, jika baginda didapati bersalah, baginda akan menerima hukuman serta menanggung kos guaman si pengadu. Bahkan, jika didapati tidak bersalah, baginda akan melepaskan pengadu dan masih menanggung kos guaman mereka juga! Pembersihan kepimpinan korup oleh Salehuddin bermula dengan Mesir, diikuti Syria dan wilayah-wilayah Mesopotamia – negara-negara Islam sekeliling Baitul Maqdis. Cuma setahun selepas 22 tahun itu, baginda berjaya membebaskan Baitul Maqdis dari kezaliman dan penindasan.

Sejarah panjang Palestin ditentukan Allah umat Islam sebagai korbannya. Dizalimi Kristian Franks berkurun dahulu; dizalimi Yahudi Zionis sejak 60 tahun lalu. Unik Palestin ditakdirkan tanah suci bersama anak cucu Nabi Ibrahim alaihissalam (Islam, Kristian dan Judaism). Tiada siapa boleh mendabik hak mutlak tuan di situ apatah lagi merampas hak penghuni lain. Ia ujian Allah sejauh mana keturunan Nabi Ibrahim alaihissalam berkompromi menjaga tanahNya, menzahirkan penyembahan kepadaNya dengan penuh keamanan dan kedaulatan kemanusiaan (humanity) – hablumminallah wahablumminannas. Sejarah juga mencatatkan keamanan dan kedaulatan kemanusiaan pelbagai bangsa dan agama di situ wujud hanya bila ia dinaungi kepimpinan Islam yang tulen dan adil sebagaimana Saidina Umar Al-Khattab dan Salehuddin Al-Ayubbi. Sebarang ketidakadilan seperti yang dilakukan oleh seorang Khalifah Fatimiyyah yang membakar Gereja Holy Sepulchre di Baitul Maqdis dengan terang melanggar perintah keadilan Allah agar memelihara rumah ibadat tanpa mengira agama. Walaupun gereja suci umat Kristian itu dibina semula, ia telah dijadikan alasan untuk pembalasan dendam pembunuhan beramai-ramai (massacre) umat Islam bila Baitul Maqdis ditakluki Franks. Dunia (serta pemimpin) Islam hari ini seharusnya menghayati sejarah perjuangan Salehuddin, mencari jatidiri (soul-searching) sebelum bermimpi membela nasib saudara seagama mereka di Palestin.


Lane-Poole mencatat,

He (Saladin) had given away everything, and the money for his burial had to be borrowed, even to the straws for the bricks that made the grave. The ceremony was as simple as a pauper’s funeral. A striped cloth covered the undistinguished bier.”

Bandingkanlah itu dengan pemimpin-pemimpin kita sekarang… Wallahua’lam.

Tuesday, August 10, 2010

Kuliah Online : Ramadhan di Perantauan

Kuliah Online : Ramadhan di Perantauan


Assalamualaikum wbt,

Bagaimana setakat ini? Jika di Malaysia, umat Islam sudah pun mula berpuasa pada hari ini iaitu 11 Ogos 2010.

Di Australia dan New Zealand, 1 Ramadhan jatuh pada 12 Ogos 2010.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Berpuasalah krn melihat bulan dan berbukalah krn melihat bulan. Maka apabila terhalang oleh awan atasmu semua, maka sempurnakanlah hitungan bulan sya'ban sebanyak tiga puluh hari". (Muttafaq 'alaih)

Pernah dengar soalan ini?
Kenapa ye, New Zealand waktunya cepat 4 jam dari Malaysia, tapi, puasanya lambat pulak? Macam tu jugak dengan Australia.

Seorang sahabat memberi jawapan,

kalau ikut cara yg belajar masa kursus moon sighting, kita kena utamakan pada local sighting dan bukan pada global sighting hatta kalau ada khalifah pun. Bumi ini berputar, ada tempat sekarang ni Khamis, ada tempat sekarang ni Rabu. Memang susah untuk sepakat pada satu hari. Sebab itu bersepakat pada satu kaedah yang aula itu lebih utama..

Jadinya, soalan "mengapa Australia dan New Zealand puasanya lewat", adalah kerana ia bergantung kepada local sighting. Bezanya cuma sehari, insyaAllah, ianya tidak akan membebankan diri. Yang penting, keberkatan Ramadhan itu dicari, supaya kelak tidak menyesal diri.

Yang pastinya, semua tempat pasti merasai kedatangan 1 Ramadhan ini. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Untuk ke sekian kalinya Allah SWT mengizinkan kita untuk terus bertemu dengan Ramadhan.

Ada orang bersyukur kerana masih lagi dihidupkan oleh Allah SWT hingga ke hari ini supaya dia masih dapat mengumpul amal, mengumpul pahala untuk dibawa ke akhirat kelak.
Buat apa hujung minggu ini? Tentunya ramai yang bercadang untuk ke mana-mana. Tadabbur alam, tadabbur Al-Quran, ziarah dan macam-macam lagi.

Kami menjemput semua pengunjung blog iluvanz.blogspot.com untuk mendengar sebuah kuliah online yang dibawakan oleh intelek_anz (anz= Australia, New Zealand).


Kuliah Online : Ramadhan di Perantauan

Penyampai : Ustaz Hilmi
Calon PhD Syariah
University of Western Australia, Perth
Tarikh : 14 Ogos 2010.
Masa : 7 pagi (Malaysia, Perth)
9 pagi (Melbourne, Sydney)
11 pagi (New Zealand)
Medium : Paltalk (sila add: intelek_anz)


Jika ada kelapangan, marilah bersama-sama kami untuk menimba ilmu.

Juga, sesuai untuk mereka yang sudah bertahun-tahun di perantauan. Mana yang lupa kita ingatkan, mana yang tak tahu kita beri tahu (baca: pengetahuan), insyaAllah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------
Klik link di bawah utk mendapatkan rakaman kuliah online di atas. =)

http://rapidshare.com/files/415144118/Kuliah_Online_-_Ramadhan_di_Perantauan.mp3.html

Ramadhan 1431 Hijrah

Ramadhan 1431 Hijrah
Penulis : Meja team i luv anz

Alhamdulillah, Ramadhan menjengah sudah untuk tahun 1431 Hijrah ini.

Pastinya setiap daripada kita sudah menyemat azam dan kesungguhan untuk beribadat semaksima mungkin di dalam bulan yang mempunyai keberkatannya yang tersendiri ini.

Alhamdulillah, azam dan semangat itu juga diharapkan berterusan, supaya kita tidak dianggap seperti seorang yang berhangat hangat tahi ayam, ataupun seorang yang hanya menjadi muslim yang hebat ketika di bulan Ramadhan.

Muslim yang hebat amalnya berterusan. Muslim yang hebat keazamannya untuk mencari redha Allah SWT sentiasa meningkat dari sehari ke sehari.

Tetapi sudah tentu, dengan kelebihan yang diletakkan Allah SWT pada bulan Ramadhan ini menyebabkan ramai yang berkejar-kejaran dalam melakukan amalan. Alhamdulillah! InsyaAllah, kita sama-sama berusaha ke arah itu.

Nabi s.a.w bersabda: "Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan….menyerulah Malaikat, katanya: "Wahai orang yang mencari dan berkehendakkan kebaikan: Tampillah mengerjakannya, dan wahai orang yang merasa mahukan kejahatan; berhentilah dari meneruskannya; dan (ketahuilah) Allah banyak membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya."Seruan dan keampunan yang demikian, ada pada tiap-tiap malam (dalam bulan yang tersebut)."

Abu Hurairah r.a
Di kesempatan ini juga, kami di iluvanz.blogspot.com,



Sunday, August 8, 2010

Hati Emas 1

Hati Emas 1
Penulis : Yunus


Mehnah dan tribulasi (dugaan, rintangan) sentiasa datang bertalu-talu, hinggakan kadang-kadang kita tidak mempunyai daya untuk bernafas. Ibarat lemas dipukul ombak dan badai di lautan, karam ditelan taufan. Maka kita pun mengeluh dan bersedih terlalu lama mengenangkan nasib diri. Bagi mereka yang tiada pengharapan, tiada tempat untuk bergantung, salah satu jalan penyelesaian adalah dengan membunuh diri. Seringkali saya terdengar mangsa bunuh diri akan mengambil hydrogen cyanide, (bahan kimia bertoksik tinggi). Sebenarnya kita gagal menghargai diri sendiri dan merasa terlalu hina atau rendah darjat bila menempuh dugaan/cabaran yang maha hebat. Dugaan itu adalah tarbiyyah daripada Allah dan sebaik-baik tarbiyyah datang daripada-Nya. Kerana itulah Nabi Muhammad SAW kekal sebagai manusia terulung diabad ini, didikannya datang daripada Allah. Ingatkah kita terhadap kisah Nabi Yunus AS ketika baginda ditelan ikan Nun, di dalamnya gelap dan sunyi. Lalu baginda berdoa kepada Allah, ....
"Bahwa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim." [al Anbiyaa’ 21:87]


Diri kita diibaratkan seperti emas. Nilai emas terlalu tinggi harganya. Namun emas akan terus kekal tanpa
manfaat yang berguna jika tidak ditempa menjadi wang dinar, rantai, gelang atau cincin emas. Bongkah/jongkong emas perlu diketuk, dipanaskan dan dileburkan mengikut acuan tertentu. Setelah selesai proses itu, cincin atau rantai emas akan dilekatkan dengan batu permata atau berlian untuk menjadi lebih berharga. Begitu juga manusia. Manusia mempunyai nilai yang sangat tinggi, sama seperti emas. Dalam kembara mencari nilai diri dan erti hidup, kita akan berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi. Tanpa semua dugaan/cabaran ini kita takkan mampu menjadikan diri kita lebih bermanfaat dan berharga.
Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.
[al Baqarah 3:139]

Emas dan manusia, sama-sama tinggi nilainya.

Monday, August 2, 2010

Lafaz Yang Tersimpan

Lafaz Yang Tersimpan
Penulis : penselsaya


Di dalam Surah Al-Isra’, ayat 23 dan 24, Allah SWT berfirman,


Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. (17 : 23)

Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.” (17 : 24)

Islam adalah cara hidup.
Usah ragu, usah berkira-kira dengan pernyataan itu. Lihatlah 2 ayat sebelumnya, Al-Quran menyebut bahawa perlu nya untuk anak-anak menghormati ibu bapanya. Islam adalah agama yang mengajar dan mendidik. Allahu Allah!

Terima kasih ya Allah, di atas kurniaan nikmat Islam ini. Ya muqallibal qulub thabit qulubana ‘ala deenika ya Allah.
Hargai keduanya supaya tidak menyesal di esok hari. Syurga di bawah tapak kaki ibu.
Sabda Rasulullah SAW, “Keredhaan Allah itu terletak kepada keredhaan ibu bapa manakala kemurkaan Allah itu terletak pada kemurkaan ibu bapa.”

(
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya – hadis no: 1899 (Kitab al-Birr wa al-Shalah, Bab berkenaan keutamaan pada keredhaan ibubapa) dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 515.)
Hidup di perantauan (baca: berjauhan) bukanlah alasan untuk membataskan hubungan.

Hari-hari pun Hari Ibu dan Hari Bapa!

UNIC membawakan sebuah lagu bertajuk Lafaz Yang Tersimpan.



Luluh hatiku yang sayu
Menatap wajahmu tenang dalam lena
Kasih zahirkan laku
Sedangkan bibirku jauh dari lafaznya

Dan raut tuamu membekas jiwaku
Meredakan rindu mendamaikan kalbu
Tak mungkin kutemu iras sentuhanmu
Biarpun kuredah seluruh dunia
Mencari gantimu

Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar
tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia

Masih kubiarkan waktu
Melarikan lafaz kasihku padamu

Mengapakah sukar menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanyalah sekadar tingkah
Cumalah ungkapan bisu kalimah rahsia

Apakah yang hilang andai di lisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata

Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaanSebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan
-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Rangkap ini,
“Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah hanya sekadar tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
melindungkan kalimah rahsia”

Berusahalah untuk zahirkan melalui perbuatan kita betapa kasih dan sayangnya kita sebagai anak kepada ibu dan bapa kita. Buangkan perasaan malu tak bertempat, kerana hakikatnya mereka itu ibu dan bapa kita. Walau segarang singa, mahupun sekeras batu pun mereka, tetapi, apabila usia meniti senja, hati mereka akan tetap tersentuh dengan kebaikan yang dizahirkan oleh anak-anak kepada mereka. Paling tidak, jika sebelum ini tidak pernah kita memberi kad sempena “Hari Ibu” atau “Hari Bapa”, jadi, mulakan ia sekarang. Allahu Allah, Engkau Maha Memahami, bantu lah kami!

Rangkap ini perlu untuk dihadam sebaik mungkin.

“Apakah yang hilang andai di lisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan tutur kata
Benar! Namun, hanya satu peringatan. Kata-kata akan menyentuh hati jika kata-kata itu lahirnya dari hati. Hati yang sebenar ikhlas menyatakan rasa cinta, kasih dan sayang kepada mereka. Cinta, kasih dan sayang yang mengharapkan redha Allah SWT, sekaligus agar sama-sama dapat berjumpa di syurga-Nya kelak. Bukan cinta, kasih dan sayang kerana harta dan kemewahan yang mereka ada. Kerana kelak, kehidupan akhirat menjadi tujuan, menjadi tempat perkumpulan yang di dambakan oleh sebuah keluarga. Allahu Allah!

Rangkap ini menjadi kesimpulan kepada lagu ini, terutama pada 2 baris terakhir.
“Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan
Ya! Jangan biar kehilangan menggantikan lafaz yang tersimpan!

EKSPRESI DIRI MU, KEPADA EMAK DAN AYAH MU KERANA MEREKA BERHAK.

“Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Jom berdoa untuk ibu dan bapa kita. Hari ini? Ya! Malah HARI-HARI!

Sunday, August 1, 2010

Indah Bukan Pada Rupa

Indah Bukan Pada Rupa
Penulis : firnas_nafiz

Bismillahirrahmanirrahim

Banyak sekali komen yang saya terima perihal dengan penampilan diri saya dahulu yang merujuk kepada rambut. Ya, isu rambut yang semakin panjang.

Baik dari komen-komen di blog, mahupun komen-komen peribadi yang saya terima di dalam e-mail dan SMS dari Malaysia setelah melihat penampilan ‘terbaru’ saya di Australia. Semuanya berkenaan rambut.

Terima kasih kepada mereka yang mengambil berat. Mengambil berat kerana ianya jauh dari kebiasaan perkara yang pernah saya lakukan.

Ketahuilah bahawa ini hanyalah sebuah eksperimentasi sementara kerana saya tidak berniat untuk memanjangkan rambut seperti Bob Marley atau Ramli Sarip, cukup sekadar selesa, sederhana, bersih, dan kemas.
Membuatkan saya terfikir tentang satu perkara yang sangat islamik, namun sejauh mana kita meletakkan keutamaan itu dalam kehidupan.

Isu menjaga keterampilan dan penampilan diri.


Saya bukanlah seorang pakar bahasa, namun dengan ilmu tatabahasa Bahasa Melayu yang saya pelajari di sekolah, penampilan dan keterampilan membawa maksud yang sedikit berbeza antara satu sama lain.

Penampilan lebih merujuk kepada perkara yang terzahir dan mudah di lihat di depan mata. Sejauh mana kita menguruskan kehidupan. Lebih mudah jika saya katakan penampilan itu adalah “appearance”. Sebagai contoh, jenis pakaian yang kita pakai, suasana tempat kita belajar, suasana rumah tempat kita tinggal, serta perkara yang sewaktu dengannya.


Keterampilan pula lebih merujuk kepada sifat keperibadian diri yang ditampilkan kepada masyarakat sekeliling. Personaliti yang baik seperti ringan tulang, jujur, bercakap benar, amanah, dan perkara yang sewaktu dengannya.

Pada pendapat saya, penampilan dan keterampilan perlu bergerak seiringan kerana kedua-duanya sama penting dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Saya kira, sudah ramai yang mengerti berkenaan kepentingan menjaga keterampilan diri. Kepentingan untuk bersikap dengan baik, mengikut lunas-lunas Islam kerana ianya adalah perkara yang dituntut dalam agama. Akhlak Nabi mencerminkan keterampilan peribadi yang mulia.

Bagaimana pula dengan penampilan? Adakah Islam tidak pernah menyentuh isu penampilan diri?

Cuba lihat kebanyakan gaya seorang CEO, segak dan bergaya dengan pakaian yang berjenama, kemas dan bersih. Penampilan diri yang baik memberikan ekspresi yang baik bagi mereka yang melihatnya pada pandangan pertama khususnya pekerja.

Islam itu tinggi dan mulia, tiada agama yang semulia dan setanding Islam. Martabat penganut agama Islam sangat tinggi disisi Allah, lebih tinggi kedudukannya daripada seorang CEO sekiranya dia benar-benar bertaqwa.
Hakikatnya, Islam sangat-sangat menuntut kepada penganutnya untuk menjaga penampilan diri kerana ianya memberi kebaikan dan keselesaan kepada individu mahupun orang disekitarnya.

Penampilan diri yang baik dari aspek pemakaian, tidak perlu kepada pakaian-pakaian yang berjenama, pakaian-pakaian yang berharga sehingga mencecah angka 3 digit, cukup sekadar pakaian yang murah asalkan ianya memenuhi kriteria-kriteria pakaian Islam.

Yang penting, bukan dengan niat ria’ atau menunjuk-nunjuk.

Pakaian yang menutup aurat buat lelaki dan perempuan, pakaian yang labuh dan longgar, tidak ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh badan yang kononnya ‘menawan’, pakaian yang tidak terlalu nipis sehingga menampakkan kulit, sopan, dan bersih.
Bukannya memakai pakaian yang kotor, berdebu, berbau masam, kusam, pakaian yang sudah beberapa hari tidak basuh walaupun disekeliling terdapat banyak kemudahan membasuh ataupun pakaian yang koyak rabak kerana
tidak pandai memasukkan benang ke dalam jarum.

Lebih teruk sekiranya memakai pakaian yang sememangnya ditegah dalam Islam.


Dari ‘Amr bin Syu’aib : ‘Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesungguhnya Allah itu mencintai kalau melihat bekas kenikmatan-Nya atas hamba-Nya itu, dengan jalan menunjukkan keindahan dan kesempurnaannya dalam berpakaian, makan, berumahtangga dan lain-lain.”
Diriwayatkan oleh Imam Tirdmizi dan ia mengatakan bahawa ini adalah hadith Hassan.
Islam bukanlah satu agama ritual semata, sebaliknya Islam adalah satu cara hidup.



Cara hidup merangkumi semua aspek yang kita lakukan dalam kehidupan, baik dari segi berpolitik, ekonomi, sosial, aspek kesenian dan hiburan, kekeluargaan, muamalat, dan sebagainya.
Semuanya telah termaktub didalam agama Islam. Agama yang sangat tersusun dan sangat sempurna sifatnya. Bersesuaian dengan fitrah manusia.

Dalam erti kata lain, setiap saat yang kita lakukan perlulah mengikut apa yang telah disyaria’tkan.
Begitu juga dengan penampilan, turut diajarkan oleh Islam untutk menampilkan diri menjadi seorang individu muslim.

Bayangkan seorang dai’e yang baik sifatnya, lemah lembut tutur katanya, tetapi memakai pakaian yang tidak bersih dan berbau masam. Baik bau itu datangnya daripada bau pakaian, mahupun bau badan yang melekit kerana tidak mandi berbulan-bulan. Sekurang-kurangnya, pakailah deodorant untuk menghilangkan bau itu.
Seorang penceramah yang berbicara soal kemurnian serta kebersihan dalam Islam, tetapi membiarkan kukunya panjang, kotor, dan tidak menggosok gigi sebelum menyampaikan kuliah sehingga menyebabkan nafasnya berbau akibat daripada makan sambal petai dan jengkol. Maka apa ekspresi jemaah yang melihat dan menghidunya. Selesakah mereka melihat penampilannya, apatah lagi apabila cuba mendengar dan memahami apa yang diperkatakannya.
Seorang pelajar yang rajin menuntut ilmu, tetapi rumah tempat tinggalnya bersepah dan berselerak umpama tongkang pecah, pinggan di dapur tidak dibasuh, sampah sarap tidak dibuang, sisa-sisa makanan dibiarkan bertaburan, baju-baju kotor tidak dibasuh, yang bersih tidak mahu dilipat sebaliknya dibiarkan bertaburan, menjadi kawasan petempatan yang kondusif untuk semut, lipas, dan tikus. Menghasilkan aroma yang kurang senang, maka apa ekspresi tetamu yang bertandang ke rumahnya?

Bukankah Allah sendiri telah menggabungkan kerja dakwah dengan imej yang bersih?
“Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi”
(Al-Muddaththir : 1-5)


Mahu tidak mahu, persoalan yang timbul pasti merujuk kepada SIKAP dalam menjaga dan mengurus diri sendiri.

Maka, marilah kita mengambil sikap untuk menjaga dan meningkatkan kualiti penampilan dan penerampilan diri.
“Allah itu cantik dan suka kepada kecantikan” hadith riwayat Bukhari


Menjaganya agar ianya tidak terbabas dari landasan syariat, meningkatkan kualiti agar timbul rasa konsisten di dalam diri untuk terus beramal dengannya dan menaikkan martabat kita disisiNya.

Isu kebersihan ini mungkin berbunyi remeh dan kecil bagi sesetengah pihak, namun seandainya kita mengabaikannya, maka dikhuatiri akan hilanglah salah satu aspek islam yang dituntut dalam kehidupan sedangkan Allah memerintahkan untuk memasuki Islam itu secara menyeluruh dan bukannya berjuzu’-juzu’.
Api yang kecil akan menjadi marak sekiranya tidak dikawal penjagaannya.

Alangkah indahnya seandainya kedua-dua perkara ini kita dapat jaga. Membantu kearah pembentukan seorang individu muslim yang baik dari segi personalitinya, mahupun kemampuan menjaga kebersihan dirinya.

“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,” (An-Nahl, 16:43)


Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama. Baik kebersihan peribadi, mahupun kebersihan alam sekitar.
Ayuh kita berhijrah ke arah sesuatu yang lebih baik. Seandainya kita tidak tahu, maka bertanyalah kepada mereka yang tahu. Berapa banyak ustaz dan ustazah yang boleh dijadikan rujukan terutama dalam isu Fikh ini.

“Maka perjuangan Islam dan dakwah tidak boleh terhenti setakat leteren terhadap hal-hal yang bersifat konsep dan retorik. Penjagaan diri dan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah.” -Ustaz Hasrizal Abdul Jamil-


Dzatun' Nithaqain

Dzatun’ Nithaqain
Penulis : SN NY


Di antara watak-watak utama di dalam kisah penghijrahan Nabi Allah ke Madinah, salah seorangnya ialah serikandi islam - hanya berumur 27 tahun ketika itu.


Beliau merupakan puteri kepada sahabat Rasulullah yang mulia, Saidina Abu Bakar As-Siddiq, kakak kepada Aishah Ummul Mukminin (isteri Rasulullah SAW), suri hidup kepada Zubair Al-Awam, seorang pahlawan pejuang dan tokoh islam yang terawal, dan bonda kepada pejuang agama Abdullah bin Zubair. Beliaulah Asma Abu Bakar – Wanita yang Mempunyai Dua Tali Pinggang.


Kebijaksanaan dan Keberanian Dzatun Nithaqain

Didalam kisah Hijrah Nabi Allah ke Madinah, Asma telah ditugaskan menghantar makanan kepada ayahandanya dan Rasulullah SAW di gua Thur. Ternyata beliau tidak mempunyai apa-apa untuk mengikatkan makanan yang dibawa di unta, lantas dicarik kain yang menjadi tali pinggangnya kepada dua – salah satunya digunakan untuk mengikat makanan. Disinilah beliau diberi julukan “Dzatun Nithaqain”. Dalam situasi yang mendesak – Asma kreatif dalam memikirkan jalan keluar.


Hari-hari seterusnya sementelah peninggalan ayahandanya dipenuhi dengan kunjungan-kunjungan ‘mesra’ pemuka Quraish.


Antaranya ialah datuknya sendiri Abu Quhafah, seorang musyrikin yang sudah pun buta.


“Aku dengar bapamu pergi membawa kesemua hartanya ? Ah, bijak, bijak – adakah dia berniat melaparkan kalian?”


Lantas, asma mengumpulkan batu-batu kecil dan membalutnya didalam kain, dan diberi kepada datuknya untuk merasa.


“Bahkan, begitu banyak wang yang ayah telah tinggalkan!”


Asma melakukan sedemikian, sebagai cara untuk menenangkan datuknya disamping menolak sebarang bentuk bantuan daripada Abu Quhafah dan agar Abu Bakar tidak dipersendakan lagi. Inilah satu lagi peristiwa dimana kebijaksanaan Asma terserlah.


Kedermawanan Asma


Asma juga diceritakan sebagai seorang yang pemurah. Ini diceritakan sendiri oleh anakandanya Abdullah bin Zubair:



“Aku tidak melihat pun sesiapa yang lebih pemurah berbanding bondaku Asma dan ibu saudaraku Aishah meskipun kedermawanan mereka didalam cara yang berbeza. Aishah gemar mengumpulkan sedikit demi sedikit harta untuk diinfaqkan sedangkan ibuku Asma tidak sukamenunggu hari esok untuk meinginfaqkan sesuatu”


Pertemuan untuk Berpisah

Menyoroti usia-usia emasnya, umat islam dilanda kecemasan terutama sekali setelah kematian Yazid bin Muawiyah. Disitu, Abdullah bin Zubair telah diangkat menjadi khalifah seterusnya. Bahkan, segenap penduduk dari Mesir, Iraq, Khorasan dan Syria datang untuk membai’ahnya. Namun, Bani Umayyah yang dipimpin Hajjaj ibnu Yusuf telah menolak kepimpinan beliau dan mengisythiharkan perang.

Disaat puncak peperangan, dimana ramai penyokong beliau tidak tahan dengan tekanan yang diberikan dan telah menahan diri, dan pertahanan menjadi semakin lemah, Abdullah bin Zubair telah bertemu dengan bondanya, yang ketika itu sudah pun buta dan berumur 100 tahun.

Berikut adalah antara isi perbualan mereka:



Abdullah: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!

Asma': Wa'alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh, Ya Abdullah! Mengapa engkau datang ke sini di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu besar yang dilontarkan Hajjaj kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota Mekah?


Abdullah: Aku hendak bermusyawarah dengan ibu.

Asma': Tentang masalah apa?

Abdullah: Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan isteriku sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan kepadaku apa saja yang ku minta berupa kemewahan dunia asal saja aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?

Asma': Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq dan mengajak kepada kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika engkau menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang anak lelakiku yang pengecut! dan bererti engkau sedang mencelakakan dirimu sendiri dan menjual murah harga kepahlawananmu selama ini, anakku!

Abdullah: Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.

Asma' : Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-budak Bani Umayyah dengan mempermainkan janji-janji mereka yang sangat sukar untuk dipercayai!

Abdullah: Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!

Asma': Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah kita mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit lagi ketika kulitnya dikupas orang!

Abdullah: Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar apa yang telah ku dengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh dunia dan segala kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan segala yang diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani segala nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan dari kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!

Asma': Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.

Abdullah: Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan tidak memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di dalam sanubari Ibu.

Asma': Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah saat terakhir untuk ibu memelukmu...

Abdullah: Jangan bosan mendoakan aku Ibu!


Ketika Abdullah dipeluk ibunya, dia terasa sesuatu yang keras dan bertanyakan Abdullah apakah itu. Lalu, Abdullah berkata itu adalah baju perisai yang dipakainya.

Maka, Asma menyuruh Abdullah agar menanggalkan baju perisainya itu kerana seseorang yang ingin mati syahid tidak memerlukan sesuatu untuk melindungi dirinya. Ternyata, inilah pepisahan dua beranak ini kerana Abdullah telah berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir dan gugur sebagai pejuang islam.

Tidak lama setelah kematian Abdullah, Asma pula menyusul. Meskipun beliau wafat pada umur 100 tahun, gigi-gigi beliau masih dalam keadaan yang utuh, dan ketajaman mindanya tidak sdikitpun terjejas.

Asma’ adalah bukti dimana wanita turut berada bersama-sama didalam perancangan strategi untuk menjayakan islam. Alasan-alasan sperti kehamilan, ‘saya hanya seorang wanita’, tidak menjadi penghalang buat beliau untuk berkhidmat kepada Islam. Keberanian, kecekalan, dan kebijaksanaan beliau seharusnya kita contohi (terutama kaum muslimah).

Wallahu'alam.

sumber : Munif Ahmad. Rahsia Asma binti Abu Bakar. Riwayat Bidadari Syurga. Hijjaz Records Publishing (Selangor): Pg 186:193.