Oh, aku mudah lupa
Penulis: kita kawan
Hari itu aku menelefon emak. Peperiksaan SPM sudah semakin dekat. Aku bertanyakan tentang kad pengenalanku. Nadaku dengan emak ketika itu sedikit keras. Minta emak segerakan penghantaran. Setelah sekian lama, baru aku perasaan akan tindakanku itu. Astaghfirullah. Mungkin saja emak begitu sibuk. Mungkin saja emak benar-benar tidak sempat. Hanya kerana aku, kad pengenalan, dan SPM, aku berasa sedikit ‘marah’ dengan emak. Bukankah dia yang menjagaku sejak kecil? Bukankah dia yang sekian lama bersabar ketika aku merengek dan menangis. Bukankah dia yang tidak tidur malam menuam kepalaku ketika aku demam?
Oh, aku mudah lupa.
Setelah beberapa tahun emak meninggal, ayah lah yang menjadi ibuku. Ayah dari dahulu memang kurang berbicara. Lebih banyak diam memerhatikan. Tetapi sekali menegur, terasa berbisa. Bila melihat ayah orang lain bergurau senda dan beramah mesra, tidak kunafikan aku sedikit cemburu. Benakku berkata
“Ah, aku tak pernah merasakan kasih sayang ayah”
“Ayah tak pernah peduli tentang aku”
Ayah itu dan ayah ini.
Aku terlupa. Ayahlah insan yang berpenat lelah mencari rezeki yang halal untuk kami adik beradik. Adakah aku sendiri benar-benar peduli tentang ayah? Adakah aku sendiri menunjukkan kasih sayang pada ayah? Adakah aku di sisi ayah memujuknya ketika dia sedih akan pemergian isterinya yang tercinta?
Oh, aku mudah lupa.
Hari ini aku telah menduduki satu peperiksaan. Berada di tahun ketiga di universiti sememangnya makin mencabar. Aku melangkah keluar dewan dalam keadaan resah. Sedikit kecewa dengan kertas tadi. Pelbagai perkara negatif bermain-main di minda. Bermacam “kalau” terlafaz. Terbayang-bayang High Distinction yang aku idamkan seakannya telah terbang melayang. Tiba-tiba butang 'pause' aku ditekan. Aku terfikir sejenak dan bermonolog sendirian. ‘Kenapa engkau belajar?’ Soalan itu bertubi-tubi mendesak dadaku. ‘Di atas kertas, engkau tulis “belajar niat ikhlas kerana Allah”. Apa benar engkau belajar untuk mencari redhaNya? Apa benar engkau yakin Dia akan tentukan yang terbaik? Apa benar engkau meletakkan setinggi-tinggi harapan kepadaNya? Bukankah Allah menggunakan pelbagai ‘cara’ unik untuk menunjukkan kasih sayang kepada hambaNya? Bukankah rezeki itu ditentukan oleh Dia?’
Lansung, kenapa perlu begitu kecewa?
Oh, aku memang mudah lupa.
Dalam kesunyian, aku tersungkur sujud mengalirkan air mata. Menangis dalam rasa syukur. Syukur kerana pernah merasakan kasih sayang emak. Syukur kerana masih punya ruang untuk berbakti pada ayah. Syukur kerana masih punya tubuh badan yang sihat untuk terus menuntut ilmu.
Ya Allah ingatkanlah kami ketika kami lupa. Ampunkan kami ketika kami tersalah. Bantulah kami untuk menjadi hamba yang bersyukur.
No comments:
Post a Comment