Tuesday, June 14, 2011

Keindahan Yang Sementara

Keindahan Yang Sementara
Penulis: penselsaya


Kita mengharapkan sesuatu yang kita lalui di akhiri dengan sesuatu yang indah.
Masuk sekolah rendah, mendapat 5A dalam UPSR adalah impian.
Masuk sekolah menengah, 10A dalam genggaman itu lah harapan.
Semuanya kerana kita mahu satu kepuasan, hasil daripada usaha yang dilakukan.

Di alam universiti, bermula dengan degree, Master kemudian PhD.
Kalaupun tidak mampu mencapai tahap PhD, paling tidak di peringkat degree, kita mahukan keputusan yang sangat baik.
Kita mengharapkan sesuatu yang indah.

Apabila sudah dewasa, kita berkenalan dengan seseorang.
Pada kita, dia lah istimewa.
Semasa tempoh berkenalan, kita menjaga batas-batas pergaulan yang ada.
Bukan dengan dia semata, tetapi dengan semua manusia di sekeliling kita.
Kerana, kita yakin, ia akan memberi pengaruh yang besar semasa kita sudah berkahwin nanti.
Kita menjaga ikhtilat, kerana kita mengharapkan perkahwinan kita nanti lebih diberkati dan terlihat keindahannya.

Para mujahidin Palestin bersungguh-sungguh membebaskan tanah suci Palestin daripada penjajahan Zionis.
Dari sekecil-kecil usaha melempar batu, hinggalah mengangkat senjata berada di medan tempur, telah pun mereka lakukan.
Hingga kini usaha itu masih berterusan.
Walaupun kemenangan yang dijanjikan Tuhan pasti tiba, namun, jika mata tak sempat melihat nya,
syahid di jalan-Nya juga adalah suatu yang indah.

Janji Allah suatu yang indah.
Syurga yang digambarkan di dalam Al-Quran, dimana mengalir sungai-sungai di bawahnya,
bukanlah seperti yang kita sangka, dan yang kita bayangkan di dalam kepala.
Ianya pasti lebih hebat dari yang kita 'rasa-rasa'!

Hakikatnya, kita asyik membayangkan keindahan yang dapat di capai oleh mata seperti sekarang.
Mana mungkin, kerana ianya pasti tidak sama.

Kita mengharapkan sesuatu yang dapat dilihat dan dicapai dengan segera.
Mana mungkin, kerana jika begitu, tiadalah manusia mahu bermujahadah.
Mujahadah itu penting dalam menggapai redha-Nya yang bukan semurah cinta dunia!

Kita manusia yang tergesa-gesa.
Mengharapkan keindahan yang datang dengan cepat dan mudah.
Kalau berdoa tika ini, kalau boleh esok juga kita mahu.

Tidak mustahil pun bagi-Nya!

Cuma untuk kita yang kadang-kadang cepat merungut, cepat menyalahkan,
Hati itu cepat sahaja mengatakan, "Aku dah usaha! Asyik tak dapat je!"

Kerana kita ini mengharapkan keindahan yang sementara.
Bermujahadah memang kita tak mahu rasa.
Sebagaimana degree itu bukan untuk mereka yang TIDAK berusaha,
Begitu jugalah syurga, yang bukan untuk mereka yang TIDAK bermujahadah melawan al-hawa.


No comments:

Post a Comment