Thursday, July 22, 2010

Suatu Yang Pasti.

Suatu Yang Pasti

Penulis : penselsaya


“Aku lemah betul la bila sebut pasal ‘mati’ ni.”

Seorang wanita berusia awal 20-an berkata-kata, meluahkan apa yang dirasakannya.

Si pendengar menjawab, “Sebab tu kalau nak beramal, berdakwah, jangan terlalu kerap menggunakan perkataan ‘nanti’, kerana yang pasti ‘mati’ tak mengenal erti ‘nanti’”.

Di dalam Al-Quran terdapat firman Allah SWT, surah Al-Anbiya’ ayat ke-35;

[1]كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ


Maksudnya : Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami.

Mati itu datang nya bila? Adakah datangnya apabila umur sudah berusia, di mana ketika itu, kita sudah mempunyai sebuah keluarga bahagia, pekerjaan yang sempurna, mahupun rumah besar? Oh, saya tidak fikir begitu.

Di dada akhbar, seringkali menyiarkan berita tentang kemalangan yang meragut beberapa nyawa. Kadang-kadang anak-anak kecil turut terlibat. Jarang di dengar apabila kemalangan yang meragut nyawa berlaku, ketika itu semua mangsanya adalah golongan tua. Jadi, terbuktilah, mati itu sesuai untuk semua lapisan dan golongan masyarakat!


Apabila dikatakan “cinta tidak mengenal usia”, terdapat golongan yang gembira. Kononnya, pernyataan tersebut merestui hubungan cinta manusia tanpa mengenal sempadan usia. Cuba diubah pernyataan itu kepada “mati tidak mengenal usia”, apa reaksi manusia? Ada suka, ada yang tidak. Paling tidak, akan disambut dengan, “Biarlah, dah nak mati, nak buat macam mana lagi.”

Alhamdulillah, jika ada di antara kita yang sentiasa bersedia untuk mati. Berapa ramai yang bersedia untuk mati? Jika musim peperiksaan menjelang, ramai para pelajar yang akan merancang bersama rakan-rakan untuk membuat study group. Tatkala itu, perpustakaan akan dibuka 24 jam, bagi memudahkan para pelajar belajar. Tidak kurang juga ada yang akan menyediakan beberapa tin air kopi di sisi, katanya, “Nak bagi tak mengantuk.” Subhanallah! Manusia ini usahanya pelbagai dan bermacam-macam.

Untuk sesuatu yang mereka boleh nampak hasilnya, manusia pasti akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Contohnya, sunnatullah, siapa yang berusaha pasti akan berjaya. Siapa yang rajin mengulangkaji pelajaran, pasti dia akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. (InsyaAllah!) Kelak, mereka yang berjaya dengan keputusan flying colours, akan mendapat anugerah. Mereka nampak keadaan tersebut, kerana sebelum ini sudah ada kakak-kakak mahupun abang-abang yang terlebih dahulu melalui zaman tersebut.

Tetapi, bagaimana dengan mati? Ya, sebelum ini memang sudah banyak khabar tentang kematian yang didengar. Berapa ramai yang ambil pengajaran dan memuhasabahkan diri? Kematian adalah suatu yang pasti, yang kelak semua perlakuan anak Adam akan dihitung. Bagi mereka yang amalnya flying colours, diberi pahala yang setimpal oleh Allah SWT. Sama sahaja hal nya dengan peperiksaan tadi, cuma yang menjadi tanda tanya kenapa tak ramai yang bersiap sedia untuk mati?

Malam nya dihidupkan dengan beribadah kepada Allah, untuk menambahkan amal supaya dapat dibawa ke akhirat kelak. Tutur katanya, perbuatannya, dijaga dengan penuh rapi supaya ia dapat diterima-Nya sebagai ibadah. Mungkin ada, tapi tak ramai. Alhamdulillah, paling tidak ada yang bermujahadah untuk melakukan persiapan yang terbaik sebelum kematian menjengah.

Mengingati mati bukanlah untuk mengurangkan produktiviti, mahupun menjatuhkan keyakinan diri. Tetapi lebih untuk menyediakan diri supaya sentiasa merasa rendah diri kepada Yang Maha Satu, sekaligus mengabdikan diri kepada yang haq.

No comments:

Post a Comment