‘Eh, Emak ingin naik haji?’, soal hati.
‘Simple’ benar tajuknya. kot-kot isinya pun biasa-biasa’.
Begitulah antara ayat-ayat yang muncul di hati ini apabila pertama kali melihat ‘trailer’ filem ini di Facebook seorang sahabat. Melihat betapa ‘simple’ tajuk filem ini membuatkan saya hampir tidak menekan butang ‘PLAY’.
‘Ah, ada apa dengan tajuk. Tajuk yang ringkas tidak bermakna isinya tidak mantap!’
Begitula persepsi kita yang mudah benar terjerat dengan tajuk. Sudah menjadi lumrah perfileman, tajuk yang ‘catchy’ mampu menjadi umpan yang hebat! Lihatlah Ayat-ayat cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Laskar Pelangi berjaya mendapat tempat di hati penonton dengan tajuk yang ‘catchy’. Ditambah lagi dengan isi dan kualiti yang boleh dipuji.
Ok, kembali kepada filem Emak Ingin Naik Haji. Filem hebat dari Indonesia ini diarahkan oleh Aditya Gumay dan membariskan pelakon utamanya Aty Kanser (Emak) dan Reza Rahardian (Zein).
‘Ayie, boleh tak kau beri tiga gambaran perasaan tentang filem ni?’, soal si X.
‘Belasan perasaan sebenarnya hadir tika mata dan hati leka menonton sambil otak ligat mengupas filem ini. Urm...tapi antara yang utama; Terkejut. Sedih.Terharu”, jawapku penuh makna.
Terkejut dek unsur suspennya. Terharu melihat ibu dan anak cuba berkorban demi rindu pada tanah suci dan tautan ukhwah masyarakat sekeliling. Sedih dan terkilan dengan kesanggupan kanak-kanak mentah untuk makan apa sahaja untuk terus hidup.
Empat Nilai Utama
Suka saya berkongsi empat nilai utama yang dibawa:
1. Pengorbanan
‘Pengorbanan tentang cinta lagi ke?’, sempat seseorang pernah menyoal saya.
‘Eh, bukan. Ia masih tentang cinta manusiawi tapi bukan cinta sepasang kekasih atau suami-isteri yang menjadi isu utama tetapi cinta pasangan ibu dan anak. Cinta yang memaksa mereka ingin sampai ke Bumi Mekah!’, semangatku menjawab.
Pengorbanan yang cuba diketengahkan oleh watak Emak yang merindui Rumah Allah.
‘Apa yang dikorbankan oleh si Emak sampai berjaya disebut-sebut oleh penonton?’.
Pengorbanan harta Emak kerana cinta dan rindunya pada Rumah Allah. Walau sudah menelan masa puluhan tahun, cintanya masih ada pada tanah suci. Masakan tidak, Emak sanggup meminjamkan duit Rp 5 juta kepada bekas menantunya yang dipercayai bakal digunakan untuk pembiayaan cucu tersayang. Rp 5 juta yang dikorbankan adalah hasil simpanan 5 TAHUN si Emak yang miskin harta yang kematian suami dan terpaksa membesarkan anak seorang diri tanpa ribuan harta. Rp 5 JUTA untuk lima tahun adalah satu proses yang lama. Niat simpanannya untuk naik haji.
Subhanallah! Berkemungkinan, Emak memerlukan tambahan masa lima tahun lagi untuk mengumpul simpanan sebegitu banyak. Pengorbanan kian terasa apabila mengenangkan perbelanjaan naik haji adalah sebanyak Rp 30 juta!!!Allahuakbar!
“Kalau lima tahun bisa menabung Rp 5 juta, berarti butuh sekitar 25 tahun lagi agar uang Emak cukup. Jadi naik hajinya umur 86 tahun ya, Zein, mudah-mudahan masih ada umur, ya,"
Itu adalah antara dialog yang benar-benar menyentuh hati. Duit lima tahun Emak diberikan kepada BEKAS menantunya. Suci tanpa rasa syak dan wasangka. Kerana cinta dan pengorbanan, Emak memberi tanpa sesalan. Lebih memburukkan keadaan, si bekas menantu hanya membelanjakan Rp3 juta untuk pembiayaan hospital anak, lebihannya diberikan kepada suaminya yang baru untuk membayar hutang-piutang.
‘Aduh, sabar betul dengan si bekas menantu ni’, marah diri.
Itulah ayat yang dilontarkan kerana geram dan rasa sayang pada duit melayang. Geram dan panas kerana kepercayaan , simpati dan pengorbanan si ibu tua seperti dicarik-carik menjadi cebisan. Hakikatnya, Emak menerima kenyataan dari bekas menantu tanpa sesalan dan tuduhan. Tenang. Lebih menghidupkan hati, Emak menerima takdir tanpa balasan dendam dan benci kepada BEKAS menantu.
Bukan itu sahaja! Malah nilai pengorbanan berjaya ditonjolkan menerusi satu babak di mana pasangan adik-beradik yang merupakan jiran Emak dan Zein memakan burung goreng yang merupakan bangkai burung yang telah selamat mati di dalam sangkar. Emak tanpa rasa teragak-agak memberi sedikit simpanannya untuk belian ubat ayah mereka yang sakit..
‘Allahu Akbar, sungguh!Manusia tanpa kedekut!’,
‘Ah, setakat pinjam duit pengorbanan yang biasa saja’, mungkin ada yang terdetik rasa sebegitu.
Tetapi ingat! Wang boleh dikira tetapi erti dan nilai pengorbanan itu tidak boleh diukur dengan kayu pengukur hingga mencecah langit sekalipun. Harga pengorbanan itu ukuran DIA.
Pengajaran bagi Pelajar.
P.E.N.G.O.R.B.A.N.A.N itu jika dieja ia semudah ABC. jika diaplikasikan, tak semua yang mampu.
Hakikatnya, pengorbanan itu terserlah kemanisannya jika benar niat dan cara. Biar pengorbanan kita memberi erti. Erti kepada yang mengerti! Pengorbanan kita untuk merangkul segulung ijazah, pengorbanan kita untuk melawan virus jahiliah, biarlah berbaloi untuk kedua orang tua, dan yang utama untuk mengharap redha Sang Pencipta.
‘Apa yang buat kita rasa berkorban?’
‘Mestilah! Aku mula study dari awal pagi hingga tenggelam mentari, sambung semula hingga satu dua pagi!Aku khusyuk mengkhatam buku...’
Ya! Jika itu tanda pengorbanan mu demi segulung Ijazah, niatkanlah ia kerana DIA, hiasilah ia dengan sabar dan solat. Biar pengorbanan itu BERMAKNA!
“Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhannya, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan, orang itulah yang mendapat tempat kesudahan (yang baik)” [surah ar-Ra’d:22].
Contohilah Emak yang tak pernah jemu solat dan doa, contohilah Emak yang tak pernah mengeluh bersedekah dan membantu orang lain, berkorban demi menyampaikan rindunya pada kota Mekah...
2. Ukhwah
‘Urm...besar sungguh nikmat ukhwah’, fikirku.
Masakan tidak, saya hampir terpegun melihat nilai ukhwah yang cuba ditonjolkan antara dua keluarga; si kaya (Haji Sa’un) dan si miskin (keluarga Emak dan Zein). Walau hanya orang bawahan, keluarga Haji Sa’un tidak lokek membantu dan tidak memandang rendah akan Emak dan Zein. Malah, seringkali Emak diupah untuk membuat kuih bagi majlis-majlis dan jamuan.
“ Sewaktu saya sakit melahirkan, saya bernazar untuk membiayai Emak ke kota suci Mekah jika kedua saya dan anak selamat..”
Harapan Emak ingin naik haji tercapai kerana niat nazar anak Haji Su’un, saudagar kaya untuk membiayai kos Emak ke kota suci Mekah. Murni sungguh hasrat si kaya. Tidak lokek, malah Emak diraikan walau hanya orang bawahan mereka. Nilai ukhwah dan persaudaraan yang tinggi antara dua hati itu mampu menghilangkan rasa beza antara dua darjat walau tema ukhwah Emak Ingin Naik Haji ini tidak sekuat filem Laskar Pelangi.
Pengajaran Bagi Pelajar.
“Apa beza ukhwah dengan berkawan biasa?’, “Beza!memang berbeza. Ia lebih dari sekadar belanja makan, main bola kemudian balik dan esoknya main bola lagi. Ia lebih dari itu..”. ‘Habis, apa bezanya?’,
‘kerana Ukhwah kita lupa pada beza darjat, kerana ukhwah kita jadi saudara (baca: saudara seIslam), kerana ukhwah kita lupa untuk bermasam muka, kerana ukhwah bawa kita dekat pada Nya...’
Justeru, selagi masih muda dan belajar, carilah teman, jalinkan ukhwah, tautkan hati kerana DIA.
Jangan mimpikan nilai ukhwah jika hanya berniat untuk ‘network’ atau kemudahan duniawi. Niatkanlah ia kerana pahala ukhrawi. Gunakan peluang masa belajar (tidak kira di mana) untuk tautkan ukhwah antara hati-hati yang merindui jalan Nya.
“Tautkan ukhwah sekencang dakwah!”, pesan seorang sahabat.
3. Cinta tanpa lelah
Nanti! Ini bukan cinta antara pasangan lelaki dan perempuan atau Cinta Antara Benua tetapi cinta Emak pada bumi Mekah, cinta sang anak pada Emak.
Pernah kutip dan sambung semula gambar yang dicarik-carik kerana cinta?
Tidak pernah? tapi si Emak pernah!
Kerana cinta dan rindu nya pada Rumah Allah, Emak gigih mencantumkan semula gambar Kaabah yang telah dicarik-carik. Malah dibelek-beleknya!
Nah, terdiam Zein melihat kesungguhan Emak!
Beralih ke kisah Zein yang telah cuba mencuri wang keluarga Haji Sa’un pada malamnya. Walaubagaimanapun, Zein tinggalkan semula kepingan wang Haji kerana terpandang Al- Quran milik Haji. Sungguh! kerana takut dan cintanya pada Yang Esa, dibatalkan pencurian wang. Walaupun niat Zein suci, tetapi caranya bukan cara yang murni! mungkin kerana sikap jujur dan takutnya Zein pada Sang Pencipta, Allah menyelamatkannya dari dikejar malapetaka.
Tidak sanggup si anak menodai cinta sucinya pada Emak, tidak sanggup mendustai kasih dan sayangnya pada Emak kerana sedar pendustaan cintanya itu mengubah bahagia jadi kecewa!
“ Urm...cinta kan ukhrawi mampu memberi seri’, sapa hati.
Teringat saya dengan watak Pak Joko yang juga ingin naik haji tetapi bukan kerana cinta pada ukhrawi tetapi kerana duniawi. Lebih kepada cintakan gelaran ‘Haji’! Dunia...dunia..
"Pemilih di daerah sana mayoritas muslim kental, Pak, jadi kalau haji, lebih meyakinkan," kata sang sekretaris dalam satu babak.
Lebih mengaibkan, beliau telah bermaksiatan dengan pembantunya sendiri sebelum berangkat naik haji. Berbeza juga rasa cinta dan rindu si Emak terhadap tanah suci jika dibandingkan dengan Haji Sa’un, yang menjadikan ibadah haji hanya sebagai rutin tahunan. Berbeza bukan? Hanya kerana satu ayat niat... Sungguh luar biasa cinta Emak pada Rumah Allah!
Pengajaran Bagi Pelajar
Seorang ustaz pernah menasihati:
‘Cintailah apa yang kita tidak suka lakukan, lakukan apa yang kita tidak cintai’
Mendalam! Terisi! Dan tersirat!
Belajar selalunya benda yang kebanyakan kita tidak cinta. Mungkin kerana ‘terpaksa’ atau ‘tiada pilihan’ kita lakukan tanpa berpaksikan cinta. Sayang! memang sayang jika apa yang kita buat, tiada kehadiran cinta. Tapi, atas dasar kewangan dan pekerjaan, kita KENA buat sungguhpun kita tidak cinta. Atas sebab itulah, ’Lakukan apa yang kita tidak cinta’.
Belajar kita tidak suka. Membaca pun tidak ramai umat manusia suka. Tapi untuk pastikan apa yang kita buat berjaya atau sekurang-kurangnya ditamatkan hingga sehabis mungkin, kita kena hadirkan CINTA. kerana itu...’cintailah apa yang kita tidak suka lakukan’. Niatkan untuk mendapat redha Sang Pencipta!
Kita bernafas sebagai HAMBA, PELAJAR dan PENCINTA!
“Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagimu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada sesiap saja yang Dia kehendaki di antara hamba-hambaNya. Dia Maha Pengampun, Maha Penyayang [Surah Yunus:107].
4. Usaha, cekal dan gigih
Acapkali saya cerita watak si Emak. Perihal Zein hanya kadang-kadang.
Zein yang dari awal cerita hinggalah insiden dia ditimpa kecelakaan, cekal dan gigih wataknya. Cekal bilamana dia terus menerus berusaha sebagai pelukis demi menyara diri dan ibunya.
“Apa lagi yang best dengan watak si Zein ni Ayie?’, soal seorang sahabat.
“Kegigihan dari raut wajah dan tindakannya’, jawapku bersahaja.
Dalam kecekalannya mencari rezeki, diselitkan sekali KESABARAN. Ini dibuktikan bila mana dia hanya mampu melontarkan pandangan sabar apabila melihat bekas isterinya mencapai sekeping potret hasil lukisannya secara tiba-tiba dan menjualnya ke kedai pajak gadai berhampiran. Aduh! Sudahlah tidak minta izin bekas suaminya, malah terus mengambil hasil pajakan tanpa perbincangan dengan alasan wang pajakan bakal digunakan untuk membiayai anak yang sakit.
“Habis, sampai kena tampar ke?’. “Tidaklah sampai kena tampar atau sepak terajang. Dia redha dengan harapan memang benar wang tersebut digunakan untuk biaya si anak. Yang pasti, saya tidak lupa akan raut wajah Zein yang sayu dan hiba setiap kali Emak bercerita tentang Mekah dan membelai halus potret Kaabah. Jiwa muda yang turut merasa kerinduan pada tanah suci!”.
Adegan yang saya fikir memang menyentuh hati. Lebih memilukan bila mana teringat peristiwa Zein yang kemalangan demi memberitahu berita kemenangan cabutan bertuah dengan hadiahnya naik haji! Demi Emak...namun kegembiraan itu tidak dapat dikongsi.
Pengajaran Bagi Pelajar
Bohong! Saya bohong jika usaha, cekal dan gigih merupakan perkara baru untuk kita. Saya percaya kalian sudah cukup faham dan sinonim dengan ketiga-tiga perkataan tersebut. Cuma, sejauh mana kita berusaha? Sudah cukup puaskah hati kita dengan usaha yang ada? Sudah cukup cekal dan gigihkah kita untuk menerima ujian Allah?
Contohilah Zein, bukan pada wataknya yang pernah cuba untuk memilih jalan bengkok, tetapi contohi dan hayatilah kecekalannya untuk cuba melukis walau cacat anggota. Si anak yang berusaha gigih untuk terus melukis kerana akur dan hormat akan cinta Emak pada tanah suci. Begitu juga diri kita, berusaha gigihlah jika kita cinta akan agama Allah, jika kita akur pada amanah kedua orang tua kita. Cekal dan gigihlah dalam meniti titian perjuangan kerana Nya.
Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah suatu nikmat yang telah diberikan-Nya kepada suatu kaum, hingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Sungguh Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui [surah al-Anfal:53].
Walau pujian saya hampir-hampir melambung tinggi untuk filem Emak Ingin Naik Haji ini, saya sebenarnya sedikit tidak puas menonton kerana filemnya yang agak singkat. Mungkin ia lebih ‘wow’ jika ada tambahan masa seiring dengan tambahan babak-babak suspen. Ia hanya pendapat peribadi.