Monday, December 13, 2010

"What Boys Can Do, Girls Can Do Better!"


"What Boys Can Do, Girls Can Do Better!"
Penulis : penselsaya

Dahulu saya selalu berfikir perempuan boleh buat semua benda tanpa bantuan lelaki. Mungkin kerana 5 tahun berada di sekolah semua perempuan, persekitaran telah membentuk paradigma saya. Saya pernah menyimpulkan bahawa, perempuan boleh hidup tanpa lelaki. Mana tidaknya, di sekolah perempuan, semua jawatan, bermula daripada Ketua Pengawas hinggalah ke Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), semuanya dipegang oleh perempuan. Tambahan pula, sepanjang berada di sekolah perempuan, belum pernah sekali pun Pengetua dan Penolong-penolong Kanan terdiri daripada guru lelaki.

Antara slogan sekolah ketika saya menengah rendah adalah, "What boys can do, girls can do better". Wah, lihat lah! Bukan sebarangan. "Girls can do BETTER!". Persekitaran yang sebegitu membuatkan saya merasakan tanpa lelaki perempuan pun boleh survive. Oh, itu dulu. Dahulu fikiran kurang matang. Jarang terdedah kepada dunia luar. Dahulu pemikiran saya tak meluas dan sering saya sempit-sempitkan.


Apabila keluar dari kepompong sekolah perempuan, saya mula melakukan anjakan paradigma, sedikit demi sedikit. Itu pun kadang kala paradigma itu berubah-ubah, dan ada kalanya kembali kepada paradigma yang asal.

Tatkala cuti summer ini, Alhamdulillah, Malaysia sekali lagi menjadi destinasi tujuan untuk menghabiskan masa cuti. Peluang ini saya gunakan untuk menjalinkan hubungan kekeluargaan dengan saudara-mara yang jarang bertemu. Berjumpa dengan adik-adik sepupu, serta pak cik dan mak cik. Pakcik dan makcik yang telah hidup berkeluarga dan mempunyai cahaya mata sebagai penyinar kehidupan mereka.

Mereka semua membuatkan saya kembali berfikir tentang satu 'kesimpulan mati' yang pernah saya buat dahulu. 'Kesimpulan mati', di mana jika ia tidak dileraikan dengan fahaman dan ajaran Islam, pastinya akan membuatkan saya seolah-olah seperti seorang yang menolak satu lumrah alam. Iaitu kepentingan lelaki.

Apabila berada di dalam bidang dakwah, saya berfikir dan memerhatikan sesuatu. Bersama dengan kakak-kakak yang giat dengan kegiatan dakwah, membuatkan saya yakin bahawa dakwah pun boleh berterusan tanpa lelaki. Ketika itu saya masih mentah. Saya tak nampak dimana kerjasama dengan lelaki yang dibuat dalam bidang dakwah. Apa yang saya nampak semua pun kakak-kakak yang buat.

Satu hari seorang ustaz memberi daurah. Saya ajukan soalan kepada beliau. Soalan yang lama bermain dalam fikiran saya. Saya tanyakan pada ustaz, kenapa perlu untuk buat kerja dengan ikhwah, sedangkan hasil kerjasama antara akhawat pun sudah mampu menggerakkan dakwah. Agak angkuh soalannya. Tapi, itu lah soalan yang saya ajukan.

Ustaz memberi jawapan melalui kalam Allah yang suci. Antaranya adalah daripada potongan surah Al-Baqarah, ayat 282.
"............Dan persaksikanlah antara 2 orang saksi lelaki di antara kamu. Jika tidak ada (saksi) 2 orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan 2 orang perempuan di antara orang2 yg kamu sukai dari para saksi (yang ada), agar jika yg seorang lupa maka yg seorang lagi mengingatkannya....."

Huraian ustaz, dalam ayat diatas jelas menunjukkan keseimbangan yang dimainkan oleh perempuan. Dimana, seorang saksi lelaki boleh digantikan dengan 2 orang perempuan. Kata ustaz lagi, hal ini adalah kerana lelaki lebih rasional berbanding perempuan. Manakala, perempuan kelebihannya adalah dari segi emosi. Kehidupan ini tak boleh sentiasa mahu rasional, kerana hakikatnya manusia juga beremosi. Maka, disini wujudlah satu kerjasama yang perlu dilakukan antara lelaki dan perempuan, agar keseimbangan terhadap sesuatu keputusan itu dapat dibuat.


Allah menyuruh manusia untuk berfikir. Melihat alam sekeliling, perhatikan setiap apa yang berlaku di kiri dan kanan, sekaligus berfikir mengenainya. Daripada situ, manusia boleh belajar.

Semasa kecil saya mendengar cerita-cerita daripada makcik-makcik yang bercerita. Mulanya tidak mengerti. Semakin besar semakin mengerti. Sedikit demi sedikit dan perlahan-lahan saya belajar.

Mereka orang yang saya hormati, orang yang dekat dengan saya. Masa dahulu, mereka lain. Dahulu anak tiada, kini sudah dua tiga orang. Dahulu mereka bertindak mengikut hati dan panas baran sendiri, kini mungkin lebih rasional dalam membuat tindakan. Dahulu mereka baru memulakan hidup berdua, berkeluarga, kini mereka telah banyak belajar. Dahulu mereka mungkin bertatih lagi dalam dunia ini walaupun umur sudah mencapai 30-an. Kini mereka nampak lebih baik daripada dahulu.

Saya lihat perubahan yang berlaku dan menilainya. Tidak dinafikan semua perubahan yang berlaku adalah kerana rahmat dan perancangan Allah SWT Yang Maha Hebat.

Namun, satu yang tidak dapat saya nafikan, iaitu penafian yang pernah saya buat dahulu. Ada nya dan perlunya seorang wanita dalam pembinaan seorang lelaki. Wanita itu tidak kiralah ibunya ataupun adik perempuannya ataupun isterinya!


Saya makin terbuka bahawa perlunya ada kehidupan antara lelaki dan wanita kerana hakikatnya dua jantina yang berbeza ini saling memerlukan. Masing-masing punya kelebihan yang masing-masing sedia maklum. Namun, masing-masing juga punyai kelemahan. Kelemahan inilah yang ditampung oleh jantina bertentangan. Manakala, kelebihan yang ada dikongsi bersama.

Syukur kerana masih ada sayang daripada-Nya. Sayang daripada-Nya sehingga membolehkan seseorang kembali berfikir melalui penilaian dan pemerhatian yang dilakukan. Sayang yang ditunjukkan-Nya dengan menurunkan kitab suci-Nya untuk dijadikan panduan oleh seluruh manusia, jika dan hanya jika manusia itu mahu mencari dan terus mencari.

Alhamdulillah.


No comments:

Post a Comment