Tuesday, December 14, 2010

Hati Emas - Ikhlas

Hati Emas - Ikhlas
Penulis : Mat Rock

Kata orang, ikhlas itu tidak akan terkesan oleh pujian atau kejian. Orang yang ikhlas akan tetap meneruskan kerjanya walau apa pun pandangan manusia di sekelilingnya. Namun hakikatnya manusia seringkali menilai sesuatu melalui ransangan emosi dan bukannya pandangan akal.

Ikhlas itu sebenarnya tidak berbicara, diamnya membawa seribu makna. Di luarnya tawaduk, di dalamnya zuhud. Ikhlas itu tidak diminta, ia diberi. Memang benar ikhlas sukar dilihat - seperti semut hitam di atas batu hitam di waktu malam pekat. Malah ikhlas juga sukar dilaksanakan.

Cakap memang mudah, melakukannya susah. Kita mampu mengeluarkan duit untuk belanja makan rakan-rakan sekuliah lalu kita katakan kita memang ikhlas mahu belanja mereka makan. Ikhlas kerana mahu menjaga ukhwah sesama rakan-rakan, ikhlas kerana Allah Taala dan mungkin juga ikhlas kerana banyaknya elaun bulanan.


Bayangkan ada seorang yang tidak kita kenali. Bahkan orang itu mencaci dan maki hamun kita, sepertinya dia adalah musuh kita. Dia menuduh kita gila, ahli sihir, pendusta dan bermacam-macam lagi. Mampukah kita ikhlas kerana Allah untuk membelanja dia makan seperti mana kita membelanja rakan-rakan sekuliah kita makan? Hanya ada seorang sahaja yang mampu melakukan seperti itu. Dan dia ikhlas kerana Allah, akhlaknya adalah al Quran. Dia kekasih Allah, Muhammad SAW. Sirah mengatakan Nabi Muhammad memberi makan kepada seorang Yahudi tua yang buta di kawasannya walaupun orang Yahudi buta itu menentangnya.

Ah...hendak belanja musuh yang selalu menentang kita pun belum lagi kita berani, apatah lagi mahu ikhlas dalam memberi. Jauhnya kita daripada Al-Quran, jauhnya kita daripada sunnah Nabi. Jadilah seperti pohon, apabila dilemparkan batu, ia membalasnya dengan buah. Realistikkah? Ya, Nabi Muhammad sudah menjadikannya praktikal di alam realiti. Hanya kita belum lagi, masih berteori sana sini, menghukum itu ini.



1 comment:

  1. insyaALLAH mampu sekiranya kita berbaik sangka & berdoa smoga orang yang mencaci tu berubah..ya, saya selalu belanja orang tidak mengira apa pun termasuklah orang2 sebegini..orang yang buruk akhlaknya, kalau kita balas dengan yang buruk juga, tidak akan merubah apa2..sebaliknya, jika kita berbuat baik kepada mereka, mereka akan sedar yang mereka itu silap (^_^)

    ReplyDelete