Tuesday, December 14, 2010

Hati Emas - Ikhlas

Hati Emas - Ikhlas
Penulis : Mat Rock

Kata orang, ikhlas itu tidak akan terkesan oleh pujian atau kejian. Orang yang ikhlas akan tetap meneruskan kerjanya walau apa pun pandangan manusia di sekelilingnya. Namun hakikatnya manusia seringkali menilai sesuatu melalui ransangan emosi dan bukannya pandangan akal.

Ikhlas itu sebenarnya tidak berbicara, diamnya membawa seribu makna. Di luarnya tawaduk, di dalamnya zuhud. Ikhlas itu tidak diminta, ia diberi. Memang benar ikhlas sukar dilihat - seperti semut hitam di atas batu hitam di waktu malam pekat. Malah ikhlas juga sukar dilaksanakan.

Cakap memang mudah, melakukannya susah. Kita mampu mengeluarkan duit untuk belanja makan rakan-rakan sekuliah lalu kita katakan kita memang ikhlas mahu belanja mereka makan. Ikhlas kerana mahu menjaga ukhwah sesama rakan-rakan, ikhlas kerana Allah Taala dan mungkin juga ikhlas kerana banyaknya elaun bulanan.


Bayangkan ada seorang yang tidak kita kenali. Bahkan orang itu mencaci dan maki hamun kita, sepertinya dia adalah musuh kita. Dia menuduh kita gila, ahli sihir, pendusta dan bermacam-macam lagi. Mampukah kita ikhlas kerana Allah untuk membelanja dia makan seperti mana kita membelanja rakan-rakan sekuliah kita makan? Hanya ada seorang sahaja yang mampu melakukan seperti itu. Dan dia ikhlas kerana Allah, akhlaknya adalah al Quran. Dia kekasih Allah, Muhammad SAW. Sirah mengatakan Nabi Muhammad memberi makan kepada seorang Yahudi tua yang buta di kawasannya walaupun orang Yahudi buta itu menentangnya.

Ah...hendak belanja musuh yang selalu menentang kita pun belum lagi kita berani, apatah lagi mahu ikhlas dalam memberi. Jauhnya kita daripada Al-Quran, jauhnya kita daripada sunnah Nabi. Jadilah seperti pohon, apabila dilemparkan batu, ia membalasnya dengan buah. Realistikkah? Ya, Nabi Muhammad sudah menjadikannya praktikal di alam realiti. Hanya kita belum lagi, masih berteori sana sini, menghukum itu ini.



Monday, December 13, 2010

"What Boys Can Do, Girls Can Do Better!"


"What Boys Can Do, Girls Can Do Better!"
Penulis : penselsaya

Dahulu saya selalu berfikir perempuan boleh buat semua benda tanpa bantuan lelaki. Mungkin kerana 5 tahun berada di sekolah semua perempuan, persekitaran telah membentuk paradigma saya. Saya pernah menyimpulkan bahawa, perempuan boleh hidup tanpa lelaki. Mana tidaknya, di sekolah perempuan, semua jawatan, bermula daripada Ketua Pengawas hinggalah ke Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), semuanya dipegang oleh perempuan. Tambahan pula, sepanjang berada di sekolah perempuan, belum pernah sekali pun Pengetua dan Penolong-penolong Kanan terdiri daripada guru lelaki.

Antara slogan sekolah ketika saya menengah rendah adalah, "What boys can do, girls can do better". Wah, lihat lah! Bukan sebarangan. "Girls can do BETTER!". Persekitaran yang sebegitu membuatkan saya merasakan tanpa lelaki perempuan pun boleh survive. Oh, itu dulu. Dahulu fikiran kurang matang. Jarang terdedah kepada dunia luar. Dahulu pemikiran saya tak meluas dan sering saya sempit-sempitkan.


Apabila keluar dari kepompong sekolah perempuan, saya mula melakukan anjakan paradigma, sedikit demi sedikit. Itu pun kadang kala paradigma itu berubah-ubah, dan ada kalanya kembali kepada paradigma yang asal.

Tatkala cuti summer ini, Alhamdulillah, Malaysia sekali lagi menjadi destinasi tujuan untuk menghabiskan masa cuti. Peluang ini saya gunakan untuk menjalinkan hubungan kekeluargaan dengan saudara-mara yang jarang bertemu. Berjumpa dengan adik-adik sepupu, serta pak cik dan mak cik. Pakcik dan makcik yang telah hidup berkeluarga dan mempunyai cahaya mata sebagai penyinar kehidupan mereka.

Mereka semua membuatkan saya kembali berfikir tentang satu 'kesimpulan mati' yang pernah saya buat dahulu. 'Kesimpulan mati', di mana jika ia tidak dileraikan dengan fahaman dan ajaran Islam, pastinya akan membuatkan saya seolah-olah seperti seorang yang menolak satu lumrah alam. Iaitu kepentingan lelaki.

Apabila berada di dalam bidang dakwah, saya berfikir dan memerhatikan sesuatu. Bersama dengan kakak-kakak yang giat dengan kegiatan dakwah, membuatkan saya yakin bahawa dakwah pun boleh berterusan tanpa lelaki. Ketika itu saya masih mentah. Saya tak nampak dimana kerjasama dengan lelaki yang dibuat dalam bidang dakwah. Apa yang saya nampak semua pun kakak-kakak yang buat.

Satu hari seorang ustaz memberi daurah. Saya ajukan soalan kepada beliau. Soalan yang lama bermain dalam fikiran saya. Saya tanyakan pada ustaz, kenapa perlu untuk buat kerja dengan ikhwah, sedangkan hasil kerjasama antara akhawat pun sudah mampu menggerakkan dakwah. Agak angkuh soalannya. Tapi, itu lah soalan yang saya ajukan.

Ustaz memberi jawapan melalui kalam Allah yang suci. Antaranya adalah daripada potongan surah Al-Baqarah, ayat 282.
"............Dan persaksikanlah antara 2 orang saksi lelaki di antara kamu. Jika tidak ada (saksi) 2 orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan 2 orang perempuan di antara orang2 yg kamu sukai dari para saksi (yang ada), agar jika yg seorang lupa maka yg seorang lagi mengingatkannya....."

Huraian ustaz, dalam ayat diatas jelas menunjukkan keseimbangan yang dimainkan oleh perempuan. Dimana, seorang saksi lelaki boleh digantikan dengan 2 orang perempuan. Kata ustaz lagi, hal ini adalah kerana lelaki lebih rasional berbanding perempuan. Manakala, perempuan kelebihannya adalah dari segi emosi. Kehidupan ini tak boleh sentiasa mahu rasional, kerana hakikatnya manusia juga beremosi. Maka, disini wujudlah satu kerjasama yang perlu dilakukan antara lelaki dan perempuan, agar keseimbangan terhadap sesuatu keputusan itu dapat dibuat.


Allah menyuruh manusia untuk berfikir. Melihat alam sekeliling, perhatikan setiap apa yang berlaku di kiri dan kanan, sekaligus berfikir mengenainya. Daripada situ, manusia boleh belajar.

Semasa kecil saya mendengar cerita-cerita daripada makcik-makcik yang bercerita. Mulanya tidak mengerti. Semakin besar semakin mengerti. Sedikit demi sedikit dan perlahan-lahan saya belajar.

Mereka orang yang saya hormati, orang yang dekat dengan saya. Masa dahulu, mereka lain. Dahulu anak tiada, kini sudah dua tiga orang. Dahulu mereka bertindak mengikut hati dan panas baran sendiri, kini mungkin lebih rasional dalam membuat tindakan. Dahulu mereka baru memulakan hidup berdua, berkeluarga, kini mereka telah banyak belajar. Dahulu mereka mungkin bertatih lagi dalam dunia ini walaupun umur sudah mencapai 30-an. Kini mereka nampak lebih baik daripada dahulu.

Saya lihat perubahan yang berlaku dan menilainya. Tidak dinafikan semua perubahan yang berlaku adalah kerana rahmat dan perancangan Allah SWT Yang Maha Hebat.

Namun, satu yang tidak dapat saya nafikan, iaitu penafian yang pernah saya buat dahulu. Ada nya dan perlunya seorang wanita dalam pembinaan seorang lelaki. Wanita itu tidak kiralah ibunya ataupun adik perempuannya ataupun isterinya!


Saya makin terbuka bahawa perlunya ada kehidupan antara lelaki dan wanita kerana hakikatnya dua jantina yang berbeza ini saling memerlukan. Masing-masing punya kelebihan yang masing-masing sedia maklum. Namun, masing-masing juga punyai kelemahan. Kelemahan inilah yang ditampung oleh jantina bertentangan. Manakala, kelebihan yang ada dikongsi bersama.

Syukur kerana masih ada sayang daripada-Nya. Sayang daripada-Nya sehingga membolehkan seseorang kembali berfikir melalui penilaian dan pemerhatian yang dilakukan. Sayang yang ditunjukkan-Nya dengan menurunkan kitab suci-Nya untuk dijadikan panduan oleh seluruh manusia, jika dan hanya jika manusia itu mahu mencari dan terus mencari.

Alhamdulillah.


Sunday, December 5, 2010

Kerana Kau Bidadari Itu

Kerana Kau Bidadari Itu
Penulis : Daie Global

“Umi, kita dah ‘confirm’ balik 7 Disember ni tau, nanti Ummi dan Waliq tunggu kita tau, kita rinnnndu sangat nak jumpa Ummi, Waliq, adik-adik dan sanak saudara, ujur diriku di corong telefon.

“Ye ke nak Ummi tunggu? Kan awak dah ada someone istimewa”, usik Ummi sambil tergelak manja.

“InsyAllah, Ummi dan Waliq akan sambut kepulangan awak, tapi kalau Ummi tak datang pun, awak janganlah bersedih hati”, sambung ummi dengan nada bergurau.

“Ummi..”

“Ish ish ish.. Anak Ummi sorang ni, manja betul. Awak tu dah besar. Kena berdikari. Awak ada tanggungjawab pada keluarga tau, jadi awak tak boleh nak bergantung dengan Ummi selalu, tegas Ummi.

“Kita tahu tu Ummi. Ummi macam tak sudi je nak jemput kita, balas aku yang kononnya merajuk.

Tikkkkkkkkkkkkk. Tiba-tiba panggilan terputus. Inilah situasi biasa yang aku alami, maklumlah perlu merentasi benua untuk berhubung.
Aku menghitung hari untuk pulang ke Malaysia setelah dua tahun menyambung pelajaran, menimba pengalaman di bumi asing. Pastinya perasaan gembira dan sedih bercampur baur dek meninggalkan bumi Australia ini.


Banyak kenangan manis dan pahit yang terpahat disini. Banyak pengalaman yang aku selami disini.
Hari yang ditunggu telah tiba. Alhamdulillah, akhirnya aku sampai di tanah air tercinta. Aku mencari dan terus mencari, namun tiada siapa yang ku kenali.

“Ummi dan Waliq tak ingat ke”, detik hati kecil ini.

“Ataupun mereka nak buat ‘surprised’”, aku memujuk hati.
Tiba-tiba teringat kata-kata Ummi supaya aku berdikari. Aku membuat keputusan untuk menaiki teksi.

“Mardhiah Sakinah”, terdengar orang memanggil namaku. Aku menoleh ke belakang, ku lihat seorang lelaki.

“Ye saya. Siapa awak dan kenapa awak di sini”, tegur ku tegas.

“Furqan Firdaus, saya datang menjemput awak”, jawabnya.

Terbeliak biji mata aku memandangnya. Furqan Firdaus, nama yang sering keluar dari mulut Ummi.

“Apa awak buat kat sini?”, tanyaku kepadanya sekali lagi
“Saya datang nak ambil awak la, your parents ask me to do so”, jawabnya.

“What?”, aku menarik nafas panjang.
‘Ni ke surprise yang Ummi dan Waliq buat untuk aku’, hati kecil bermonolog sendiri.

“Cepat la sikit, semua orang menanti awak”, dia seolah menggesa aku.

“Saya rela naik teksi. Saya tak kenal awak. Lagipun kita hanya dua orang, pasti ada orang ketiga”, sambungku.

“Saya tahu, dan awak ingat ni ke yang saya minta. Soal ikhtilat, menjaga hati saya pun faham. Nanti la saya jelaskan tapi awak memang kena ikut saya”, nadanya sangat menggesa.

Aku tidak punya pilihan. Aku mengikutnya.
Aku hanya diam di dalam kereta. Dia kelihatan resah, seperti ada sesuatu yang mahu disampaikannya.

“Ummi dan Waliq kemalangan”, dia bersuara. Nadanya menggigil-gigil.

Aku kelu tanpa bicara. Air mata membasahi pipi. “Innalillah hi wa inna ilai hirajiuun”.
“Macam mana keadaan Ummi dan Waliq?”, aku kuatkan diri membuka mulut.

Dia tidak memberi apa-apa jawapan. Aku mula membina kekuatan, andai ini suratan aku terima, aku pasrah segalanya.

Setelah sampai di perkarangan hospital, adik-adik segara mendapatkan aku. Ku peluk mereka erat-erat, ku kucup mereka dengan penuh kasih sayang.
“Macam mana keadaan Ummi dan Waliq, Pak Ngah?”, aku bersuara.

Pak ngah menitiskan air mata dan terdiam.
Dengan suara yang menggeletar, pak ngah bersuara, “Doktor kata keadaan Waliq stabil, tapi Ummi masih dalam bilik pembedahan”.

Melihat lampu bilik pembedahan ditutup, semua sanak saudara segera mendapatkan doktor tersebut. Aku masih di bangku, memeluk adik-adikku.

“Keadaan Puan Rozita masih koma dan…”, doktor itu terdiam.

“Dan apa doktor?”, gesa datuk ku.

“Dia berkemungkinan lumpuh sepanjang hidupnya”. Suasana menjadi bertambah pilu.
Aku panjatkan doa moga Ummi tabah.

“Ada sesiapa bernama Sakinah?” kedengaran suara seorang jururawat.

“Ye saya”..

“Pesakit memanggil nama awak”, jawab jururawat tersebut.

Aku dan sanak saudara yang lain agak terkejut dengan perubahan ‘kritikal’ Waliq.
Perlahan-lahan melangkah masuk ke bilik Waliq, aku memberi salam.
Segera mendapatkan Waliq, memeluk dan mengucupnya. Waliq tersenyum sambil air mata membasahi pipi.


Menggeletar suaranya mahu menyatakan sesuatu kepada aku tetapi Waliq tiada upaya. Dia memberi isyarat dengan meletakkan tangan di dadanya, kemudian membuat bentuk hati. Aku pasti Waliq ingin menyatakan dia sayang kami semua. Kemudian dia menadah tangan. Aku menjangkakan dia akan tetap mendoakan kami dan kami pun perlu mendoakannya. Reaksi Waliq yang terakhir agak mengejutkan aku.

“A…kak…jan..ji…a..kan…ja..ga Ummm..mi..a..dik..dikk..” suara Waliq terputus-putus. Waliq kelihatan menarik nafas panjang, penuh kesakitan. Aku mengajarkan Waliq mengucap dan segera mendapatkan jururawat. Kemudian, adik-adikku dan sanak saudara segera berlari mendapatkan Waliq.

“Waliq tak boleh pergi dulu, kami tak boleh hidup tanpa Waliq”, adik lelakiku bersuara.
Firdaus memujuknya. Aku terkulai layu. Memikirkan keadaan Ummi, aku buntu. Apa yang akan aku jawab nanti. Hanya satu doaku, moga Ummi sedarkan diri sebelum jenazah Waliq dikebumikan. Ummi pasti mahu mengucup suaminya yang tercinta.

“Abang ngah bawa la adik-adik balik dulu, biar akak yang tunggu Ummi dan jenazah Waliq. Nanti Abang Ngah tolong siapkan rumah ye. Soal pengebumian Waliq, Pak Ngah dan Atuk yang uruskan”, pujukku.
Firdaus menanti untuk menghantar mereka. Menemani Ummi, berada disisinya sepanjang malam. Doa tidak pernah putus.

“Ummi, akak tahu, Ummi boleh dengar. Allah lagi sayangkan Waliq, Ummi. Waliq pergi selamanya. Waliq ke siapa-siapa hanyalah pinjaman kan. Ummi kene tabah tahu. Akak akan kuat kalau Ummi kuat. Akak janji Ummi, akan ambil tanggungjawab Waliq. Ummi tidak perlu risau. Ummi berehat ye”, aku sudah kelu.

Tiba-tiba pipi Ummi basah. Aku pasti Ummi mengerti.

Pengebumiaan Waliq telah sudah berlalu tapi Ummi masih dalam keadaan koma. Salah satu amalan yang akan mengiringi seorang anak Adam adalah doa anak yang soleh. Pesanku buat adik-adik, jangan lupa doakan arwah Waliq dan kesejahteraan Ummi.

Kehidupanku berlalu sehari demi sehari tanpa Waliq dan Ummi disisi. Ianya terlalu sukar tapi pastinya ada hikmah, kerana Dia tahu ini yang terbaik buat kami. Aku memohon untuk ‘posting’ di bumi Kelantan jugak demi memudahkan urusan keluarga. Berbekalkan pertolongan sahabat lama Waliq, Alhamdulillah aku bertugas berhampiran dengan kampung halamanku, 20 minit dari kediaman kami. Rutin harianku, seperti seorang ibu tunggal. Memasak, mempersiapkan adik-adik ke sekolah, menanggung perbelanjaan adik lelaki di Universiti Malaya, menjenguk Ummi di hospital, mengajar dan mendidik anak bangsa di sekolah.

Dek kesibukan yang melanda, aku terlupa soal perkahwinan dengan Furqan Firdaus, lelaki yang warak lagi alim. Sudah 5 bulan kami bertunang.

Namun suatu malam aku bermimpi, Waliq datang berbicara denganku.
“Mardiah Sakinah, dirimu terlalu istimewa. Kau tidak pernah mengecewakan Waliq. Kau sanggup lakukan apa sahaja demi kami. Andai jodohmu di disini nak, yakinlah kau pastinya wildan di syurga kelak kerana kau bidadari itu”.

Aku terjaga dari mimpi. Segera berwuduk dan menunaikan qiammuilail. Aku yakin ia membawa suatu petanda. Satu keputusan telah aku putuskan.

Beberapa hari selepas kejadiaan itu, aku menceritakannya kepada ibu Firdaus sambil di dengari oleh ahli keluarganya, yang benar-benar mahu berbesan dengan Waliq dan Ummi. Alhamdulillah mereka menerima baik dan dengan hati yang penuh terbuka keputusan yang aku buat untuk memutuskan pertunangan kami dan seterusnya membatalkan segala perancangan kami.

Bulan demi bulan kami adik beradik lalui sebagai anak yatim yang separuh piatu, tibalah saat yang kami tunggu. Aku mendapat panggilan telefon dari pihak hospital bahawasanya Ummi telah sedarkan diri. Aku segera mendapatkan Ummi di hospital. Setelah beberapa hari mendapatkan rawatan lanjutan, Ummi dibenarkan pulang. Biar Ummi lumpuh tapi jiwanya tidak pernah lumpuh. Hidup kami kembali ceria, namun aku dikejutkan dengan satu berita oleh Ummi, Firdaus telah dijemput Illahi beberapa bulan yang lalu.

Ummi memberitahu, dia selalu menjenguk Ummi dan memberitahu yang dia sangat hormat dan kagum pada diriku. Pada hari terakhir dia bertemu dengan Ummi, dia menyatakan dia menghidap barah otak yang baru diketahuinya dan pada saat itu ianya telah di tahap kritikal. Ungkapan terakhir darinya,
“Ummi, mesti sejukkan mengandungkan anak seperti Sakinah. Biar kami tidak pernah menyintai satu sama lain, namun saya merasa saya adalah insan yang cukup bertuah kerana Allah memilih saya dalam jutaan lelaki untuk menjadi tunangnya suatu masa dahulu. Satu pesan saya, sampaikan salam saya buat dia kerana saya tak nak dia tahu soal kematian saya. Cukuplah kesedihan dan penderitaan yang dia tang
gung. Saya juga rasa cukup bertuah bertemu Ummi dan arwah Waliq, terima kasih dan Assalamualaikum”


Aku menangis mendengar ungkapan itu. Aku tidak pernah melayannya dengan baik. Kerana aku bimbang aku terjerat dalam percintaan. Aku tetap bersyukur atas segalanya. Pasti Kau mahu mengajarkan aku sesuatu ya Allah, Tuhan Maha Agung, Maha Kaya, Maha Kuasa.


Kisah Pemuda, Janda dan Dot Dot Dot

Kisah Pemuda, Janda dan Dot Dot Dot
Penulis : Pencari Cinta Hakiki

Aha~ Lama saya tidak menulis. Kalau diikutkan hati ingin sekali menulis setiap hari. Tapi apakan daya. Final exam baru sahaja selesai petang tadi. Terasa ingin menulis tapi tidak pasti nak berkisarkan pada apa. Sehinggalah saya teringat satu kisah yang pernah diceritakan housemate semasa tazkirah maghrib rumah kami. Moga bermanfaat...!

Kisahnya tentang seorang pemuda yang sangat miskin dan miskin...dan miskin. Kenapa saya ulang sampai TIGA kali? Teruskan membaca baru dapat feel betapa miskin nya pemuda ini. Kasihan!

Pemuda ini tidak mampu membeli makanan sehingga beberapa hari tidak makan. Dia tiada rumah dan menjadi ‘tetamu tetap’ di sebuah masjid di kampungnya kerana tempat tinggal nya memang di masjid. Oleh kerana kebanyakan masa hariannya di masjid, dia seringkali mengikuti majlis-majlis ilmu di masjid itu; Kuliah, tazkirah, ceramah dan apa-apa sahaja majlis ilmu di sana. Itulah keistimewaan pemuda ini. Walaupun miskin dan kelaparan, menghadiri majlis ilmu adalah rutin hidupnya.

Suatu hari pemuda ini berasa sangat lapar. Sungguh kasihan kerana dia tidak mampu membeli apa-apa makanan. Hampir mati akal dia memikirkan bagaimana ingin mengisi perutnya kerana dia benar-benar kelaparan. Sehinggalah terdetik di dalam hati...
“Urm, bagaimana jika aku menyelinap masuk ke rumah orang-orang kampung dan mencuri makanan mereka?. Aduh! aku merasakan benar-benar dalam keadaan darurat. Mungkin dalam keadaan darurat begini menjadi keringanan buatku untuk mencuri”, pujuk hatinya ketika risau jika ia dalam keadaan berdosa.

Pemuda miskin ini nekad. Ditunggunya sampai hari semakin gelap dan dia mula bergerak perlahan-lahan ke sekitar kampung. Dipanjatnya dari bumbung ke bumbung yang lain demi mencari sesuap dua makanan. Akhirnya, setelah berusaha memanjat, sampailah dia ke sebuah rumah. Gelap. Sunyi.
“Ah, sudah tentu penghuninya tiada sekarang. Baik aku masuk!”

Dia pun dengan segera menyelinap masuk dengan harapan tekaannya benar. Ya, dia memang benar kerana sungguh rumah tersebut tidak berpenghuni buat sementara waktu. Berbekalkan kesamaran cahaya dari celahan tingkap, pemuda ini menuju ke dapur dan terlihat sebuah periuk. Ketika membuka tudung periuk itu, dia terkejut.

Sebiji TERUNG! Itu sahaja yang dijumpainya. Pemuda itu lantas mengambil terung tadi dan mula menggigitnya kerana benar-benar kelaparan walaupun ia hanya sebiji terung. Setelah sekali menggigit, tiba-tiba dia tersentak.
“Ya Allah! Apakah yang aku sedang lakukan. Malu aku pada-Mu Tuhan! Mana mungkin aku mencuri harta orang lain sedangkan aku adalah orang yang yang menjadi tetamu di masjid, menjadi tetamu dalam majlis-majlis agama. Tidak sepatutnya aku bertindak sebegini. Aku takut akan-Mu wahai Tuhan yang melihat segala tindak tandukku. Ampuni aku, aku amat takut akan balasan-Mu”

Sepantas kilat dia meletakkan semula terung yang telah selamat digigitnya sekali dan menyelinap keluar, hilang dalam kegelapan.

Esoknya...

Penduduk kampung mulai keluar masjid setelah tamatnya kuliah pada petang itu. Hanya beberapa orang yang masih di dalam masjid membaca Al-Quran. Seorang wanita masih berdiri di perkarangan dalam masjid dalam keadaan yang resah. Wanita tersebut pantas mendekati tok imam yang telah memberikan pengisian petang itu.

“Tok Imam, tolong bantu saya. Saya benar-benar buntu...”, rayu wanita itu.

“Ya Allah, kenapa dengan kau wahai anakku. Ceritakanlah...jika aku boleh membantu, InsyaAllah aku akan membantumu.”

“Aku ini seorang janda. Suamiku telah meninggal dunia”, esakan mulai kedengaran. “Beberapa hari lepas, aku telah diganggu oleh pemuda-pemuda kampung ini dan sungguh aku merasakan tidak selamat dan terasa terancam.”

Tok Imam itu terdiam. Kerutan jelas di dahinya.

“Aku...Aku ingin tok imam membantuku mencarikan seorang suami untukku kerana aku tidak ingin lagi terus diganggu oleh pemuda-pemuda di sini”, ujarnya.

“Apa benar kau ingin ku membantu mu?” tanya imam tua tersebut. Wanita tersebut mengangguk.
Imam tua itu merenung ke sekeliling masjid. Lantas matanya terpaku pada pemuda miskin yang sedang bersandar di tepi tiang.

“Wahai pemuda, mahukah kamu ke mari?”. Perlahan-lahan pemuda itu melangkah mendekati Tok Imam dan wanita tersebut.

“Sudikah kau mengahwini wanita ini?” pantas imam tua itu menyoal.

“Ya Allah, adakah ini hanya khayalanku? Aku ingin berkahwin, tapi percayalah, untuk membeli sebuku roti pun aku tidak mampu, apatah lagi untuk menanggung orang lain!”, jujur pemuda itu menjawab.

“Usah khuatir wahai pemuda. Aku tidak perlukan harta mu. Aku sudah ada rumah yang arwah suamiku tinggalkan untukku. Aku tidak memerlukan hartamu. Aku hanya perlukan seorang lelaki yang boleh menjaga dan melindungiku dari ancaman luar” balas wanita tersebut.


Diam. Lama pemuda itu berfikir. Dia kemudian mengangguk perlahan. Setelah bernikah disaksikan beberapa tetamu masjid, tok imam itu berkata;
“Sekarang pulanglah kamu bersama suami mu ini. Semoga pernikahan ini mendapat keberkatan-Nya dan dapat menyelamatkan kamu daripada gangguan orang”.

Setibanya di rumah, wanita itu terus bertanya kepada pemuda miskin yang telah selamat menjadi suaminya.
“Adakah kau ingin makan? Aku akan menyiapkannya untuk mu, wahai suamiku”. Pemuda itu hanya mengangguk. Dalam fikirannya sekarang bukan tertumpu pada makanan (walaupun pada hakikatnya ia memang kelaparan) tetapi rumah wanita tersebut. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Seolah-olah dia pernah berada di situ sebelumnya.

“Kenapa aku seperti mengenali rumah ini?”, soalnya dalam hati sambil berkerut. Oh tidak! Jangan-jangan...

“Silalah makan dahulu”, kata si wanita sambil menghidangkan sesuatu.

“Ya Allah...adakah aku bermimpi? Ini adalah terung yang telah ku gigit semalam. Ya Allah..apakah tandanya ini?"

“Maaf wahai suamiku. Aku hanya ada terung ini yang sempat ku rebus semalam. Aku terkejut kerana ia telah digigit. Pelik, siapa yang telah mengigitnya sedangkan tiada sesiapa di rumah ini sewaktu ku keluar?”, jelas wanita itu dalam kesayuan kerana tidak mampu menghidangkan yang terbaik untuk suaminya.

Wahai isteriku. Mahukah kau mendengar suatu kisah? Se..sebenarnya aku lah yang telah menyelinap masuk ke rumah mu semalam dan menggigit terung ini”, akui pemuda itu ikhlas. Berubah wajah wanita itu.

“Maafkan aku. Semalam, aku sangat kelaparan. Sudah beberapa hari aku tidak makan dan aku tidak mampu untuk membeli apapun. Aku bertekad untuk mencuri makanan di luar. Ku fikir aku benar-benar dalam keadaan darurat. Namun, setelah selamat mengigitnya sekali, aku merasa benar-benar tersedar dan merasakan sangat takut kepada Allah yang menjadi saksi perbuatanku. Aku malu...aku takut akan azabnya atas kelalaianku. Maafkan aku!”, ujar pemuda itu sambil tertunduk menangis.

“Tidak mengapa suamiku. Aku sudah memaafkan mu. Akan tetapi ketahuilah bahawa aku benar-benar cemburu akan mu. Tahukah kau mengapa?”, soalnya. Pemuda itu berhenti menangis lalu merenung isterinya.

“...kerana sifat TAQWA mu! kerana takutkan Allah, kau berhenti daripada terus melakukan dosa dan berterus-terang padaku. Sekarang, tidakkah kau sedar? kerana sifat TAQWA yang ada pada dirimu itu, Allah membalasnya semula bukan hanya dengan terung yang telah kau gigit semalam, tapi seluruh isi dalam rumah ini termasuk diriku kepada mu, telah menjadi milikmu secara halal. Tidak perlu lagi kau mencuri. Semuanya telah Allah hadiahkan semula kepadamu kerana KETAQWAAN mu itu”, ujar wanita itu sambil tersenyum. Pemuda miskin itu cepat-cepat bersujud tanda mensyukuri hadiah Allah kepadanya.

Jika pembaca dapat menilai kembali kisah ini daripada asal, apakah ‘main point’ yang saya ingin sampaikan? Ia adalah tentang TAQWA.


Kerana takutkan Allah, pemuda itu telah meninggalkan semula terung yang digigitnya ke tempat asal. Dia malu kepada Allah, dan dia benar-benar takut Allah akan menghukumnya. Kerana TAQWA yang ada padanya, Allah membalasnya semula bukan sahaja terung yang selamat digigitnya tanpa izin, tetapi termasuk tuan empunya rumah dan isi rumah tersebut kepadanya. Semuanya secara HALAL tanpa perlu rasa ragu-ragu.

Akan tetapi bukan harta dunia yang dikejar, tetapi rasa takut yang berterusan kepada Tuhan yang Maha Melihat, yang Maha Mengetahui dan yang Maha Pengasih, dalam melakukan sesuatu walaupun ia hanya sekecil-kecil hal (Dalam kisah ini: mencuri sebahagian kecil terung!). Sesungguhnya beruntung bagi orang-orang yang bertakwa kerana kasih sayang Allah yang berlipat ganda bukan sahaja di dunia, malah di akhirat kelak.

Firman Allah dan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (Akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan” [al-Hasyr: 18]

Kemudian Allah sambung lagi dalam surah yang sama, ayat seterusnya;

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, sehinggalah Allah menjadikan mereka lupa akan diri sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik” [al-Hasyr: 19].

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

Wasiat Nabi صلى الله عليه وسلم kepada Muadz bin Jabal رضي الله عنه , “Bertaqwalah kamu kepada Allah di mana pun kamu berada, tampallah keburukan dengan kebaikan niscaya akan dapat menghapusnya dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.” (Ahmad, At-Tirmidzi).


dan banyak lagi firman Allah dalan Al-Quran tentang Taqwa. Marilah berusaha menjadi orang-orang yang bertakwa demi menggapai redha Nya dalam setiap inci pun yang kita lakukan. Kita masih lagi ada masa.

Oh ya! Sebenarnya space yang sengaja saya tulis ‘dot-dot-dot’ pada tajuk di atas adalah sebenarnya:
“Kisah Pemuda, Janda dan TAQWA”.

Moga kisah ini bermanfaat untuk semua termasuk diri saya. InsyaAllah (^^).