Kerna Kita Kan Sendiri Akhirnya
penulis: penselsaya
penulis: penselsaya
Ketika ini pastinya sahabat-sahabat yang berada di Australia dan New Zealand sedang sibuk di himpit dengan kerja-kerja di tempat pengajian. Ujian datang bersilih ganti, begitu juga dengan peperiksaan. Dahulu, jika di Malaysia, khususnya di asrama, musim ini lah ramai yang akan dikacau. Saya masih ingat lagi satu hari ketika di sekolah. Tatkala itu semua pelajar sedang sibuk mengambil wuduk untuk solat Maghrib. Saya ketika itu sedang mengambil wuduk di bilik basuh (dobi) untuk mengelakkan barisan yang panjang di surau. Ketika tiba di surau, saya dikejutkan dengan satu panggilan yang mengatakan bahawa ada seorang pelajar sedang disampuk di luar surau. Saya ditugaskan untuk mengawal keadaan pelajar di surau, manakala beberapa orang pengawas lain bertindak dengan memanggil warden.
Keesokan harinya, ketika makan beradab di dewan makan, warden mengingatkan, ”Kamu kena elok-elok sikit perangai. Jangan nak suka-suka tak tentu pasal, terutamanya bila dah nak dekat Maghrib. Tambah-tambah sekarang ni waktu peperiksaan, senang lah benda tu nak ganggu!” Sedari kecil, saya dibesarkan dengan cerita, yang kononnya pada waktu peperiksaan, mesti ramai yang tension, kemudian makhluk-makhluk halus senang nak ganggu.
Ketika berada di luar negara ini, saya mengalami kesulitan yang direka oleh diri sendiri. Seawal kemasukan saya ke asrama, hampir setiap kali musim peperiksaan saya akan ditemani oleh emak dan ayah. Paling tidak pun, mereka pasti akan datang melawat setiap minggu. Ketika di kolej persediaan pula, saya akan pulang ke rumah hampir setiap minggu. Bila ditanya mengapa, saya akan jawab, ”Tension dengan kerja IB yang banyak dan nak catch up study.”
Sebelum terbang ke negara kiwi ini dahulu, ayah dan emak awal-awal telah berpesan, “Nanti bila dah sampai New Zealand, tak boleh la mak dengan ayah nak lawat selalu. Tak dapatlah nak balik rumah tiap-tiap minggu lagi. Kalau menangis pun, ayah akan fikir banyak kali untuk datang New Zealand ke tak. Jadi, kena pandai-pandai lah.” Bermula pada saat itu saya terfikir,”Pada siapa aku nak bergantung sebenarnya?” Ketika itu saya punya jawapan, tapi saya tak tahu sejauh mana saya berpegang pada jawapan itu.
Masa berjalan, masa juga banyak mengajar, serta, masa juga lah yang banyak mengubati. Tahun pertama di bumi kiwi telah banyak mengajar saya untuk belajar berdikari, menguruskan semua perkara dengan sendiri. Tiada lagi ayah disisi untuk menemani ke mana-mana. Tiada lagi emak yang boleh direngek-rengek untuk di ajak ke sana ke mari. Semuanya kena pandai-pandai sendiri.
Seperti biasa, apabila datangnya kerja yang bertimbun, saya akan berasa sedikit tertekan. Saya yakin bukan saya seorang sahaja yang berasa begini. Dalam 1 minggu, beberapa kali telefon bimbit emak yang berada di Malaysia, berdering. Alih-alih pemanggilnya adalah orang yang sama. Saya menghargai setiap detik yang emak luangkan bersama saya di talian yang kadang-kadang memakan masa lebih dari 1 jam. Itulah seorang ibu. Walau seteruk mana keadaan anaknya, tidak jemu kata-kata perangsang keluar dari bibirnya.
Dalam pada masa saya berusaha untuk membuat panggilan, ada kalanya, telefon tidak berangkat, mungkin emak sedang sibuk atau tidak perasan telefon sedang berdering. Ketika itu saya akan berasa sangat sedih. Saatlah itu lah juga satu suara di dalam diri berkata, ”Kenapa kau nak sedih-sedih? Allah kan sentiasa ada dengan kau.”
Ya, itulah jawapan yang saya punya ketika mula-mula saya bertanya kepada diri, kepada siapa saya hendak bergantung sebenarnya. Allah!
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
”Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah Dialah
Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji.” Surah Fatir, ayat 15.
”Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui
apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat
lehernya.” Surah Qaf, ayat 16.
”Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada
Engkaulah kami mohon pertolongan.” Surah Al-Fatihah, ayat 5.
Terlalu banyak ayat-ayat cinta-Nya yang sepatutnya menjadi motivasi kepada diri. Hakikatnya, ibu bapa, ahli keluarga mahupun sahabat handai, kelak akan dipanggil juga oleh-Nya untuk menghadap-Nya. Hanya Allah SWT yang kekal dan sebenar-benar tempat pengaduan.
Yang lebih meyakinkan adalah apabila setiap kali saya menelefon emak, paling tidak emak pasti akan menyebut, ”....doalah pada Allah banyak-banyak...”. Akhirnya kepada Allah jua tempat pengaduan yang sebenar.
Kemudian, saya kembali berfikir, ”Sedangkan hari-hari pun aku berdoa pada Allah supaya mengampunkan dosa mak ayah, berikan keselamatan dan kesihatan kepada mereka. Jadi, sebenarnya, tempat pengaduan yang mutlak hanyalah kepada Allah SWT.”
Disaat ini juga saya selalu mengharapkan agar rasa kebergantungan kepada Allah SWT ini tidak akan luntur daripada diri sendiri, walau apa pun yang terjadi. Ketika ini, mulut senang melafazkan, tangan laju menaip, sedangkan di masa depan, tiada siapa yang mampu memastikan sesuatu perkara yang baik itu pasti berlaku.
Ya muqallibal qulub, tsabbit qulubana ’ala deenika Ya Allah!
Ketika ini, Allah SWT mengizinkan saya untuk mendengar lagu ini. Mungkinlah keseluruhan lagu ini tidak sesuai dengan mood penulisan ketika ini, tetapi, apa yang menarik pendengaran saya adalah pada rangkap akhir lagu ini. ”Ku kan cuba tempuh hidup sendiri. Kerna kita kan, Kerna kita kan akhirnya, sendiri.”
Benar. Akhirnya, orang-orang yang kita sayangi kelak akan pergi meninggalkan kita, (ataupun, mungkin kita yang akan pergi meninggalkan mereka), jadi adakah itu bermakna sudah hilangnya tempat pergantungan? Tidak.
Kerana hakikatnya, tempat pergantungan yang sebenar hanya kepada Allah SWT. Kalau tidak, masakan pada awal keluar rumah, kita akan membaca doa. Kalau tidak, masakan kita akan membaca doa naik kenderaan pada awal perjalanan. Yang paling penting untuk kita fikir adalah, ketika solat, sedangkan surah Al-Fatihah itu sarat dengan ayat permintaan daripada seorang hamba kepada Pencipta-Nya.
Tanya kepada diri, ”Berbohongkah engkau di saat engkau mengatakan engkau tiada tempat kebergantungan di saat engkau sangat-sangat memerlukan?”
Think before you speak!