Thursday, January 20, 2011

Hati Emas : Sekejap Ada, Sekejap Tiada

Hati Emas : Sekejap Ada, Sekejap Tiada
Penulis : Mat Rock


Orang yang hanya mengingati Allah ketika didalam solat, dia akan gelisah ketika diluar solat. Orang yang hanya mengingati Allah ketika menerima ancaman, dia akan tetap resah ketika ancaman sudah hilang. Bukanlah sifat Allah itu sekejap ada, sekejap tiada (macam chipsmore). Maha Suci Allah dari segala sifat yang tidak layak untuk-Nya. Tetapi iman manusia itulah yang sekejap naik, sekejap turun hingga dia merasakan Allah itu sekejap ada, sekejap tiada.

Jika tiada iman, pasti Allah dilupakan.

"Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram". (Ar Ra'd 13:28)


Mengingati Allah adalah dengan zikir, fikir dan ikhtiar. Jangan sampai dengan keyakinan bahawa Allah Maha Kaya menyebabkan kita malas berusaha mencari rezeki. Jangan sampai dengan keyakinan bahawa Allah Maha Pengampun menyebabkan kita sering dan mudah melakukan dosa sewenang-wenangnya. Kerana Allah bukanlah sekejap ada, sekejap tiada. Dia Maha Saksi ke atas setiap perbuatan yang kita lakukan. Mulut dan hati berzikir mengingat Allah, akal berfikir mencari penyelesaian dan tubuh berikhtiar melaksanakan usaha.


Itulah indahnya dan professionalnya Islam. Hanya kita yang buta untuk menyaksikan kebesaran dan kesempurnaan Allah lalu menafikan kewujudan-Nya. Chipsmore - sekejap ada, sekejap tiada. Allah - wujud selamanya. Orang yang selalu mengingati Allah, hatinya akan selalu bergementar tatkala menyebut nama Allah.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allahgemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal". (al Anfal 8:2)

Untuk meraikan tahun baru ini, ayuh kita berazam untuk tidak melakukan dosa dan berusaha
meningkatkan iman serta amal. Ingatlah, Allah sentiasa ada.



Ke Sekolah Baru : Tak Baik Kah? (Untuk Lepasan PMR)

Ke Sekolah Baru : Tak Baik Kah? (Untuk Lepasan PMR)
Penulis : miminapis

"Apa yang saya nak tulis di bahagian 'Kelakuan' ini? Takkan nak tulis 'Baik'. Sebab, bila dah dapat keputusan PMR yang bagus, terus masuk sekolah berasrama penuh (SBP). Patutnya duduk sini lah. Naikkan nama sekolah ni untuk SPM nanti," kata pengetua.

Saya tersentak. Cikgu ini berjenaka atau serius? Air mukanya nampak serius. Saya diam dan membalas sebuah senyuman ke arah beliau. Harapan menggunung agar borang itu diisi dengan 'Kelakuan : Baik'.

Tak baik kah aku sebab ke sekolah lain selepas mendapat pelajaran yang baik dari sekolah ini? Aku kah kacang yang melupakan kulit? Soalan itu bermain di fikiran saya suatu ketika dahulu. Kadang-kadang membuatkan saya berbelah bahagi sama ada mahu berpindah ke SBP ataupun tinggal sahaja di sekolah lama. Masa berlalu, saya membuat keputusan untuk ke SBP. Nekad! Kerana memang menjadi impian saya untuk memasuki SBP sejak dari tingkatan 1 lagi. Lagipun, itu jugalah harapan ayah.

Pelbagai 'sogokan' dalam diri yang hadir ketika itu. Antara 'sogokan' yang datang, 'Dekat SBP nanti, kau boleh ke jadi pengawas? Pengawas ni penting. Nanti dapat sijil. Sijil tu penting nak mohon untuk ke luar negara nanti', 'Kau boleh ke nak menonjol kat SBP nanti? Boleh ke nak jadi top5 lagi? Dah la SBP ni semua 8A, 9A punya budak.' dan macam-macam lagi. Pendek kata, semua sogokan yang menakutkan dan membuatkan diri lemah semangat.

Dengan azam tinggi dan semangat yang berkobar-kobar, saya memilih untuk berada di SBP. Dahulu berdoa bersungguh-sungguh, sekarang sudah dapat, masakan mahu menolak! Kufur nikmat! Cukuplah sekali kita menolak tawaran itu, seribu orang menanti dibelakang untuk masuk. Jangan ditolak 'penghormatan' yang diberi oleh kerajaan itu.

Dilema seorang pelajar tingkatan 4 yang baru selesai menerima keputusan PMR. Saya yakin bukan saya seorang sahaja yang pernah melalui keadaan sedemikian, kerana sehingga saya di tingkatan 5, masih ada adik-adik yang memberi emel bertanyakan saya sama ada perlu atau tidak mereka untuk tukar sekolah.

Apa yang saya pegang adalah kata-kata emak. Kata emak, "Pucuk pangkalnya diri awak. Kalau hati tu asyik kata tak nak, tak boleh. Maka, tak boleh la hasilnya. " Emak tidak menggalakkan anak-anaknya ke asrama tetapi kalau dah dapat, fikirlah masak-masak, supaya tak berlaku drama 'keluar-masuk sekolah'. Berlawanan dengan ayah. Ayah antara yang kuat menyokong supaya mohon dan terima sekolah berasrama. Kata ayah, elok tinggal di asrama, sebab boleh belajar bergaul dengan orang dan belajar untuk mendisiplinkan diri.

Jika keinginan untuk berjaya dan belajar ada dalam diri, di mana-mana pun orang campak kita, insyaAllah, kita boleh dan akan survive dengan persekitaran baru.
Jika diri berkepimpinan, ke mana-mana pun orang akan nampak kepimpinan yang ada dalam diri. Jadi, orang tak akan teragak-agak untuk memilih kita sebagai salah seorang pemimpin.
Jika diri seorang yang berkelakuan baik, baik itu jugalah yang terserlah di mata orang.


Mungkin sekarang kita dilabel sebagai yang 'kurang baik' kerana keluar meninggalkan sekolah yang telah berbakti dari tingkatan 1 hingga 3. Tetapi yakinlah Allah itu Maha Adil dan Mengetahui. Kita tidak dapat menunjukkan 'kebaikan' kita kepada sekolah pada hari ini. Tetapi, setapak kita melangkah keluar dari sekolah lama ke sekolah yang baru, tanamkanlah azam dalam diri, "Aku akan berbakti kepada sekolah lama aku suatu hari nanti! InsyaAllah! Kalaupun aku tak mampu atau tak sempat nak berbakti, aku yakin Allah telah memberikan ganjaran yang setimpal kepada para guru dan sekolah yang banyak berjasa ini."

Doakan guru-guru, pakcik dan makcik makmal serta kawan-kawan yang sudah banyak membantu kita sehingga kita berjaya meletakkan diri setanding dengan pelajar berasrama penuh yang lain.

Alhamdulillah!

Selamat melangkah ke sekolah baru dan alam baru (baca: alam menengah atas) untuk adik-adik lepasan PMR!
Jangan takut melangkah atau dikeji, yang penting anda ada matlamat diri.