Tuesday, March 1, 2011

Kenapa Perlu Ke Usrah?

Kenapa Perlu Ke Usrah?
Penulis : Al-Faqiru Ibnu Yusoff


Bismillah

PERSOALAN

Pernahkah anda berjumpa dengan Ustaz yang tak reti langsung Bahasa Inggeris walaupun si Ustaz ini pernah belajar bahasa berkenaan semasa di Sekolah Rendah?

Atau sudahkah anda bertemu dengan Jurutera yang tak reti solat walaupun si Jurutera ini pernah belajar ibadat berkenaan semasa di Sekolah PAFA atau Kelas Mengaji Petang?
Dan persoalan yang lebih menarik.

Pernahkah anda berjumpa dengan Ustaz yang “terer gila” bab Ekonomi Kapitalis [boleh hurai dengan jelas dan mendalam beza Monetarist dan Keynesian, sistem perbankan dunia etc]?

Atau sudahkah anda bertemu dengan seorang Akauntan yang “terer gila” bab tafsir Al-Qur’an dan syarah Hadis?

Dalam keempat-empat soalan ini, kelihatannya ada satu bentuk persoalan umum iaitu :
Mengapakah dua orang yang sama-sama belajar “so-called” bidang agama, seorang boleh turut “well-informed” berkenaan bidang “so-called” professional tetapi seorang lagi tidak? Sedangkan dua-dua Ustaz ini mengaji di madrasah [sekolah] yang sama, jaamiah [universiti] yang serupa?

Dan mengapakah dua orang yang sama-sama belajar “so-called” bidang professional, seorang boleh turut “well-informed” berkenaan bidang “so-called” agama tetapi seorang lagi tidak? Sedangkan dua-dua akauntan ini belajar di sekolah yang sama, kolej yang serupa?

Mengapa orang yang melalui sistem yang sama melahirkan dua orang yang berbeza? Apa yang menyebabkan mereka berbeza sedangkan secara logik akal yang waras, secara tuntas kita katakan, ini mustahil, haza ‘ajibun jiddan [ini adalah suatu keajaiban yang luar biasa] untuk menyimpulkan bahawa sistem yang sama melahirkan orang yang berbeza!

Adakah sebarang paradoks* di sini?

PENDAPAT SAYA

Pada pendapat saya, senario pelik bin ajaib ini bisa terjadi kerana kefahaman kita terhadap konsep “keseimbangan ilmu” yang akhirnya akan menghasilkan “keseimbangan tindakan kita untuk menuntut dan mencari ilmu”.


APA ITU ILMU AGAMA

Siapa yang tidak mahu ke syurga? Semua orang tahu, untuk masuk ke syurga mereka perlu ikut perintah Allah SWT dan jauhi larangan-Nya. Kemudian, barulah kita “deserve” untuk syurga-Nya.

Segala perintah dan larangan Allah SWT, membawa kepada kesimpulan apa itu agama. Dan agama yang Allah SWT terima hanyalah Islam.
Jadi apa yang Allah SWT perintah dan larang perlu untuk kita tahu dan ambil kisah, kerana syurga-Nya adalah matlamat terakhir kita semua. Nak tahu kena belajar. Dah belajar, baru tahu. Dah tahu, baru boleh buat. Bila dah buat, perlu untuk konsisten.
Jadi, macam mana nak masuk syurga kalau tak cari ilmu yang boleh buat kita ikut cakap Allah dan kita tinggalkan larangan-Nya?

Apa itu ilmu agama? Solat, puasa, zakat, haji sahaja? Kalau hanya empat benda ni sahaja, buat apa Allah swt susah-susah nak turunkan al-Qur’an dalam masa 23 tahun. 23 tahun tu lama! Dari budak hingusan sehari dua yang rajin merengek sehingga seorang pemuda yang gagah perkasa yang sedang semester akhir di tahun akhir universiti.
Tak mungkin hanya empat benda ni sahaja yang Allah SWT suruh dan larang dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Islam menuntut umatnya untuk belajar semua benda. Semua benda yang ada di langit, juga, semua benda yang ada di bumi. Di atas muka bumi ada tempat beribadat sebagaimana adanya juga bangunan yang bertingkat-tingkat. Di atas langit ada guruh tempat syaitan dipanah sebagaimana langit juga menjadi tempat pesawat berterbangan dengan gahnya.

Telitilah apa yang diperkatakan oleh untaian wahyu di akhir-akhir surah Ali Imran, perihal golongan orang yang berakal. Pendek kata, ilmu Allah SWT ini boleh kita bahagikan kepada dua – ilmu syariatullah dan ilmu sunnatullah.

DUA JENIS ILMU

Ilmu syariatullah adalah ilmu berkenaan dengan akar agama, segala hukum hakam dan segala yang berkaitan secara terperinci dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Ilmu sunnatullah pula adalah ilmu berkenaan dengan urusan bagaimana dunia ini berfungsi sehari-hari. Baik bagaimana sesebuah kereta di cipta, bagaimana ekonomi dunia berjalan, ilmu pelbagai bahasa sehinggalah bagaimana sistem pembentungan najis itu dibina.

Kedua-dua ilmu ini sama penting. Baik di dunia mahupun akhirat.
Contoh di dunia, kalau kita tidak mempelajari tentang hukum riba’ dalam ilmu syariatullah, kita takkan dapat manfaat daripada hikmah mengharamkannya. Malah, kita akan terus ditindas. Sama juga, jika kita tidak belajar macam mana nak urus akaun dalam ilmu sunnatullah, kita takkan mampu untuk menjadi bendahari yang baik walaupun kitab Fiqh Mualamat sudah pun kita hafal.

Contoh di akhirat pula, sekiranya kita tidak belajar bahawa tak solat itu dan tak tutup aurat itu berdosa, “free-free” sahaja kita masuk neraka. Sama juga, kalau kita tak belajar bahawa orang yang ambil kontrak buat rumah secara menipu itu berdosa, “free-free” juga kita masuk nereka.

Kesimpulannya, nak senang kat dunia kena belajar dua-dua. Nak tenang kat akhirat pun kena belajar dua-dua. Ilmu dua-dua bidang ini kita kena tahu!

CABARAN

Cabaran kita apabila kita di universiti, baik di Universti Al-Azhar mahupun Universiti of Melbourne adalah untuk menyeimbangkan kedua-dua cabang ilmu ini.
Umumnya, kawan-kawan di Timur Tengah ramai yang mengambil jurusan ilmu syariatullah begitu juga kawan-kawan di negeri Orang Putih, ramai yang mengambil jurusan ilmu sunnatullah. Tidak dinafikan kita perlu untuk fokus dan menjadi pakar dalam bidang masing-masing.

Namun begitu, disebabkan kita dah faham kena belajar dua-dua ilmu ini, maka mahu tidak mahu, kita perlu belajar kedua-dua ilmu ini.

Cuma yang membezakan antara kedua-duanya ialah sejauh mana kita mendalami sesuatu ilmu itu.
Kalau pelajar jurusan “Medic”, fokuslah dalam bidang “Medic”, tapi jangan tinggal untuk belajar asas ilmu fiqh sebab ia berguna bila kita nak faham fatwa ulama’ tentang isu-isu perubatan.

Kalau pelajar jurusan “Engineering”, fokuslah dalam bidang “Engineering”, tapi jangan lupa untuk belajar asas ilmu Al-Qur’an dan As-Sunnah sebab ia berguna bila kita nak kerja mengikut lunas-lunas syariat yang betul.

Kalau tak sempat dalami bidang yang satu lagi itu, paling tidak, fokus untuk kuasai yang asas. Dengan asas, insyaAllah kita tak mudah terbabas.
Lantas, bagaimana nak seimbangkan dengan bidang ilmu yang kita tak ada pengkhususan tu?


PERANAN KULIAH & USRAH

Ha! Di sinilah peranan kuliah di tempat kita. Di sinilah peranan usrah di tempat kita. Terutama bagi golongan penuntut tegar ilmu sunnatullah.
Di sinilah fungsi menghadiri seminar pengurusan organisasi. Di sinilah fungsi menggiatkan diri dengan kursus Bahasa Inggeris bagi golongan penuntut tegar ilmu syariatullah.

Maka bagi penuntut tegar ilmu sunnatullah, malanglah bagi mereka yang meninggalkan terus kuliah di masjid dan surau sebaliknya hanya fokus sepenuhnya kuliah di universiti semata-mata. Rugi amat!

Bagi penuntut tegar ilmu syariatullah, malanglah bagi mereka yang meninggalkan terus bacaan Bahasa Inggeris (terutama perbincangan Islam dalam medium Bahasa Inggeris) sebaliknya hanya fokus sepenuhnya bacaan Bahasa Arab dan Bahasa Melayu sahaja. Rugi amat!

Kesimpulannya, marilah kita rajin ke kuliah, halaqah, usrah dan sebagainya terutama bagi pelajar ilmu sunnatullah seperti saya sambil tidak meninggalkan kuliah dan kelas tutorial kita di universiti.

Begitu juga kepada rakan-rakan yang cukup saya segani – para penuntut ilmu syariatullah. Asah kembali asas-asas ilmu sunnatullah yang pernah kita belajar sewaktu di sekolah rendah mahupun sekolah kehidupan yang lain.

AKHIRNYA

Kita harus berubah sejak kaki menginjak universiti. Agar nantinya, kita tidak menyesal sebagaimana ramai antara kita yang menyesal ketika di semester akhir di tahun akhir. Bukan kerana tidak lulus “degree”, tapi kerana masa yang diberi, hanya dibuang sesuka nafsu!

Akhir kalam, nak jadi ustaz kena belajar agama. Tapi bila belajar agama, tak semestinya kena jadi ustaz.
Jom semangat ke kuliah pertama, minggu pertama di University of Melbourne! Kita kuliah, kita solat, makanan di jamah, kawan baru dibuat! InsyaAllah! (=

Mungkin atmosferanya sama, tapi kini sedikit berbeza, insyaAllah. Kerana kita datang kini dengan KEFAHAMAN bukan semata-mata mengikut ajakan rakan atau sebab nak makan (=
Dan percayalah, anda bukan orang pertama yang melalui proses ini~ (^^)

p/s : Al-Fadhil Al-Ustaz Nushi Mahfodz yang pernah belajar di University of Melbourne dalam bidang PHD Islamic Law berkali-kali mengulang-ulang pengalamannya kepada kami :

“Ana cukup terkilan bila orang khususnya orang-orang belajar “bidang professional” cakap, golongan Ustaz ni bab-bab organisasi ni tak reti! Tulis minit mesyuarat tak reti, uruskan manusia tak pandai, struktur organisasi tak mahir! Sebab itu ana rasa sangat sedih bila tengok orang-orang yang kononnya belajar bidang professional ni tak reti bab-bab ni. Buat malu kat kami ja, golongan Ustaz!”

Nota :
*Paradoks : Keadaan di mana sesuatu itu menyalahi kebiasaan umum memahami berkenaannya.

SOALAN seterusnya : Tapi, masalahnya, aku tak suka gi kuliah sebab penceramah dia tak best. Aku tak suka usrah sebab naqib dia hampeh.

Cubalah untuk mencari kuliah yang menjemput penceramah yang best. Carilah usrah yang naqib dia mantap. Masalah pada orang bukan pada program tu. Jangan malas mencari! Hidup adalah suatu pencarian. Kerana pencarian itu menuntut pengorbanan. Kerna hidup itu pengorbanan.