Thursday, March 22, 2012
Jangan Lupa Adab Berguru!
Adab dan Syarat penting mencari ilmu, Berguru dalam Islam
GURU atau pendidik disanjung dan dimuliakan kerana ilmunya. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Kelebihan orang yang berilmu berbanding abid samalah seperti kelebihan bulan purnama berbanding segala bintang."(Sunan Abu Daud dan at-Tirmizi)
Kelebihan dinyatakan Rasulullah itu ternyata disebabkan manfaat ilmu disampaikan oleh orang berilmu. Dalam konteks perbincangan kita, golongan guru khususnya.
Kelebihan guru dan pendidik sering dibicarakan hingga pujangga turut mengibaratkan guru seperti bintang di langit yang menerangi kegelapan di laut dan di darat. Justeru, seseorang pengembara dikatakan akan tersesat jalan apabila bintang menghilang.
Demikian juga ibaratnya kehidupan manusia tanpa bimbingan guru yang akan kehilangan arah panduan. Lalu, akhirnya tersesat jalan.
Secara ringkas, antara sebab guru wajib dimuliakan kerana;
Pertama, guru ialah insan mulia dan tinggi kedudukannya. Sebagai orang berilmu yang dijamin Allah ketinggian kedudukannya seperti yang disebutkan dalam satu ayat-Nya, guru tentu memiliki kemuliaan yang perlu dipertahankan. Bahkan, dalam satu ayat-Nya, Allah menggandingkan orang berilmu dengan malaikat. (Maksud surah Ali Imran, ayat 18)
Kedua, yang mewajibkan kita menghormati guru kerana mereka memiliki kebijaksanaan. Seperti dimaklumkan, manusia dapat mengendalikan hidupnya dengan sempurna berdasarkan keimanan dan kebijaksanaan. Begitu dengan guru.
Dengan kebijaksanaannya, guru berupaya membentuk dan mengembangkan daya keilmuan serta kebijaksanaan dalam diri muridnya. Perkara ini tentu dapat melahirkan generasi yang cemerlang akhlak dan peribadinya.
Ketiga, guru menyumbang bakti yang sangat besar. Jasa guru terlalu besar hingga tidak terungkap oleh kata-kata.
Bayangkanlah betapa besarnya jasa guru membimbing hidup manusia seluruhnya dengan ilmu yang diajarnya. Hidup tanpa ilmu sama seperti hidup dalam kegelapan. Ibarat nur, ilmu menerangi hidup manusia. Umpama lilin, guru membakar diri, menerangi kegelapan.
Sejarah membuktikan bahawa manusia berjaya mencapai kegemilangan menerusi ilmu dan kebijaksanaan. Demikian seterusnya dengan teknologi baru hari ini yang dicipta berdasarkan kedua-dua elemen itu, di samping kemahiran yang dimiliki.
Kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir yang dirakamkan dalam al-Quran menerusi surah al-Kahfi ayat 66-82 menunjukkan adab dalam menuntut ilmu.
Suatu perkara yang dapat dilihat dalam pertemuan antara Nabi Musa dan Khidir adalah bagaimana tawaduk dan rendah hatinya Nabi Musa sebagai seorang 'murid' yang mahu mempelajari sesuatu ilmu daripada gurunya. Tutur katanya penuh adab dan tingkah lakunya penuh sopan, syarat yang amat penting bagi sesiapa saja yang mahu menuntut ilmu.
Meneliti kisah Nabi Musa dan Khidir juga membolehkan kita membuat kesimpulan iaitu mereka secara tidak langsung menggariskan beberapa adab penting dalam mencari ilmu, khususnya dalam berguru.
Pertama, ilmu adalah kurniaan Allah. Tidak ada seorang manusia pun yang boleh mendakwa bahawa dia lebih berilmu berbanding orang lain, kerana ada juga ilmu yang juga anugerah Allah tanpa mempelajarinya (ilmu ladunni iaitu ilmu yang dikhususkan untuk hamba Allah yang salih dan terpilih saja).
Kedua, perlu bersabar dan tidak terburu-buru serta mengutamakan kebijaksanaan pada setiap ketika.
Ketiga, seseorang pelajar perlu memelihara adab dengan gurunya.
Antara adabnya adalah seseorang pelajar mesti bersedia untuk mendengar penjelasan daripada guru dari awal hingga akhir, sebelum bertindak dengan mengabaikan perintah guru.
Selain memuliakan guru, kita bertanggungjawab untuk menunaikan hak mereka.
Antara hak guru yang perlu ditunaikan adalah:-
# Merendah diri terhadap guru.
# Memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini bahawa keperibadian mereka adalah lebih sempurna.
# Panggillah guru dengan gelaran mulia sebagai tanda menghormati mereka.
# Mengiktiraf hak guru terhadap diri kita.
# Mendoakan untuk guru sepanjang hayat mereka.
# Berkelakuan penuh sopan ketika mengikuti pembelajaran.
# Meminta izin guru sebelum memasuki kelas, rumah atau tempat yang khusus seperti bilik guru.
# Mendengar isi pengajaran dengan tekun walaupun topik perbincangan telah diketahui.
# Tidak mengemukakan pertanyaan bagi sesuatu masalah yang telah pun diketahui jawapannya.
Imam Al-Syafie pernah mengungkap: "Bersabarlah kamu dalam perjalanan jauh demi menemui gurumu, sesungguhnya lautan ilmu itu diperoleh menerusi perjalanan kamu menemuinya. Sesiapa yang tidak berasa kepahitan menuntut ilmu sedetik, ia pasti menelan kehinaan dek kejahilan sepanjang hayatnya."
Sumber: Wan Roslili Bt. Abd. Majid (Pegawai Penyelidik), Berita Harian (19/05/2005
http://cikgufendi85.blogspot.com/2010/11/adab-berguru-dalam-islam-yang-telah.html
Thursday, October 6, 2011
Cintakan Tuhan atau cintakan Harta?
Hartakah yang memberikan kita kebahagiaan?
Akan selamanya kah kita mampu membeli segalanya dengan harta?
Jom kita lihat bagaimana Rasulullah menyedarkan hambanya,
Friday, August 5, 2011
Seorang Hamba dan Ramadhannya.
-Seusai ziarah itu, refleksi kalbu, penguat hari-hari mu-
Apakah kita mencariNYA
?
Aku hamba biasa – bersama
tatkala atma dilapangkan
alam fana dileraikan jauh
hanya cinta yang ampuh, teguh!
merinci seluruh tubuh
Subuh merangkak lesu
masih jua hening itu
berbahasa dingin salju
melakar citra agung- bersatu
meruntuhkan tebing sendu
Derap Ramadhan menjauh
dekati gerbang noktah
penamat?
masih jua keampunan belum erat
digenggam utuh walau
mercik Ramadhan menyentuh
Ada cinta di dada langit
dalam rawak tepu berkat
isi alam seakan bangkit
mengecap rindu yang bukan sedikit
bila semilir malam mengulit
insan pantas diserkup ralit.
Menggelintar di denai Ramadhan
menghirup puspa sakinah mengharum
berkuntum mengelopakkan pahala
terbaja dengan doa
digembur amal hamba yang
mencari- NYA.
Aku hamba biasa –bersama
mementaskan ceritera dunia
menagih redha tanpa
mengenal makna untaian cinta
Dan tetap jua Ramadhan menjauh
meninggalkanku bersama
iman yang rapuh.
Sumber : Thoyba Mursyidah
Ramadhan 1429
Kamar Ujana Sastera
IPPPP
Ayuh kawan-kawan yang dikasihi kerana Allah, kita rebut Ramadhan kali ini sepenuh hati. Mungkin Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terakhir kita. Siru ala barakatillah!
Sunday, July 24, 2011
Selamat Datang Kekasihku- Ramadhan
1.Dibelenggu para syaitan dan jin.
Menurut Imam As-Syafie hanya jin dan syaitan yang bengis sahaja dibelenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini.
“Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang derhaka,….(Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)
Menurut Imam Abu Hanifah pula, semua jin dan syaitan dibelenggu. Namun masih ada orang melakukan kejahatan kerana syaitan telah menggunakan 11 bulan untuk menerapkan nilai-nilai buruk d
alam diri kita. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan di belenggu.Jadi dalam 1 bulan inilah kita harus ambil peluang utuk menyucikan segalanya.
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”(Bukhari & Muslim)
2. Amalan sunat diberi pahala fardhu dan fardhu diganda 70 kali.
“ Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda. Sebagai contoh solat Jumaat, sekiranya ada 5 kali Jumaat pada bulan itu, maka 5 x 70 = 350 Jumaat di luar Ramadhan, bersamaan 7 tahun solat jumaat. Pahala solat Jumaat sama dengan pahala haji bagi orang miskin yang tidak mampu mengerjakan haji. Solat Jumaat pada minggu akhir Ramadhan ada
lah solat Jumaat yang istimewa. Qadha solat fardhu juga diberi 70 kali ganda pahala. Sedekah RM1 dalam bulan Ramadhan adalah sama dengan RM70 di luar Ramadhan.
“Daripada Salman r.a. ia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat
pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.”.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya:“Apabila bermula malam yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: “Wahai orang-orang yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak membebaskan orang-orang y
ang dijanjikan dengan neraka – daripada memasukinya”. Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan Ramadhan).” (Riwayat Tirmizi dan Nasa’i)
3. Pintu neraka ditutup.
Pada bulan Ramadhan, kepanasannya tidak sampai ke alam barzakh (alam perantaran). Seksaan dihentikan pada bulan ini. Sesiapa yang mati dibulan Ramadhan tidak diseksa dan disoal oleh Malaikat Mungkar dan Nakir. Ada yang berpendapat ia ditangguh sehingga lepas Ramadhan.
4. Dibuka semua pintu syurga.
Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:“Apabila datan
g bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga”.(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari). Banyak rahmat diturunkan pada bulan ini. Orang mukmin ditambah rezekinya seperti makanan yang sedap-sedap semuanya ada di bulan ini. Orang-orang miskin juga dapat menikmatinya pada bulan ini.
5. Allah perhiaskan syurga.
Allah percantikkan syurga yang sememangnya cantik. Bagaimana? Tidak terfikir oleh akal manusia. Bidadari berpantun minta disegerakan bertemu bakal suaminya di syurga.
Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setah
un kerana masuknya bulan Ramadhan . Pada awal bulan Ramadhan bertiup angina di bawah Arasy dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga it
u, lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah ? Lalu bidadari lain pula bertanya : Apakah nama malam ini ? Jawab Malik Ridhwan , hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Ramadhan .
6. Dilepaskan tahanan neraka
Dalam bulan Ramadahan (di akhirat juga masih ada bulan Ramadhan) Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasalam bersabda (yang ertinya): “Allah memiliki hamba-hamba yang dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan semua orang muslim yang berdo’a akan dikabulkan do’anya.”
7.Ramadhan ialah tetamu yang mendatangkan keampunan Allah
Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:Telah datang kepadamu Ramadan, penghulu segala bulan.Maka selamat datanglah kepadanya, telah datang kepadanya bulan puasa yang membawa segala rupa keberkatan, maka alangkah mulianya tetamu yang datang itu.” Layanlah tetamu mengikut apa yang dia suka, misalnya jika dia suka makan ikan, hidangkanlah masakan ikan. Sepertimana orang yang melayan tetamu dengan baik, seluruh ahli rumah itu akan diberi keampunan setelah tetamu itu pulang, begitu juga Ramadhan, jika kita mengikut kehendak dan disiplin yang ditetapkan pada bulan itu, maka kita juga akan mendapat keampunan.
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi Allah sesuatu hajat tentang ia meninggalkan makanannya dan minumannya”.(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Abu Daud)“
8. Tawaran Pengampunan dosa lepas dan akan datang
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: “Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu“. (Hadith Sahih – Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Ar-Rasul SAW telah bersabda: Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiyamullail dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang
sumber : NASBUN NURAIN
Wednesday, July 6, 2011
Tips Murah Rezeki
Tips Murah Rezeki
Penulis : Ailurophilia
Murah rezeki bukan sekadar membawa maksud memperolehi kekayaan harta, tetapi juga ia merangkumi konsep yang lebih luas. Rezeki yang dikurniakan Allah mungkin hadir dari segi Allah mempermudahkan setiap urusannya, mudah memahami ilmu yang dipelajari, mendapat ketenangan dalam hidup, sentiasa berasa cukup dan bersyukur atas nikmat yang diberikan, memperolehi keluarga yang soleh serta memperolehi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kita dituntut supaya memohon kepada Allah agar Allah memberkati setiap rezeki yang kita perolehi.
Memperbanyakkan doa:
1. Doa ketika duduk di antara 2 sujud
Jika kita khusyuk ketika solat, kita akan sedar bahawa setiap lafaz dalam solat itu merupakan doa yang telah lama kita amalkan.
Maksud bacaan ketika duduk antara 2 sujud: “Ampunkan daku, wahai Tuhanku! Akan kesalahanku dan kasihani olehMu akan hambaMu yang khothiah (banyak kesalahan), dan rezekikan olehMu akan daku, dan jabarkan dho’ifku, dan tunjuki akan daku akan jalan yang sebenarnya, akan ‘afiat akan daku, dan maafkan daripada aku.”
2. Beristighfar
Islam menggalakkan kita agar memperbanyakkan beristighfar dan selalu bertaubat. Kita sebagai hambaNya yang lemah akan seringkali melakukan dosa. HambaNya yang sentiasa beristighfar akan memperoleh ketenangan dalam hidupnya.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu ada jalan keluar dan pada setiap kesempitan ada cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.” (HR Abu Daud)
3. Membaca ayat 1000 Dinar
“…Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, Dan diberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. “ (Surah At-Talaq :2-3)
4. Fadhilat membaca surah al-Waqiah
Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam ia tidak akan ditimpa kefakiran.” (HR Ibn Mas‘ud)
Amalan harian
1. Bersyukur dengan setiap nikmat yang dikurniakan
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka pasti azabKu sangat berat.” (Surah Ibrahim : 7)
2. Berbuat baik kepada ibu bapa
Senantiasalah mendoakan ibu bapa dan berbuat baik kepada mereka. Nescaya Allah akan memberikan ganjaran sebaik-baiknya.
Rasulullah bersabda, “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya.” (HR Al-Hakim)
3. Rajin beribadah kepadaNya
Ini telah dinyatakan dalam firman Allah di dalam hadith Qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (HR Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Melazimi solat sunat Dhuha juga dapat meluaskan rezeki seseorang.
Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya : “Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha.” (HR Al-Bukhari dan Muslim)
Doa solat sunat Dhuha:
“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu “. ” Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”
4. Rajin bersedekah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.” (HR Bukhari & Muslim)
5. Berusaha dengan kudrat yang dimiliki
Dari Miqdam r.a, dari rasulullah s.a.w,:”Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang sekali-kali tidak, yang lebih baik daripada memakan makanan hasil dari usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya nabi Allah daud a.s makan dari hasil usaha tangan baginda sendiri.” (HR Bukhari)
6. Menghubungkan ikatan silaturrahim
Dari Anas bin Malik r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang ingin supaya dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahim (hubungan kasih sayang).” (HR Bukhari)
7. Berpagi-pagian selepas solat Subuh
Rasulullah bersabda, “Berpagi-pagilah(subuh)dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah keberkatan dan kejayaan.” (HR at-Tabarani)
Di dalam riwayat lain pula, Rasulullah melewati anaknya Fatimah yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda: Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari.’ (HR al-Baihaqi)
*********************************************************************
Terdapat banyak amalan yang boleh kita lakukan, tidak kisahlah samada rezeki tersebut dalam bentuk harta, ilmu ataupun kebahagiaan. Apa yang penting adalah kita sentiasa bersyukur, dan berusaha menggunakan rezeki tersebut dengan cara yang terbaik.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : “Janganlah ingin menjadi seperti orang lain kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya kepada orang lain.” (HR al-Bukhari)
sumber: Atap Hijau
Friday, June 24, 2011
Oh, aku mudah lupa.
Penulis: kita kawan
Hari itu aku menelefon emak. Peperiksaan SPM sudah semakin dekat. Aku bertanyakan tentang kad pengenalanku. Nadaku dengan emak ketika itu sedikit keras. Minta emak segerakan penghantaran. Setelah sekian lama, baru aku perasaan akan tindakanku itu. Astaghfirullah. Mungkin saja emak begitu sibuk. Mungkin saja emak benar-benar tidak sempat. Hanya kerana aku, kad pengenalan, dan SPM, aku berasa sedikit ‘marah’ dengan emak. Bukankah dia yang menjagaku sejak kecil? Bukankah dia yang sekian lama bersabar ketika aku merengek dan menangis. Bukankah dia yang tidak tidur malam menuam kepalaku ketika aku demam?
Oh, aku mudah lupa.
Setelah beberapa tahun emak meninggal, ayah lah yang menjadi ibuku. Ayah dari dahulu memang kurang berbicara. Lebih banyak diam memerhatikan. Tetapi sekali menegur, terasa berbisa. Bila melihat ayah orang lain bergurau senda dan beramah mesra, tidak kunafikan aku sedikit cemburu. Benakku berkata
“Ah, aku tak pernah merasakan kasih sayang ayah”
“Ayah tak pernah peduli tentang aku”
Ayah itu dan ayah ini.
Aku terlupa. Ayahlah insan yang berpenat lelah mencari rezeki yang halal untuk kami adik beradik. Adakah aku sendiri benar-benar peduli tentang ayah? Adakah aku sendiri menunjukkan kasih sayang pada ayah? Adakah aku di sisi ayah memujuknya ketika dia sedih akan pemergian isterinya yang tercinta?
Oh, aku mudah lupa.
Hari ini aku telah menduduki satu peperiksaan. Berada di tahun ketiga di universiti sememangnya makin mencabar. Aku melangkah keluar dewan dalam keadaan resah. Sedikit kecewa dengan kertas tadi. Pelbagai perkara negatif bermain-main di minda. Bermacam “kalau” terlafaz. Terbayang-bayang High Distinction yang aku idamkan seakannya telah terbang melayang. Tiba-tiba butang 'pause' aku ditekan. Aku terfikir sejenak dan bermonolog sendirian. ‘Kenapa engkau belajar?’ Soalan itu bertubi-tubi mendesak dadaku. ‘Di atas kertas, engkau tulis “belajar niat ikhlas kerana Allah”. Apa benar engkau belajar untuk mencari redhaNya? Apa benar engkau yakin Dia akan tentukan yang terbaik? Apa benar engkau meletakkan setinggi-tinggi harapan kepadaNya? Bukankah Allah menggunakan pelbagai ‘cara’ unik untuk menunjukkan kasih sayang kepada hambaNya? Bukankah rezeki itu ditentukan oleh Dia?’
Lansung, kenapa perlu begitu kecewa?
Oh, aku memang mudah lupa.
Dalam kesunyian, aku tersungkur sujud mengalirkan air mata. Menangis dalam rasa syukur. Syukur kerana pernah merasakan kasih sayang emak. Syukur kerana masih punya ruang untuk berbakti pada ayah. Syukur kerana masih punya tubuh badan yang sihat untuk terus menuntut ilmu.
Ya Allah ingatkanlah kami ketika kami lupa. Ampunkan kami ketika kami tersalah. Bantulah kami untuk menjadi hamba yang bersyukur.